Kemelut banglo dan Taman Manggis masuk fasa ugut bunuh



Isu pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta penjualan tanah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis oleh kerajaan DAP Pulau Pinang memasuki fasa lebih panas.

Mana tidaknya, sebelum ini isu itu hanya berkisar pada isu penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah namun dimarakkan lagi kini dengan isu ugutan bunuh yang diterima pemimpin Parti Gerakan yang terbabit mendedahkan skandal Guan Eng dan DAP Pulau Pinang itu.

Ugutan bunuh dalam bentuk sampul surat merah jambu kitar semula mengandungi beberapa helai replika wang kertas yang digunakan dalam upacara sembahyang roh bagi masyarakat Cina bertarikh 11 April diterima ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang.

Surat yang ditemui dalam peti surat itu turut mengandungi nota berbahasa Inggeris berbunyi “go to hell” yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng dan Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.

Selain menuduh kedua-dua pemimpin itu telah mengkhianati kaum Cina di Malaysia turut dikepilkan keratan akhbar berbahasa Cina memetik Liang bertanyakan soalan mengenai pembelian banglo Lim semasa satu sidang akhbar.

Ugutan bunuh itu menyebabkan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong pada Sabtu mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab itu selain menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Gertakan politik itu sama seperti kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan kami menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh dan membawa mereka yang bertangggungjawab untuk dihukum.

“Kedua-dua Liang dan Oh mendapat sokongan penuh daripada parti, adalah tugas kami selaku ahli politik dan warganegara yang prihatin untuk melontarkan soalan yang sahih dan meminta penjelasan daripada pihak yang tertuduh mengenai isu berkenaan,” kata kenyataan beliau sambil menambah Gerakan mengutuk sekeras-kerasnya ugutan itu.

Tindakan sedemikian tegasnya harus dihentikan dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan hukuman yang berbentuk pengajaran sebelum ia merebak menjadi budaya politik yang berunsur ganas, tidak mematuhi undang-undang dan menakutkan.

Sebelum ini, pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown oleh Guan Eng pada harga RM2.8 juta berbanding harga pasaran semasa melebihi RM5 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya di persidangan Dewan Rakyat Mac lalu.

Beliau turut mengaitkan pembelian banglo harga murah itu dengan penjualan dan penukaran status tanah PPRT Taman Manggis oleh kerajaan DAP Pulau Pinang kepada syarikat yang turut dimiliki kepentingan oleh penjual banglo terbabit.

Isu itu tambah panas bilamana kemudiannya didedahkan bahawa syarikat terbabit sudah menjual tanah PPRT Taman Manggis yang masih belum dibangunkan kepada syarikat lain dengan harga berlipat kali ganda keuntungannya untuk pembangunan hospital swasta dan projek komersil.

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan dan sehingga kini, rakyat ternanti-nanti bila Setiausaha Agung DAP itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana