Ini sejarah…pilihanraya tanpa calon turun kempen

Dalam sejarah politik Malaysia ini adalah pertama kali kita akan menyaksikan satu pilihanraya kecil dimana calon yang dipilih tak turun padang sendiri untuk berkempen.

Memang anih bunyinya dan tentunya satu pengalaman lain dari yang lain.

Namun Datin Mastura Mohd Yazid yang dipilih sebagai calon BN Kuala Kangsar perlu laluinya.

Ini kerana ia tuntutan agama dimana beliau kini dalam tempoh edah kerana kematian suaminya bekas Ahli Parlimen kawasan itu Allahyarham Datuk Wan Khairil Anuar yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Tempoh edah itu ialah selama empat bulan 10 hari.Maka sepanjang tempoh itu termasuk semasa kempen pilihanraya kecil hingga hari mengundi pada 18 Jun beliau tidka boleh keluar rumah.

Mastura akan berdepan dengan calon PAS juga seorang wanita yakni Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, 50.

Parti Amanah Negara (Amanah) pula dijangka mengumumkan calon parti itu pada 1 Jun ini.

Yang pasti pengundi akan melihat kelibat Dr Najihatussalehah dan calon Amanah nanti diatas pentas ceramah...tetapi tidak Mastura.

Pada pilihan raya umum ke-13  Allahyarham Wan Khairil Anuar menang dengan majoriti 1,082 undi dengan mengalahkan calon PAS, Khalil Lim Abdullah dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim

Ada antara mereka yang hadir di Command Center BN di Kuala Kangsar petang Sabtu semasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi umum namanya sebagai calon terpinga-pinga mencari kelibatnya diatas pentas.

Sudah menjadi kebiasaan calon akan tampil ke depan bila nama diumumkan.

Sebaliknya Zahid menyerahkan watikah sebagai calon kepada anak Allahyarham,Wan Emir Astar, 26 diatas pentas.

Mastura cuma muncul menerusi skrin besar dimana video amanatnya ditayang kepada haidirn.

Beliau memohon maaf kepada seluruh jentera parti kerana tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan.

Mastura, 55, berkata beliau mengambil keputusan itu kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan hukum Islam bila seseorang wanita kematian suami.

"Tempoh syarak ini wajib saya patuhi dan saya amat mengharapkan kefahaman seluruh jentera parti khususnya di peringkat cawangan dan pusat daerah mengundi akan kedudukan saya ini.

"Jika menurut amalan parti dan gerak kerja pilihan raya, selaku orang yang dinamakan sebagai calon, saya seharusnya berada bersama seluruh jentera parti dan masyarakat untuk berkempen.

"Insya Allah, sekiranya saya diberi tanggungjawab sebagai anggota Parlimen, saya akan laksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh arwah suami saya ," katanya.

Mastura turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ahmad Zahid dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Saya sekadar penyambung kepada perjuangan serta memikul amanah untuk meneruskan khidmat bakti arwah suami saya kepada rakyat Kuala Kangsar.

"Pilihan raya ini bukan soal saya, tetapi BN sebagai wadah perjuangan seperti mana amanah yang pernah digalas oleh arwah suami saya dalam menabur bakti kepada rakyat di sini," katanya.

Sementara itu, anak sulung Mastura, Wan Emir Astar, 26, berkata keluarganya terkejut dengan keputusan pucuk pimpinan parti memilih ibunya untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat Kuala Kangsar.

"Biarpun kami masih berkabung dengan kehilangan arwah papa tetapi kita perlu meneruskan kesinambungan dan legasi arwah papa sebelum ini.

"Ibu kami selalu berdamping dengan arwah papa 24 jam dan beliau lebih memahami apa yang warga Kuala Kangsar perlukan," katanya sambil menambah beliau dan tiga lagi adik beradik akan membantu Mastura.

Sementara itu kalangan pimpinan BN yakin keadaan tidak mengizinkan Mastura turun berkempen pada pilihanraya kecil itu tidak akan memberi kesan kepada usaha gabungan itu untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil percaya pengundi akan memahami tempoh edah yang perlu dilalui oleh Mastura.
 
"Namun pengundi tidak perlu risau kerana kita jentera Wanita akan sentiasa menghubungi calon untuk memberitahu perkembangan semasa kempen," katanya.

Jumaat, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, 50 sebagai calon parti itu manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan calon parti itu pada 1 Jun ini.

Shahrizat berkata pemilihan Mastura sebagai calon merupakan satu keputusan yang tepat terutama dalam menyambung legasi dan hasrat arwah suaminya.

"Salah satu sebab nama beliau dicalonkan adalah kerana beliau adalah satu-satunya insan yang sentiasa bersama arwah. Sebagai isteri beliau mengetahui semua isu dan semua tuntutan rakyat di Kuala Kangsar," katanya.

Dalam pada itu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui ketiadaan Mastura dalam kempen merupakan cabaran kepada jentera BN, namun ia bukan halangan besar kerana calon BN itu sudah dikenali penduduk Kuala Kangsar.

"Kita juga boleh menggunakan teknologi-teknologi terkini seperti persidangan video dengan memasang skrin besar semasa berkempen untuk Mastura menyampaikan sesuatu kepada pengundi," katanya.

Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon percaya masyarakat Cina akan menyokong Mastura memandangkan beliau mempunyai keperibadian yang serupa dengan arwah suaminya.

Jumlah pengundi pada PKR Kuala Kangsar adalah sebanyak 32,949 dengan hampir 8,000 adalah pengundi kaum Cina dan daripada jumlah itu, 2,834 adalah ahli MCA, katanya.

"Kami yakin masyarakat Cina akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN," katanya.

Zahid semasa umum Mastura sebagai calon berkata beliau menepati semua lima elemen yang ditetapkan oleh parti termasuk seorang yang profesional.

Selain itu pemilihan Mastura juga dibuat kerana beliau sangat memahami faktor muka bumi Kuala Kangsar di samping mesra dengan masyarakat.

"Calon juga faham mengenai parti (UMNO dan BN) dan tidak akan menyanggah kepimpinan bahagian. Kita juga mahu memberi keutamaan kepada tulang belakang kita (Pergerakan Wanita UMNO)," katanya

Ibu kepada empat anak itu merupakan seorang graduan undang-undang universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Selain itu, beliau juga bergiat cergas dalam dunia politik dan menjadi Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarga serta arwah suaminya.

Zahid yang juga Naib Presiden UMNO meminta semua pihak dalam parti supaya memberi sokongan padu kepada Mastura untuk memastikan BN dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

"Lawan kita (PAS) letak seorang profesional juga seorang wanita, maka kita juga harus cari seorang profesional.

"Kita bukan maksum, tentunya ada kelemahan. Maka calon yang dipilih itu adalah calon BN, tiada dakwa dakwi (pelbagai aduan dan tuduhan) dalam kalangan kita.

"Kalau ada yang kecil hati sama ada kepimpinan sedia ada atau mantan kepimpinan sebelum ini..lupakan.. dan kita berdiri sama-sama menyokong calon," katanya.

Menjelas lanjut,Zahid berkata pemilihan calon juga dibuat bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang pernah dirancang dan dilaksanakan oleh Wan Mohammad Khair-il sebelum ini dapat diteruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kesinambungan kemajuan di Kuala Kangsar perlu diteruskan dengan berteraskan politik pembangunan dan bukannya pembangunan moden semata-mata selari dengan gelarannya sebagai Bandar Diraja.

"Kita harus bangunkan Bandar Diraja ini. Tentunya bila kita mahu melihat sesuatu yang ada kesinambungan, maka perlu ada tua, muda, wanita dan lelaki.

"Kita tahu orang muda di Kuala Kangsar ini ada 36 peratus (daripada 32,949 pemilih berdaftar), maka citarasa mereka perlu diterjemahkan dalam bentuk aktiviti projek pembangunan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana