Dr Sim ikut jejak bapa... mengemudi SUPP berkhidmat untuk rakyat

Datuk Dr Sim Kui Hian (tiga dari kiri) boleh menjejak langkah mendiang bapanya sekiranya berjaya mengemudi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mencapai prestasi membanggakan pada pilihan raya negeri Sarawak (PRN), Sabtu ini.
Bapanya, Tan Sri Sim Kheng Hong berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri selama 16 tahun, tempoh paling lama dalam sejarah negeri Sarawak.

Sim Kheng, yang meninggal dunia pada 1992 ketika usia 70 tahun, merupakan wakil rakyat dari 1963 hingga 1990 dan pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet negeri termasuk menteri kewangan.

Bagaimanapun, bagi satu-satu anak lelaki mendiang, laluan Dr Sim ke Dewan Undangan Negeri (DUN) penuh berliku. Pakar kardiologi yang kini ahli politik itu bukan sahaja bertarung memulihkan parti berasaskan kaum Cina malah melakukan percubaan kedua untuk ke DUN.

Pada PRN 2011, Dr Sim kalah kepada calon DAP, Violet Yong dengan majoriti 7,595 undi pada pertandingan satu lawan satu di kerusi DUN Pending.

Menjadi broker kuasa satu ketika dahulu dalam politik Sarawak, kini parti politik tertua di Sarawak itu hilang aura apabila penguasaan politik kaum Cina dirampas oleh parti pembangkang DAP.

Selain itu, beberapa 'orang kuat' parti itu meninggalkan parti itu untuk membentuk kelompok serpihan iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Berdepan misi hidup atau mati pada pilihan raya kali ini, 'Sar Kuan', panggilan orang Cina terhadap SUPP kerana lambang tiga bulatan dalam logo parti itu, menggesa masyarakat itu memberi peluang kepada parti di bawah kepimpinan Dr Sim, yang menjadi presiden pada 2014.

Ahli parti itu mengakui bahawa parti itu sebahagiannya perlu menyalahkan diri sendiri atas kegagalan masa lalu termasuk perbalahan dalaman sehingga menyebabkan parti itu kalah teruk pada PRN 2006 dan 2011.

Tetapi itu kisah lama, kata mereka, dan parti itu telah melalui proses pembaharuan dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berdiri teguh di belakang 13 calon SUPP termasuk Dr Sim pada pilihan raya negeri kali ini.

SUPP tidak dapat mencari sokongan lebih hebat daripada 'Tok Nan', panggilan mesra bagi Adenan. Sejak mengambil alih jawatan ketua menteri pada 2014, Adenan 'membuka tangannya dengan luas' kepada masyarakat Cina.

Sejak beberapa hari lepas, Adenan meminta masyarakat Cina memberi undi kepada kesemua calon SUPP kerana beliau mahu masyarakat itu diwakili dalam Kabinetnya.

"Kami sedang berusaha dengan keras. Salah kritikan pada 2011 adalah mengenai parti dibarisi pemimpin berusia. Dalam tempoh dua tahun lepas, kami mendapat banyak pemimpin muda berusia dari 30 dan 50 tahun," kata Dr Sim, yang berusia 49 tahun.

Temenggong Lu Kim Yong, pemimpin tertinggi komuniti Cina di Kuching, berharap puak dalam SUPP dapat menyelesaikan perbezaan mereka dan menghantar mesej kepada pengundi Cina bahawa mereka telah berdamai.

"Masyarakat Cina tidak mahu sebuah parti politik yang bergolak. Sentimen di luar sana adalah apabila anda berkelahi, saya tidak akan menyokong kerana anda tidak mempunyai masa untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi hentikan perbalahan," katanya.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir bersetuju dengan pandangan tersebut.

Susulan perbalahan dengan UPP, beliau berpendapat SUPP tidak banyak memberi kesan kepada pengundi Cina, sekalipun ganjaran pemimpin Cina dilantik sebagai jawatan timbalan ketua menteri selepas bekas presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan.

"Dengan Adenan, akan ada peralihan sokongan kaum itu tetapi tidak begitu ketara...paling terbaik empat kerusi majoriti Cina kembali semula kepada BN," katanya.

Calon SUPP terdiri daripada Dr Sim di DUN Batu Kawah, Peter Pau (Padungan), Milton Foo (Pending), Sih Hua Tong (Batu Lintang), Wilfred Yap (Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok), Diing Kuong Hiing (Meradong).

Chieng Buong Toon (Bukit Assek), Datuk Pau Chong Ung (Tanjong Batu), Datuk Sebastian Ting (Piasau), Datuk Lee Kim Shin (Senadin) dan Datuk Francis Harden Hollis di DUN Simanggang.

Lebih separuh daripada calon adalah muka baharu yang akan bertanding di kawasan majoriti Cina kecuali Simanggang, kawasan majoriti kaum Dayak dan kawasan campuran di kerusi DUN Senadin.

Memakai baju SUPP berwarna kuning dengan slogan 'United We Can' (Bersatu Kita Boleh), Dr Sim, yang dilantik sebagai Anggota Dewan Negara pada 2014, berkata isu-isu mendesak kepada masyarakat Cina kini ditangani secara berperingkat oleh Adenan.

"Isu-isu seperti kerajaan yang bersih, telus dan adil, perniagaan, peluang pekerjaan dan pendidikan sangat dekat di hati masyarakat Cina. Berilah kami peluang untuk menunaikan apa yang kami janjikan.

"Saya memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa mereka tidak akan kecewa," katanya.

Pada PRN 2011, SUPP menerima tamparan hebat apabila kalah 13 daripada 19 kerusi ditandinginya. Satu daripada kerusi itu dimenangi oleh calon PKR manakala 12 lagi kerusi berkenaan menjadi milik wakil DAP.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana