Jalan rosak: Kerajaan negeri buta mata pekak telinga

SHAH ALAM – Pengguna di Subang Bestari Seksyen U5 di sini sudah hampir hilang sabar dengan sikap kerajaan negeri yang ‘buta mata pekak telinga’ dengan masalah kerosakan jalan di kawasan itu.

Menurut mereka, sudah lima tahun jalan di kawasan itu rosak dan aduan juga sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil untuk membaikinya.

Jalan di Persiaran Atmosfera tersebut bukan setakat rosak, malah lopaknya boleh menjadi ‘kolam ikan’ setiap kali hujan lebat sehingga mengundang bahaya kepada pengguna

Seorang pengguna, Othman Ali, 53, berkata, Persiaran Atmosfera merupakan jalan utama yang menghubungkan persimpangan Lebuh Raya Guthrie dan Kota Damansara.

“Saya tidak faham kenapa pihak berkuasa tempatan membiarkan jalan ini rosak teruk sedangkan ini merupakan utama keluar masuk ke kawasan ini.

“Tengoklah jalan itu, lubang sedalam 2 kaki pun ada, tiada saliran longkang dan air akan bertakung walaupun hujan tak sampai setengah jam. Bukan sahaja nyawa penduduk terancam tetapi boleh merosakkan kenderaan yang melaluinya,” luahnya dengan perasaan geram.

Bagi Sharul Kamal Mustafa,  31, dia kecewa dengan pihak berkuasa tempatan yang seolah-olah buta dan sengaja buat tidak nampak dengan nasib pengguna jalan tersebut.

“Saya kecewa dengan PBT yang langsung tidak memperdulikan keadaan jalan ini. Mustahil mereka tak tahu sedangkan Kompleks Pejabat Daerah Petaling hanya 400 meter dari jalan ini,” katanya dengan kesal.

Apa yang mengecewakan, menurut Sharul Kamal, Persiaran Atmosfera ini merupakan jalan utama dan di situ terletaknya Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

“Sudah tentu ramai orang luar menggunakan jalan ini setiap hari untuk menyelesaikan urusan mereka di sini. Jadi saya masih tidak faham kenapa pihak kerajaan PKR ini sanggup menyeksa rakyat dengan membiarkan jalan ini rosak teruk,” katanya lagi.

Dzuraimi Md Amin, 49, pula berkata, jalan rosak ini telah mengundang banyak kemalangan sehingga berlakunya kemalangan maut.

Dzuraimi menjelaskan, ada pengguna jalan raya di sini mengambil tindakan sendiri untuk memasuki laluan arah bertentangan yang menyebabkan risiko tinggi berlakunya kemalangan.

“Kebanyakan penduduk di sini tidak akan melalui laluan jalan rosak ini. Mereka akan melalui jalan berlawanan arus di sebelah sana. Jadi jalan 2 lorong akan menjadi selorong. Ini menyebabkan boleh berlaku kemalangan terutamanya kepada mereka yang pertama kali melalui jalan ini,” katanya.

Tambah Dzuraimi, kemalangan terbaru berlaku 19 April yang lalu melibatkan sebuah motorsikal dengan kereta.

“Sangat mendukacitakan. Anak kepada penunggang motorsikal itu tercampak dan sekarang mengalami patah 2 kaki dan pinggul,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Dzuraimi berharap pihak Kerajaan PKR Selangor dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera demi kesejahteraan penduduk di sini.

“Sudah semestinya isu ini diselesaikan segera. Menteri Besar jangan ‘double standard’ untuk memperdulikan nasib rakyat di sini. Walaupun wakil rakyat di sini dari Barisan Nasional, tapi DUN Kota Damansara ini bukan terletak di luar Selangor,” luahnya lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana