Skor keseluruhan Indeks Syariah Malaysia 75.42 peratus - Najib

PUTRAJAYA: Skor keseluruhan Indeks Syariah Malaysia bagi 2015, yang julung kalinya dikeluarkan dalam sejarah sistem pentadbiran negara, adalah sebanyak 75.42 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata nilai indeks syariah itu adalah berdasarkan pencapaian lapan bidang utama pentadbiran negara yang dibuat melalui penyelidikan yang komprehensif dan saintifik.

Lapan bidang tersebut adalah pendidikan, perundangan Islam, politik, kesihatan, ekonomi, budaya, sosial serta prasarana dan persekitaran.

"Indeks yang pertama kali di dunia seumpamanya ini, adalah berdasarkan hasil dapatan penyelidikan yang telah berjalan selama enam bulan di seluruh Malaysia dengan tenaga kepakaran seramai 133 orang penyelidik dalam pelbagai disiplin ilmu," katanya.

Najib berkata demikian ketika membentangkan Laporan Kajian Indeks Syariah Malaysia bersempena Majlis Ulama-Umara 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran yang saintifik dan menyeluruh bagi menentu ukur kedudukan kerajaan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip asas Islam iaitu Maqasid Syariah.

Lima elemen utama dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan kayu ukur utama yang akan digunakan untuk mengukur lapan bidang utama pentadbiran negara tersebut.

Najib berkata berdasarkan dapatan kategori pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat, Indeks Syariah Malaysia untuk bidang pendidikan adalah sebanyak 82.5 peratus yang menunjukkan usaha dalam pembangunan pendidikan diterima secara positif oleh rakyat.

Indeks syariah dalam bidang perundangan Islam pula adalah sebanyak 87.19 peratus dan adalah hasil ulama dan umara yang telah meletakkan syariah di tempatnya sebelum zaman penjajahan lagi, katanya.

"Mempertikaikan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah menafikan sejarah, budaya malah perlembagaan yang membentuk negara ini," katanya.

Mengenai bidang ekonomi yang mencapai 65.27 peratus, Najib berkata walaupun asas sistem ekonomi Malaysia adalah konvensional namun kerajaan sentiasa berusaha mengadaptasi syariah dalam sistemnya secara berperingkat malah banyak dasar ekonomi negara kini bertepatan dengan Maqasid Syariah.

Dalam bidang politik pula, kajian merumuskan nilai skor bagi bidang tersebut adalah sebanyak 79.19 peratus, katanya.

"Peratusan indeks ini, sudah cukup untuk kita bermuhasabah tentang prestasi kita untuk melakukan lebih banyak pengislahan dalam bidang politik di negara ini," katanya.

Untuk sektor kesihatan yang mendapat nilai 73.92 peratus, Perdana Menteri berkata kerajaan telah meletakkan nilai Maqasid Syariah dalam memenuhi mashalah umat yang bersifat keperluan asasi, termasuk pembukaan Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan caj RM1 untuk setiap rawatan yang diberikan.

Beliau berkata kajian menunjukkan bidang sosial mendapat indeks sebanyak 68.52 peratus yang disumbangkan oleh faktor seperti persekitaran politik yang kondusif.

"Pembangunan indeks sosial amat penting sebagai penanda aras kepada praktis Islam yang dirancang dan diamal selama ini, dan kerajaan akan meneliti cadangan-cadangan penambahbaikan yang dikemukakan," katanya.

Bagi bidang budaya pula, Najib berkata sektor tersebut mendapat 66.47 peratus dan nilai indeks tersebut menunjukkan bahawa masih terlalu banyak ruang yang perlu dibaiki agar dasar budaya yang digubal selari dengan Maqasid Syariah.

Mengenai sektor prasarana dan persekitaran yang mendapat 62.31 peratus, katanya kerajaan melihat keperluan untuk diteliti satu persatu kelompongannya untuk memastikan rakyat dapat hidup aman dan harmoni dalam aspek prasarana dan persekitaran. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana