Yang Penting Kerajaan Selangor PR.....Antara papan iklan Anwar dan denggi

MUSIM ini, jika merantau di sekitar Selangor, kita pasti ternampak paparan papan-papan tanda mengenai penghakiman kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa bermotif politik, lebih banyak dari isu rakyat.

Seolah-olah Anwar adalah isu utama di negeri itu. Hakikatnya antara masalah utama rakyat di Selangor yang sering kali dipendamkan dengan isu-isu sensasi politik adalah demam denggi.

Denggi di Selangor bukan lagi sekadar penyakit terasing dan jarang-jarang tetapi sudah menjadi wabak. Berdasarkan maklumat menerusi http://idengue.remotesensing.gov.my, setakat 3 Januari sehingga 18 Februari 2016, Selangor merekodkan 10,692 kes terkumpul kes denggi. Ini sangat tinggi berbanding negeri-negeri lain termasuklah mengatasi jiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencatatkan 1,348 kes terkumpul bagi tempoh sama.

Malah, Selangor juga menjuarai dari segi bilangan kes harian apabila mencatatkan 240 kes berbanding negeri yang ditadbir sekutu mereka, DAP di Pulau Pinang, yang hanya mencatatkan 17 kes harian denggi.

Statistik ini menimbulkan persoalan bagaimana Selangor yang mengikut mantera Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebagai sebuah `negeri maju dan berkebajikan’ boleh mencatatkan bilangan kes denggi yang begitu tinggi.

Pengumuman Bajet Selangor 2016 yang memperuntukkan RM 1.5 juta bagi tujuan program pencegahan dan kawalan denggi juga tidak masuk akal. Apakah angka ini realistik dalam menangani wabak denggi yang meragut ratusan nyawa rakyat Selangor tahun lalu?

Jumlah peruntukan itu mencerminkan sikap tidak apa Kerajaan Negeri Selangor dalam menjaga kebajikan rakyat. Ini terbukti apabila sehingga kini bilangan kes demam denggi masih tinggi.

Sikap tidak apa ini terserlah lagi apabila program-program terjah yang dilakukan oleh Menteri Besar dengan turun padang mengadakan pemeriksaan, termasuk mencuci longkang-longkang sebelum ini, tidak ada kelangsungan yang menyeluruh.

Ia hanya berhasil mewujudkan peningkatan imej Menteri Besar tetapi tidak memberi apa-apa kesan signifikan dalam usaha membanteras wabak denggi.

Melihat kes denggi ini, kita merasakan kerajaan Selangor yang dipimpin PKR, DAP dan Pas pada hari ini seperti hilang fokus serta tidak tahu antara perkara yang perlu diberikan keutamaan, khususnya dalam menjaga kesejahteraan rakyat termasuklah dalam soal kesihatan.

Di sebalik slogan memperjuangkan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor ini kelihatan lebih banyak tertumpu kepada soal politik pemimpin melebihi kepentingan rakyat.

Mereka sebenarnya hanya menggunakan perkataan rakyat tetapi memperjuangkan kepentingan aristokratik kepimpinan Pakatan Rakyat sahaja.

Mereka berterusan menyalahkan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai punca yang menyebabkan Penasihat PKR itu dipenjarakan atas kesalahan liwat dan mengenepikan agenda rakyat.

Sikap politik aristokratik Pakatan ini sangat jelas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April tahun lalu. Kerajaan Negeri menerusi wakil-wakil rakyatnya lebih suka membawa usul mengutuk keputusan Anwar dipenjarakan atas dakwaan bermotifkan politik.

Malah, usul tersebut diluluskan oleh DUN yang mana Menteri Besar sendiri menyatakan hukuman ke atas Penasihat PKR itu adalah tidak adil selain menuntut proses keadilan di negara ini dapat dilaksanakan secara telus.

Selain itu, pada 9 Februari lalu, Menteri Besar dilaporkan turut memberikan ucapan menerusi lintas langsung dari Tanah Suci Mekah yang disiarkan semasa Himpunan 365 #Bebaskan Anwar di hadapan Penjara Sungai Buloh menuntut pembebasan Anwar.

Justeru, manakah yang lebih penting bagi kerajaan negeri, Anwar atau rakyat Selangor yang ketika ini diancam wabak denggi?

Selain itu, usaha membanteras wabak denggi di Selangor turut tersekat apabila kerajaan negeri gagal menyelesaikan sepenuhnya polemik pentadbiran PBT di negeri ini. Isu pelantikan ahli majlis yang dilihat telah mencetuskan polemik politik dalam kalangan pemimpin PKR sendiri masih berterusan dengan kemunculan parti serpihan, Parti Amanah Rakyat (PAN).

Kegagalan ini kian nyata apabila pada 16 Februari lalu, pemimpin akar umbi PKR dilaporkan menyatakan telah hilang kepercayaan terhadap Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar. Beliau didakwa terbabit dalam kronisme, gagal dalam menjalankan urus tadbir yang cekap dan mengamalkan politik dendam, khususnya dalam pemilihan ahli majlis PBT.

Hari ini juga majoriti PBT di dalam Selangor memuatkan bahan iklan yang memperingati tempoh setahun hukuman penjara ke atas Anwar. Semua orang tahu beliau bukanlah tahanan politik tetapi didapati bersalah dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan di atas dakwaan meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Bukankah lebih baik mesej paparan iklan itu berganti dengan isu denggi yang gagal ditangani oleh kerajaan Azmin?

Rakyat harus mula menilai apa yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan di Selangor, bukannya menelan bulat-bulat slogan `demi rakyat’ yang mereka laungkan.

Setakat ini jelas pentadbiran Selangor lebih kepada soal Anwar daripada soal rakyat Selangor, hatta dalam hal membabitkan nyawa sekalipun.

PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sungai Panjang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana