Salam damai Najib tidak bersambut... Muhyiddin berdepan tindakan

Ramai yang masih ingat petang Sabtu 13 Disember lalu, ketika Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO ke 69.
Najib berbaju Melayu merah dengan jelas menghulurkan salam damai buat penentang beliau dalam UMNO, yang sedihnya, diketuai oleh timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Najib ketika itu, beliau membuka pintu dan jendela hatinya kepada semua untuk bersatu kembali bagi mengukuhkan ikatan parti.

Namun, beliau yang berbuat demikian kerana memilih untuk berjiwa besar turut mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang masih menolak dan mahu pertelagahan bermakna mereka menolak titik perdamaian yang dituntut syura parti.

“Faham baik-baik, faham baik-baik. Ini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak presiden parti tetapi sebenarnya ternyata (mereka) menolak titik persefahaman,”.katanya.

Kini selepas dua bulan berlalu, salam damai Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO tidak bersambut.

Muhyiddin yang terpedaya dengan gerakan anti-Najib terus menyerang Presiden UMNO itu dalam majlis yang dihadirinya termasuk yang terakhir di Port Dickson hujung minggu lalu.

Kritikan terhadap Najib jelas mengundang masalah buat Muhyiddin kerana sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO melihat ia merupakan cara yang salah untuk menegur pemimpin.

Cara Muhyiddin itu dikatakan 'kurang adab' dan 'kurang ajar' untuk orang nombor dua menyerang secara terbuka bosnya.

Muhyiddin seperti yang diketahui umum, terpengaruh dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama-sama dengan seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Shafie Afdal.

Hajat Dr Mahathir jelas iaitu mahu menukar Najib yang enggan mendengar cakapnya.

Mungkin satu-satunya kekesalan Muhyiddin jika ada, ialah beliau membiarkan dirinya diperkuda Dr Mahathir untuk menimbulkan keraguan terhadap Najib terutamanya dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Bagaimanapun misi Dr Mahathir gagal selepas Muhyiddin dan Shafie digugurkan dari jawatan Kabinet dan kini sudah ada usul untuk mengantung beliau dari jawatan nombor dua parti.

Muhyiddin kemungkinan besar digantung tugas sebagai timbalan presiden semasa Mesyuarat Tertinggi (MT) UMNO pada Jumaat.

Di bawah perlembagaan UMNO, Majlis Tertinggi adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti dan diberi kuasa untuk membuat kata putus mengenai hal berkaitan parti.

Difahamkan aporan mengenai ucapan dan kenyataan yang dibuat Muhyiddin sejak beberapa bulan lalu akan disediakan bersama dalam mesyuarat tersebut.

Ahli MT UMNO Datuk Seri Nazri Aziz pada Khamis mengaku kepada pihak media bahawa beliau akan mencadangkan usul penggantungan Muhyiddin semasa mesyuarat MT UMNO esok.

Beliau berkata ia boleh digunakan sebagai aduan rasmi terhadap Muhyiddin kerana 'gagal menjalankan tugasnya' sebagai timbalan presiden parti.

"Saya ingin merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin selagi mereka sedia menyiasat beliau.

"Saya juga akan mencadangkan bahawa jika beliau didapati melanggar beberapa seksyen dalam perlembagaan parti, beliau akan digantung," kata Nazri.

Jelas beliau lagi Majlis Tertinggi boleh memecat Muhyiddin sebagai ahli tetapi tidak mahu perkara itu berlaku kerana ia berkaitan hal disiplin dan Muhyiddin tidak melakukan kesalahan jenayah.

Sekiranya penggantungan itu berlaku, ia akan dilanjutkan sehingga pemilihan parti yang akan datang, kata Nazri.

Beliau memberi contoh semasa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden yang pertama akan diminta untuk mengalas jawatan sebagai Timbalan Presiden.

"Dalam kes ini, jika penggantungan Muhyiddin berlaku, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengambil alih tugas tersebut sementara waktu kerana beliau merupakan Naib Presiden pertama dalam parti.

"Jika Muhyiddin dipecat, saya fikir ia keterlaluan kerana apa yang dilakukannya adalah mengkritik tetapi beliau tidak boleh mengkritik kerana beliau adalah timbalan presiden. Jadi langkah terbaik adalah menggantung tugas beliau," katanya.

Ditanya sekiranya langkah itu akan menjejaskan parti, Nazri berkata ia sebenarnya akan mengukuhkan lagi UMNO.

"Bagaimana kita boleh mengadakan mesyuarat mengenai rahsia dan strategi UMNO apabila timbalan presiden duduk di sebelah dan bersedia melakukan apa sahaja untuk melemahkan parti... kita tidak boleh beroperasi dengan baik," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana