Kes Bafia: Rafizi Terdesak, Takut Pindaan OSA - Azalina

KUALA LUMPUR: Tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengkritik cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 menunjukkan beliau kini terdesak dan takut berhubung kesnya berkaitan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) 1989 yang masih belum selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Rafizi sengaja cuba mengalihkan kesnya itu kepada dakwaan kononnya pindaan akta itu bertujuan untuk menindas wartawan dan kebebasan media di negara ini.

"Beliau juga dengan sengaja menyatakan bahawa pindaan ini adalah penindasan kepada wartawan dan kebebasan media supaya beliau mendapat sokongan daripada pihak media berhubung dengan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata, anggota Parlimen Pandan itu tidak mempunyai sebarang imuniti atau keistimewaan dalam konteks undang-undang apatah lagi kes yang melibatkan beliau di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) 1989 masih belum selesai.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini dilaporkan berkata, beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.

Rafizi dilaporkan memulakan kempen di media sosial bagi mendapatkan seberapa banyak sokongan bagi menolak cadangan pindaan akta itu.

Azalina berkata, tindakan Rafizi mendapatkan pelbagai maklumat peribadi, khususnya daripada institusi kewangan, adalah melanggar undang-undang.

"Ketika perbahasan di Parlimen, beliau juga menyatakan bahawa beliau mendapat maklumat yang bocor berhubung pembelian aset kerajaan. Keadaan ini jelas bahawa beliau sendiri telah mengakui secara tidak langsung dan adalah wajar untuk disiasat dan diambil tindakan dengan kadar segera," katanya.

Azalina berkata, kes Bafia yang melibatkan Rafizi telah berlarutan hampir empat tahun dan sepatutnya perlu diputuskan segera kerana menjadi penanda aras kepada sektor kewangan negara.

"Isu ini bukan hanya melibatkan kepentingan individu tetapi boleh mengugat ekonomi dan keselamatan negara. Sekiranya kes tersebut masih ditangguh pihak luar akan beranggapan undang-undang melibatkan perbankan negara adalah longgar.

"Sejak kebelakangan ini terlalu banyak kebocoran maklumat berlaku sehinggakan mengancam keselamatan negara. Pendedahan kepada umum bukan satu tindakan yang baik sebaliknya mereka yang mempunyai maklumat perlu membawa isu tersebut kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, cadangan Peguam Negara untuk menyemak semula OSA 1972 adalah amat tepat bagi Malaysia.

Beliau berkata, Mohamed Apandi amat bimbang dengan masalah kebocoran maklumat kerana terdapat banyak kebocoran maklumat terutama maklumat rahsia kerajaan.

"Anda tidak lihat ini berlaku di negara-negara lain, tetapi anda dapat lihat banyak kejadian pecah amanah (membocorkan maklumat) di Malaysia. Tiada kebebasan mutlak, malah di Amerika, bagi media atau sesiapa sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di sini, Isnin.

Azalina berkata, perlu ada perbezaan antara komen adil, kebebasan bersuara dan pecah amanah.

"Bagaimana kami nak mentadbir jika terdapat banyak pecah amanah oleh pegawai kerajaan atau pihak ketiga, isu yang kami akan kaji hanya melibatkan hukuman seumur hidup dan berat kesalahan," katanya. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana