ENAM 'TALI BARUT' DIBERKAS

KOTA KINABALU 13 Feb. - Enam individu termasuk seorang wanita ditahan pasukan keselamatan kerana dipercayai menjadi 'tali barut' kepada penjenayah asing untuk melakukan jenayah terutama di negeri ini.

Mereka ditahan bersama 514 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di kawasan penempatan setinggan di Telipok, di sini.

Polis kini sedang menyiasat hubungan kesemua suspek dengan penjenayah asing terutama dari selatan Filipina seperti menculik untuk tebusan dan pengganas Kiram.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, operasi menahan kesemua enam suspek berusia 19 hingga 50-an dan PATI terlibat disertai lebih 1,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan beberapa agensi lain.

Menurutnya, dalam operasi yang bermula pukul 1 pagi tadi itu, kesemua enam suspek ditahan secara berasingan dan dipercayai warganegara Filipina selain mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Tangkapan ke atas enam suspek dibuat berdasarkan risikan PDRM, terdapat dalang pemberi maklumat dan bantuan kepada penjenayah asing untuk melakukan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Awang Sahari EM Nadzer serta Panglima Angkatan Tugas 450, Datuk Zulkapri Rahmat.

Tambah Abdul Rashid, pihaknya kini memperhalusi lokasi-lokasi lain yang dipercayai menjadi penempatan dalang kepada penjenayah asing di negeri ini.

Ditanya mengenai jenis jenayah yang melibatkan mereka, beliau hanya memaklumkan pelbagai jenayah termasuk pengedaran dadah serta menafikan penglibatan pengganas.

“Kita menyiasat dari semua sudut termasuk sama ada mereka terlibat dalam memberi maklumat kepada pengganas Kiram atau menculik untuk tebusan. Saya harap masyarakat jangan membuat spekulasi serta memberi ruang kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat tali barut yang menetap di kawasan lain. Perkara ini sedang kita perhalusi dan mereka akan diburu pasukan keselamatan,” katanya.

Ditanya lagi sejak bila suspek berlindung di penempatan setinggan yang kebanyakannya didiami warganegara Filipina itu, beliau tidak menjelaskan tempoh sebenar tetapi memberitahu pihaknya mendapat maklumat telah lama namun perlu memperhalusi maklumat tersebut sebelum bertindak.

Tambah Abdul Rashid, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam operasi bersepadu itu, beliau berkata, 514 PATI terlibat ditahan selepas pihaknya memeriksa sebanyak 1,537 buah rumah dan 4,794 individu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana sering tampil memberi maklumat kepada pihak polis.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa operasi ini bukan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya demi memastikan keselamatan negara berada di tahap tertinggi serta kedaulatan negara terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitter rasminya memuji kejayaan PDRM Sabah itu.

“Syabas PDRM Sabah, ATM, MKN dan lain-lain agensi penguat kuasa gempur Telipok, Kota Kinabalu, tangkap 506 orang (enam di bawah SOSMA) dalang-dalang penjenayah asing,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana