NASIHAT ORANG LAMA YANG SENASIB DENGAN MUKHRIZ

Osman Aroff minta Mukhriz akur – Beliau juga pernah alami nasib serupa atas kehendak Mahathir

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff yang ‘diundurkan’ daripada jawatannya pada tahun 1996 meminta Datuk Seri Mukhriz Mahathir akur dengan keputusan parti mahu menggantikannya dengan pemimpin lain.

Beliau yang digantikan dengan Tan Sri Sanusi Junid oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad juga minta pihak yang terbabit tidak mengaitkan krisis UMNO Kedah sekarang dengan pihak istana.

Menteri Besar Kedah keenam itu menyarankan semua yang terbabit akur dengan pendirian parti yang sudah membuat keputusan berhubung kedudukan Mukhriz.

Osman berkata, beliau pernah mengalaminya apabila Dr Mahathir selaku Presiden UMNO ketika itu mahukannya meletakkan jawatan walaupun dipertahankan oleh 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah.

Katanya, ketika itu pihak istana tidak pernah campur tangan dan terus berkecuali sehingga isu selesai dengan pengundurannya atas dasar mengikut arahan ketua.

“Di pihak mana sekali pun, jangan guna nama istana kerana setahu saya istana tidak pernah masuk campur dalam urusan politik seperti ini. Sultan Kedah (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah) tidak pernah ikut campur hal politik, baginda berkecuali,” katanya.

Beliau juga berkata, Kedah berdepan masalah jika Mukhriz terus kekal Menteri Besar tanpa mendapat sokongan dan dokongan parti.

Justeru, beliau minta Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak segera membuat keputusan bagi menjernihkan kembali keadaan dengan tidak membiarkan kemelut politik negeri berpanjangan.

“Parti di peringkat negeri sudah membuat pendirian hilang kepercayaan kepada pimpinan mereka. Perdana Menteri tidak boleh bertangguh lagi kerana keadaan boleh jadi lebih buruk jika perkara ini dibiarkan berpanjangan. Najib perlu buat keputusan segera.

“Apa yang jelas di sini, jika Menteri Besar kekal tanpa sokongan parti yang mendokongnya, maka pentadbiran negeri Kedah akan berada dalam masalah. Jika bermasalah bagaimana pentadbiran akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, beliau membidas dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika Mukhriz disingkirkan kerana berpendapat keputusan PRU berdasarkan gerak kerja parti untuk mendekati rakyat.

“Untuk kata muktamad BN akan kalah pada pilihan raya, …itu tidak adil. Kita tidak boleh kata kemenangan itu disebabkan seseorang semata-mata kerana seluruh jentera buat kerja untuk mendapatkan undi rakyat.

“Apa yang penting dalam apa jua keadaan selepas ini, BN perlu kembali mendekati rakyat dan berusaha memenangi hati rakyat bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana