Azeez nafi lantikan Apandi Lembaga Pengarah TH imbuhan tutup kes PM

Sebaik berita pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohamaed Apandi Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) tersebar, Datuk Seri Abdul Azzez menjadi "buruan" semasa sidang parlimen membahaskan usul TPPA pada Selasa.
Pengerusi TH itu bagaimanapun berjaya mengelak terjahan dan jolokan media dan hanya berkata "no comment".

Tetapi Agendadaily dan BNbbc tidak berputus asa dan akhirnya berjaya memujuknya untuk menjawab segala tohmahan terutama dari tukang spin portal pro-pembangkang.

Azeez menolak dakwaan kononnya pelantikan Apandi sebagai imbuhan bagi menutup kes membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sesiapapun yang dilantik TH sebagai ahli lembaga pengarah pasti akan ada ‘modal’ lain yang digunakan pembangkang untuk memburukkan imej TH.

"Orang di luar sana akan tetap mengata saya, sebagai contoh jika saya lantik peguam lain seperti Tan Sri Shafee Abdullah nanti orang akan cakap sebab kulit kita sama,” katanya secara berseloroh.

Apandi menggantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Tan Sri Hashim Meon yang tamat tempohnya sebagai ahli Lembaga Pengarah TH pada hujung Disember lalu.

Dalam nada serius, Azeez berkata TH memerlukan pelbagai golongan profesional untuk menyemarakkan lagi hala tuju masa depan Tabung Haji.

"Kita ada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Siregar Abdullah dalam Lembaga Pengarah. Ahli yang lain ialah Timbalan Ketua Setiausaha di JPM, Datuk Seri Osman, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, Pengerusi Majlis Fatwa Malaysia, Tan Sri Shukor, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badaruddin Amiruddin, Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni bagi melengkapkan kuota wanita.

"TH banyak memerlukan sokongan dan bantuan daripada cerdik pandai dalam konteks undang-undang kerana kita ada perniagaan di Mekah, Madinah, London dan Sydney, di mana kadang-kadang kita terpaksa membayar bayaran guaman yang agak tinggi.

"Oleh kerana itu kita merasakan sekiranya seorang Peguam Negara tidak langgar tatacara atau beliau boleh menjadi ahli Lembaga Pengarah, maka kita tawarkan beliau melalui Menteri.

"Apandi bersetuju setelah meneliti ini adalah satu sumbangan CSRnya memandangkan dia tidak menerima gaji atau pendapatan yang spesifik. Dia hanya dapat elaun kehadiran mesyuarat," jelasnya.

Menurut Azeez pelantikan Apandi berkuatkuasa 15 Januari 2016 dan peranannya adalah untuk memberi nasihat perundangan kepada Lembaga Tabung Haji khususnya kepada Jabatan Perundangan dalam apa jua urusan di dalam atau luar negara.

"Kalau kita nak lantik firma guaman sebagai perunding sudah pastinya kita kena keluarkan belanja yang banyak. Kita kena jaga duit pendeposit dan pencarum.

"Kehadiran Apandi dapat membantu mengangkat martabat satu-satunya institusi kepunyaan orang Islam negara kita.

"TH mengalu-alukan kehadirannya kerana ia akan menambah nilai yang begitu banyak. Dalam Lembaga Pengarah kita juga ada seorang Pengarah Integriti SPRM peringkat negeri. Lembaga Pengarah TH diperkuat dengan golongan yang ada latar-belakang pakar kewangan, birokrasi, protokol serta agama dan kehadiran Apandi menjadi pelengkap kepada pakej yang menarik," katanya.

Azeez berkata dia tidak mahu mana-mana pihak bermain politik dalan halTabung Haji yang menjaga amanah kira-kira lapan juta lebih pencarum.

"Sejak saya mula-mula jadi pengerusi pun dah macam-macam orang spin. Tetapi saya tahu yang mana halal yang mana haram. Tabung Haji ini saya jaga dengan penuh amanah kerana ini bukan sahaja menjaga keseluruhan umat tetapi kerana agama, bangsa dan tanahair saya.

"Percayalah saya juga takut kepada Allah. Saya orang Islam dan tak akan menganiaya pencarum," tegasnya.

Azeez berkata, ahli-ahli Lembaga Pengarah memainkan peranan penting untuk membantu pengerusi memastikan segala keputusan yang dibuat oleh TH dalam apa jua perniagaan atau untuk jemaah itu betul dan tepat.

"Saya tak boleh melakukannya seorang diri. Saya perlu pandangan dan nasihat dari golongan cerdik pandai dan lebih senior dari saya. Ini satu amanah. Apabila Perdana Menteri melantik saya, pesanan beliau ialah supaya saya menjaga TH dengan baik.

"Selagi nyawa dikandung badan, saya akan mempertahankan Tabung Haji. Orang tak akan berhenti spin. Selagi saya pakai lencana UMNO dan BN selagi itulah ini menjadi kerja mereka," tambahnya.

Azeez turut memaklumkan bahawa TH akan mengumumkan dividen kepada pencarum sebelum perayaam Tahun Baru Cina.

"Saya ingin menekankan bahawa TH tidak samasekali menghadapi masalah kewangan atau "duit dah hilang". Semua ini adalah fitnah.

"Yang pasti, nawaitu seluruh ahli Lembaga Pengarah adalah ikhlas, jujur dan amanah untuk menjaga kepentingan pencarum yang meletak duit dalam TH," katanya.

Mengulas mengenai surat dari Bank Negara yang bocor dan diviralkan di media sosial, Azeez berkata dia sedang menimbangkan kemungkinan membuat laporan polis.

"Saya sedang draf laporan polis nak minta mereka siasat bagaimana blogger-blogger boleh dapat surat dari Tan Sri Zeti Aziz kepada saya.

"Surat itu saya dan menteri terima pada 24 Disember. Bila saya ke Mekah pada hujung tahun saya bawa surat itu. Saya sambut tahun baharu depan Kaabah. Tidak ada orang tahu surat itu ada pada saya. Tapi hari ini surat itu bocor.

"Saya sudah minta pandangan peguam dan akan buat laporan polis dalam masa terdekat. Saya pun sekarang sudah ada Peguam Negara dalam Lembaga Pengarah dan akan minta pandangan dia," katanya.

Mengenai isi kandungan surat itu, Azeez berkata walaupun TH tidak tertakluk di bawah Bank Negara tetapi sebagai regulator sudah tentu ia menghantar surat kepada banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

"Saya anggap surat itu sebagai satu peringatan sahaja sebab kita sedang hadapi masalah matawang yang jatuh. Bagi saya ia satu nasihat yang baik. Saya sudah balas surat itu kepada Tan Sri Zeti. Kami ambil pandangan dan nasihatnya," katanya mengakhiri perbualan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana