Penganalisis: Umno-Pas tidak berlebih-lebihan, 'gentleman'

SHAH ALAM - Pemimpin utama Umno dan Pas dilihat menunjukkan sikap 'gentlemen' apabila boleh mewujudkan persefahaman dalam rundingan awal kerjasama antara parti pemerintah dan pembangkang di negara ini.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, reaksi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awal memberi isyarat bahawa parti Islam itu tidak menolak mentah-mentah 'tali silaturrahim' yang dihulur.

"Kita lihat Pas memberikan respon yang positif untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bersetuju melihat ruang untuk bekerjasama.

"Saya anggap pendirian Pas itu positif tetapi tidak berlebihan, masing-masing mahu menjalin persefahaman baharu di antara mereka, usaha untuk faedah orang Islam, Melayu dan agama Islam," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi pada Jumaat bahawa kesediaan Pas untuk menjadi penasihat kepada kerajaan bukan kerana pangkat tetapi untuk menjadi penyelamat.

Abdul Hadi berkata, ia juga termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunah yang menjadi dasar yang tertinggi dalam undang-undang tubuh Pas.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, kerjasama itu sebenarnya sudah bermula sejak tragedi banjir besar yang melanda negeri di pantai timur khususnya Kelantan.

"Kerjasama itu sudah bermula pada waktu itu, dan kita lihat kerajaan negeri dan kerajaan pusat berganding bahu mengetepikan perbezaan politik berusaha mengatasi masalah rakyat.

"Dari situ, saya lihat sentimen politik sudah mula kendur apabila Umno tidak bertanding dalam satu pilihan raya di Kelantan kerana Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," jelasnya.

Beliau berkata lagi, semua tindak balas Umno yang diberikan kepada Pas menunjukkan wujudnya usaha kedua-dua pihak untuk membuka ruang kepada satu persefahaman dan kerjasama baharu.

Tambah beliau, suasana yang wujud sekarang antara Umno dan Pas itu perlu dibiarkan begitu sahaja kerana kerjasama itu tidak boleh dipaksa kerana ia bergantung kepada kesediaan masing-masing.

"Pas bergabung dengan Umno pada 1973 selepas berlakunya peristiwa 13 Mei, iaitu peristiwa besar yang berlaku dalam negara.

"Dari situ yang mendorong Pas untuk bersama dengan Umno-BN. Jangan kita lupa ada faktor pendesak yang kuat wujud ketika itu, dan kita tahu bahawa suasana telah dibentuk bagi membolehkan persefahaman ini," tegasnya.

Ditanya tentang kelantangan beberapa pimpinan Pas membantah kerjasama itu, beliau bagaimanapun berkata, ia sekadar peringatan kepada Abdul Hadi supaya lebih berhati-hati.

"Beberapa pimpinan Pas merasakan bahawa jangan terlalu cepat melangkah untuk masuk ke dalam kerjasama dengan Umno ini.

"Mereka mahu Pas tidak terlalu ke depan sangat kerana mereka tahu bahawa di masa lalu, Pas sudah melalui banyak peristiwa dengan Umno," katanya lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana