TAKUT KERJASAMA UMNO-PAS?

KENYATAAN Lim Guan Eng mengenai pelantikan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai Pegawai Eks­ekutif (CEO) Yayasan Gerakan Ke­se­derhanaan Global (GMM) dengan mengaitkannya sebagai petanda Pas akan bersama dengan UMNO memperlihatkan dengan jelas kejelikan DAP terhadap Pas tetapi juga kebencian DAP terhadap UMNO.

Bila kepemimpinan Pas membuat kenyataan mengambil pendirian pembangkang beradab dan sedia bekerjasama dengan pihak lain yang membawa kebaikan, ini pula dilihat sebagai kecenderungan melunakkan pendirian pembangkang terhadap UMNO dan kerajaan.

Selamanya DAP menganggap UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama terhadap kemaraan DAP. Kini DAP menjadikan Pas sasaran baharu untuk ditumbangkan kerana tahalluf siyasi menyebabkan Pas tahu bahawa selama ini DAP melaksanakan strategi `pecah dan perintah’ untuk sampai ke Putrajaya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), tahalluf siyasi memberi kesan dalam percaturan politik di Malaysia. Walaupun DAP menjadikan PKR dan Pas yang majoritinya orang Melayu untuk mengalahkan UMNO, slogan Ini kalilah tidak mencapai maksud. Apatah lagi apabila PKR yang menghadapi masalah dalaman dan Pas sudah meninggalkan Pakatan Rakyat, DAP mewujudkan regu baharu menghadapi Pas dan UMNO dalam PRU-14 nanti.

Kelahiran Parti Amanah Negara (Amanah) diketahui umum sebagai strategi DAP untuk melemahkan Pas. Kelompok Anwariyyun yang dianggap sebagai parasit dalam Pas kini bertindak keluar dari Pas dan sedang didukung oleh DAP untuk mewujudkan momentum PRU-14 nanti.

Bagi mengatasi imej DAP kecinaan, lebih ramai tokoh Melayu dipelawa menyertai DAP. Pelajar-pelajar Melayu dalam fakulti Undang-undang mula dijinakkan dalam Sekolah Politik DAP supaya imej parti berbilang kaum itu wujud. DAP sedar tanpa sokongan orang Melayu dan parti politik Melayu tidak mudah untuk menumbangkan UMNO apatah lagi sekiranya Pas dilihat semakin lunak untuk bersama-sama dengan program pembangunan yang memberi kebaikan kepada rakyat.
Ternyata apabila Pas mengambil pendirian berkecuali dalam isu penolakan Bajet 2016 yang dikemukakan oleh DAP dan sekutunya, ini semacam mengesahkan niat Pas untuk bersama dengan kerajaan. Ia semacam memberi kekuatan kepada Amanah bahawa benarlah dakwaan Amanah, Pas cenderung bekerjasama dengan UMNO dan kerajaan.

Dalam Pakatan Rakyat dulu kewujudan PKR adalah untuk memperjuangkan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim salah atau benar. DAP mengambil peluang ini untuk bekerjasama dengan PKR. Berlakunya tahalluf siyasi dengan Pas kerana Pas sanggup menukar hala tuju perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

DAP yang mendukung fahaman sosialis demokratik tidak mudah duduk bersama dengan perjuangan Islam. Perjuangan DAP yang sekular disedari Pas bakal menghakis imej Pas secara jangka panjang.
Secara ideologikal DAP, PKR dan Pas tidak boleh bergerak seiring. Fahaman sosialis demokratik yang didukung oleh DAP tidak sama dengan dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas. Dasar Pas yang masih mahukan negara Islam dan pelaksanaan hudud tidak sama dengan pendekatan PKR yang mendukung fahaman liberal pragmatik walaupun Anwar pernah menjadi pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) suatu ketika dulu.

UMNO sebuah parti politik orang Melayu semakin cenderung melaksanakan program aplikasi syariah secara bertahap dalam ekonomi, perundangan dan pendidikan. Pas harus melihat perkembangan ini sesuatu yang baik untuk Malaysia. Pas tidak boleh selama-lamanya mengambil pendekatan melulu melabel UMNO sekular dan menolak Islam.
Sikap baharu Pas ingin menjadikan parti itu pembangkang beradab dan menerima hal-hal yang baik daripada orang lain menyebabkan DAP beranggapan Pas sedang cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO.

Tidak salah Pas bekerjasama dengan UMNO kerana banyak ciri persamaan antara UMNO dengan Pas. Pertama, orang UMNO dan Pas adalah Melayu dan beragama Islam. Kedua, hala tuju perjuangan UMNO dan Pas sejak awal lagi adalah untuk bangsa, agama dan negara. Ketiga, sekiranya Pas mahu Islam dilaksanakan di Malaysia, UMNO sedang melaksanakannya secara bertahap mengambil kira kepada penguasaan ilmu dan profesionalisme di samping memberi kefahaman kepada yang bukan Islam.

Banyak faedah sekiranya UMNO dan Pas bekerjasama dalam menguruskan pembangunan Malaysia. Pertama, meleraikan pertelingkahan politik yang membazir masa dan hayat perjuangan dengan sia-sia. Kedua, menentukan kuasa majoriti menjadi lebih mantap dan membantu penggubalan dasar dan pelaksanaan dasar berjalan dengan baik. Ketiga, pemanfaatan sumber daya manusia yang lebih terpusat bagi menggerakkan islah atau perubahan. Ini yang sangat ditakuti oleh DAP. DAP tahu pengaruh Anwar dan PKR semakin merosot dan dalam pertikaian. DAP juga tahu Amanah yang digerakkannya tidak akan pergi jauh dengan pengaruh akar umbi Pas yang masih kuat. Sebab itu, DAP merasa kerugian yang amat sangat Pas meninggalkannya.

Untuk kepemimpinan Pas memujuk orangnya bekerjasama dengan UMNO tidaklah mudah kerana telah sekian lama Pas mendidik ahlinya membenci UMNO. Dengan kepemimpinan Pas yang baharu, ini membayangkan jiwa besar ke arah kerjasama dan kesatuan ummah. Jika Pas memilih bersendirian untuk ke Putrajaya bukan satu hal yang mudah.

Kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat dulu masih gagal untuk sampai ke Putrajaya. Tetapi kalau Pas memilih untuk bersama dengan UMNO, ia menjadikan politik umat Islam bertambah kukuh.
Kekuatan politik umat bukan bermaksud untuk menindas orang bukan Islam. Ajaran Islam melarang ini terjadi. Kesatuan umat dalam politik memberikan perimbangan yang lebih baik bagi Malaysia supaya menjadi negara yang lebih adil dan sejahtera.

Percayalah, sekiranya ini terjadi DAP akan tahu akhirnya bahawa usaha `pecah dan perintahnya’ tidak akan berjaya. Pihak-pihak yang merelakan dirinya menjadi `lembu-laga’ DAP akan akhirnya sedar bahawa kesatuan umat adalah terlalu penting dan berlaku adil terhadap orang bukan Melayu harus diambil kira. Inilah pada hemat penulis pendekatan yang terbaik di Malaysia bagi menjaga kestabilan dan keamanan sebagai sesuatu yang amat berharga bagi masyarakat majmuk.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana