DAP masuk jarum dalam kepimpinan PKR pula?

“Kini sudah heboh, siapa sebenarnya yang berkuasa dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, PKR 5 (yang berkecuali) atau PKR 4 (yang menolak),” kata Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau merujuk pada tindakan lima ADUN PKR negeri itu yang bertindak tidak mahu mengundi usul yang dibawa oleh Barisan Nasional berhubung isu penambakan laut di Pulau Mutiara itu. Maknanya tidak menyokong dan tidak menentang.

Menurut Guan Eng, langkah berkecuali yang diambil ketua whip PKR, Ong Chin Wen dan empat ADUN PKR lain itu membayangkan kumpulan lima wakil PKR “tidak percaya” kepada kepemimpinan PKR negeri di bawah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Ini kerana, katanya, Chin Wen ada memberitahu seorang pemimpin kebangsaan PKR mengenai hasrat untuk berkecuali tetapi tidak memaklumkan kepada kerajaan mahupun exco-exco PKR negeri itu.

Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengiktiraf ADUN PKR di bawah pimpinan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon sahaja dan bukan yang dipimpin oleh Ketua Whip parti itu.

Beliau menyimpulkan kini ada dua kumpulan dalam kalangan wakil rakyat PKR di Dewan Undangan Negeri iaitu satu dipimpin ADUN Pantai Jerejak (Mohd Rashid) dan satu lagi blok ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen (Ketua Whip).

Datuk Mohd Rashid Hasnon disifatkannya memimpin dua anggota Exco, Dr Afif Bahardin dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta timbalan speaker Datuk Maktar Shapee. Lima ADUN lain akur pada Ong Chin Wen.

"Kerajaan negeri hanya mengiktiraf pimpinan Datuk Rashid kerana beliau dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Sekilas pandang boleh dirumuskan bahawa Guan Eng kini mula bersikap kritis terhadap PKR dan cara kepimpinannya. Beliau dengan lantang menuduh bahawa kelima-lima ADUN PKR berkenaan kini “memihak pada Umno”.

Umum maklum, kenyataan-kenyataan hampir sama pernah dilontarkan oleh beliau berhubung corak kepemimpinan PAS. Sikap dan pemikiran politik presiden PAS dikritik hebat hingga mendorong kepada perpecahan dalam PAS.

Ramai pemimpin PAS yang terkesan dengan kritikan pedas Guan Eng terhadap Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Ada yang mempertahankan beliau dan ada yang terpengaruh dengan pemikiran kritis Guan Eng.

Natijahnya, ramai pemimpin yang kebetulan tewas dalam pemilihan kepimpinan PAS Jun lalu yang mengambil kesempatan bersandar pada hujah dan kritikan Guan Eng itu dan menyimpulkan kepimpinan Hadi sudah hilang halatujunya.

Malah seperti dalam kes lima ADUN PKR berkenaan Guan Eng juga menuduh bahawa Hadi mahu memimpin PAS supaya menjalin kerjasama politik dengan Umno-BN!


Maka lahirlah Parti Amanah Negara (Amanah) yang kini cuba menyaingi PAS pada setiap sisi politik. Ini termasuk menawarkan diri untuk menggantikan kedudukan ahli-ahli PAS dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pulau Pinang.

Dalam kes PKR Pulau Pinang, lima wakil rakyatnya  memilih berkecuali sewaktu undian dijalankan terhadap usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong).

Wakil Umno dalam usulnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 20 November lalu mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi tujuan pembangunan seharusnya tertakluk pada perdebatan umum.

Lima ADUN berkenaan ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).

PKR mempunyai 10 kerusi DUN. Dua lagi ADUN PKR, Datuk Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana mereka adalah speaker dan timbalan speaker DUN.

Walaupun usul BN itu tidak diterima Dewan, Guan Eng pantas menjalankan jarum politiknya untuk “meracun” PKR pula. Beliau bermula dengan menghebahkan soal masalah kepimpinan parti itu di Pulau Pinang.

Ini dilakukannya meskipun maklum pendirian PKR dalam isu ini. Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, partinya berpendapat usul memohon projek tebus guna tanah patut melalui proses kaji selidik alam sekitar yang menyeluruh, adalah baik.

Fahmi berkata, pada dasarnya PKR memang tidak bersetuju dengan pendirian Umno berkenaan isu itu. Bagaimanapun pada dasarnya PKR membenarkan pengundian mengikut suara hati atau “conscience vote”, di dalam isu-isu tertentu.

"Pengundian lima ADUN PKR pada Jumaat lalu adalah berdasarkan 'conscience vote' ini kerana ia merupakan suatu isu alam sekitar yang rumit," kata Fahmi dalam satu kenyataan.

PKR juga katanya berpuas hati dengan penjelasan lima ADUN itu dan beranggapan “conscience vote” adalah amalan demokrasi biasa yang perlu digalakkan di negara ini.

"Pada masa yang sama, saya memohon agar tiada lagi kenyataan yang dibuat pimpinan PKR kerana perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Pakatan Harapan," tambahnya.

Bagaimanapun Lim Guan Eng terus “menekan” PKR supaya menilai dengan teliti keputusan lima ADUN berkenaan apabila tanpa silu beliau mengatakan pendirian lima wakil PKR bersifat "bersama Umno".

Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu selepas 23 ahli dewan menentang, 10 menyokong dan lima tidak mengundi. Namun yang peliknya usul itu turut disokong ahli DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah).

Yang pasti Guan Eng tidak akan membiarkan Yee Cheu terlepas begitu sahaja. Ini memang doktrin kepimpinan Guan Eng yang tidak akan mengizinkan ahli DAP bertindak mengikut hati mereka. Kebenaran dan keadilan mesti mengikut pemimpin sepertinya sahaja.

Apakah PKR tidak sedar bahawa apa yang ditebarkan Guan Eng pada PAS kini mula cuba ditaburkan pula dalam belanga politik parti mereka pula?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana