Terengganu, Kedah menjanjikan kehadiran lebih 10 ribu peserta di H60K

SHAH ALAM: Terengganu dan Kedah menjanjikan kehadiran lebih 10 ribu peserta ke Himpunan Fastakim (H60K) anjuran PAS di Kota Bharu yang dijadualkan berlangsung 17 Oktober nanti.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata ia merupakan satu petanda positif apabila usaha kempen dan iklan yang digerakkan menerusi alam maya jauh mendahului dan menunjukkan keberkesanan.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu berkata, negeri-negeri lain juga memberikan sambutan hangat apabila turut menjanjikan kehadiran ramai ahlinya.

"Begitu juga dari negeri-negeri lain, malah sambutan hangat diterima daripada negeri Johor Darul Takzim yang menjanji kehadiran peserta dari seluruh kawasan.

"Terima kasih kepada para penyokong PAS dari Sabah dan Sarawak yang akan turut mengambil bahagian walaupun terpaksa menempuh perjalanan paling jauh," katanya di laman akaun Facebook miliknya sebentar tadi.

Beliau dalam pada itu berkata, paling nyata, Himpunan Fastaqim telah menjadi bualan anak muda di seluruh negara.

"Ia menjanjikan satu keyakinan terhadap sokongan tidak berbelah bagi golongan muda terhadap PAS, parti Islam terbesar di Malaysia yang telah begitu berakar umbi di seluruh pelusok tanah air.

"Kehadiran puluhan ribu peserta dari seluruh negara akan bercantum nanti dengan puluhan ribu 'golongan Ansar' rakyat Kelantan yang sedia menanti di Kota Bharu nanti," katanya.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir MAS berkata, ia pastinya menghangatkan persaudaraan Islam yang begitu mengukuhkan iman dan jihad.

"Ia hadiah terbaik buat sambutan serentak Jubli Intan 25 tahun pemerintahan PAS di Kelantan yang telah banyak mengubah bentuk dan senario politik di negara Malaysia.

"Ini meyakinkan pihak penganjur bahawa kehadiran akan melepasi sasaran 60 ribu peserta. Semoga niat, azam, usaha, jihad dan perjalanan kalian nanti diberkati dan diredhai oleh Allah azza wajalla.

"Perhimpunan orang-orang beriman adalah disukai Allah. Ia perhimpunan mengingati Allah, mensyukuri nikmat Allah, mengagungkan syariat Allah dan mengukuhkan janji perjuangan di jalan Allah," katanya.

Beliau dalam pada itu memperingatkan ahlinya tentang perjuangan yang perlu dipertahankan.

"Ingat, anda adalah satu daripada jutaan batu bata yang sedang mengukuhkan perjuangan Islam. Jangan ketinggalan. Mara dan beristiqamahlah di jalan Allah.

"Kempen dan iklan adalah dakwah. Setiap kita adalah pendakwah. Berbahagialah hidup sebagai pendakwah di jalan Allah. Justeru teruskan berkempen untuk Himpunan Fastaqim (H60K)," jelasnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana