Pilihan PAS selepas ditinggalkan Pakatan Harapan

Kini PAS sudah “membujang” kembali dalam arena politik Malaysia. Secara teknikal meskipun ia menganggap dirinya masih menjadi pembangkang kepada kerajaan Umno-BN, ia bukan sealiran dan sekutu Pakatan Harapan.

PAS tidak boleh bekerjasama dengan DAP atas sebab prinsip. Ia juga tidak mahu bekerjasama dengan Amanah kerana masih sukar memaafkan “pengkhianatan” yang dilakukan pemimpin-pemimpin parti itu terhadap PAS.

Kini PAS perlu menggembleng usaha meminang lebih ramai pengundi menjadi anggotanya dan memperluaskan skop sokongan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk mencapai martabat sama dengan Pakatan Harapan.

Untuk terus bertahaluf dengan PKR bukanlah satu opsyen yang baik. Di peringkat ini, PKR nampak sudah agak selesa dengan kerabat Pakatan Harapan tanpa PAS bersama.

Apa tidaknya, bersama Pakatan Harapan, PKR sudah mendapat apa yang dihajati iaitu pengakuan dan sokongan DAP dan Amanah untuk melantik Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika BN ditumbangkan!

PAS sebelum ini amat berhati-hati dan mahu bertindak sebagai “polis moral” dalam Pakatan Rakyat dengan tidak mahu membabitkan diri dalam perkara-perkara yang kurang bermaruah dan syubahat.

Antara lain, PAS amat keberatan mempersetujui manifesto pakatan itu mahu melantik Anwar menjadi perdana menteri jika menang pilihanraya umum 2013 lalu. Apa sebabnya, hanya pimpinan PAS tahu jawapannya.

PAS juga tidak mahu perubahan politik disusun menurut konsep “matlamat menghalalkan cara” seperti Langkah Kajang PKR yang memecat keahlian menteri besar Selangor kerana enggan memberi laluan kepada presiden PKR mengambil alih jawatan berkenaan.

Bagi PAS rekod perkhidmatan menteri besar berkenaan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat memuaskan dan tidak ada sebab munasabah beliau perlu disingkirkan.

PAS juga enggan mengkhianati rakyat dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi yang dimenangi atas nama Pakatan Rakyat hanya untuk memenuhi hasrat pemimpin tertentu mengisi kerusi DUN Kajang.

Kini, di segi politiknya, PAS perlu menjana keyakinan bahawa ia mampu hidup berdikari dan tidak perlu bergantung kepada PKR untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Bagaimanapun PAS harus insaf bahawa dalam usaha menumbangkan Umno-BN, PAS tidak seharusnya mengizinkan dirinya untuk menjadi pemangkin atau “batu loncatan” kepada Pakatan Harapan mencapai cita-citanya.

PAS harus insaf bagaimana secara sistematik ia disisihkan daripada barisan pembangkang. Maka adalah penting ia memastikan amalan politik Machiavelli yang kurang bermaruah itu tidak pula menggantikan BN.

Akibatnya kelemahan moral dan gejolak nafsu mahu berkuasa itu mungkin lebih buruk daripada segala amalan dan dosa yang pernah dilakukan BN ketika memerintah Malaysia.

Ini adalah masanya bagi PAS membuktikan bahawa keyakinannya hidup “membujang” adalah berasas dan mampu melonjakkannya mencapai kemenangan lebih besar.

Sebenarnya, program berkelana bersendirian dalam politik ini sudahpun siap dilakarkan oleh presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sendiri. Apa yang perlu PAS sekarang ialah  melaksanakannya dengan teratur dan jujur.

Strategi tujuh perkara ini dibentangkan oleh Haji Hadi dalam muktamar ke-61 PAS Jun lalu. Antara lain, beliau mengajukan supaya:

1.    PAS dan ahlinya menzahirkan kesetiaan pada perjuangan Islam dengan istiqamah berdasarkan ajaran al Quran dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w.

2.    PAS dan ahlinya memahami dan menghayati erti kemenangan sebenarnya ialah mendapat keredhaan Allah.

3.    PAS memantapkan tarbiyah ahli dan kepimpinan dengan komited pada program yang disediakan agar yakin bahawa sempadan perjuangan tidak terhad di dunia tetapi melangkau          hingga akhirat.

4.    Mengemaskini pentadbiran parti di semua peringkat termasuk di Dewan-Dewan dan Lajnah termasuk Cawangan, Kawasan dan Negeri.

5.    Menyebarluaskan mesej bahawa Islam ialah penyelesai masalah ummah bersandarkan kefahaman mengenai fiqhul-waqie atau sistem dan realiti semasa.

6.    Bertahaluf dengan mana-mana pihak demi kebaikan rakyat tidak kira kaum dan agama dan berta’awun dengan mana-mana pihak memerangi kezaliman dan kemungkaran.

7.    PAS melebarkan kedudukan dan peranan di peringkat antarabangsa membela pihak yang dizalimi dan berusaha menyelesaikan konflik antarabangsa.

Yang penting PAS harus sedar bahawa ia mempunyai satu pangkalan politik yang cukup ampuh. PAS mempunyai ramai ulama yang boleh membimbing ummah merintis jalan keredhaan Allah.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa umat Islam dahagakan pimpinan agama. Banyak institusi yang turut bersaing dengan PAS untuk memberi keyakinan diri dan kefahaman ini pada umat. Ini adalah tugas hakiki.

PAS harus jadi pembimbing yang boleh membantu umat faham masalah dan cabaran kehidupan hari ini yang saling bertindih dan mengemukakan solusi bagi kemelut yang boleh disesuaikan dengan tuntutan agama.

Masalah terbesar umat Islam di Malaysia hari ini ialah kecelaruan yang ditimbulkan oleh pemain-pemain politik. Justeru PAS harus memperbaharui iktikadnya bahawa ia adalah sebuah jamaah dan itu adalah lebih mulia daripada parti politik.

Kurangkan berpolitik dan tingkat kesedaran umat untuk beramal. Antara amalan terbaik ialah menyantuni isu dan cabaran politik dengan jujur, ikhlas, dan tidak syubahat.

Jika benar PAS sedia bertahaluf dan berta’awun dengan sesiapa sahaja, maka PAS harus meluruhkan bibit kebencian yang sudah merasuknya terhadap jemaah lain seperti Umno dan Ikatan Muslimin Malaysia atau Isma.

PAS harus insaf jamaah lain seperti Wadah, Ikram dan Abim kini lebih cenderung pada politik Machiavelli yang meliliti Pakatan Harapan. PAS harus menghayati sebaliknya – Islam itu ad-din.

PAS tidak perlu memaksa diri dengan slogan inklusif, peduli dan Amanah kerana rekod menunjukkan bahawa nilai-nilai itu memang sudah menjadi darah daging perjuangannya. Istiqamah.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana