PAS disaran bertoleransi dalam soal penentuan kerusi yang ditandingi - Phahrolrazi

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi menyarankan supaya PAS tidak bertindak sendirian dalam menentukan kerusi yang mahu ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.

Beliau yang kini Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, saranan ini perlu diambil serius oleh PAS dalam usaha memastikan pakatan pembangkang berjaya menewaskan Umno-Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan datang.

Sehubungan itu katanya, PAS disaran untuk bertoleransi dalam penentuan kerusi yang mahu ditandinginya atas kapasiti pembangkang.

"Sepatutnya begitulah tujuan kita mengadakan pakatan pembangkang ini kerana kita mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

"Jadi dengan cara bergabung telah memberi ruang untuk kita menang secara bergabung, jadi sebab itu kita tolak parti bertindak sendirian.

"Sebab sejarah telah menunjukkan tidak menguntungkan setakat ini sebab BN itu sendiri pun satu gabungan, jadi kita pembangkang (sama ada) PAS atau Amanah, atau dilihat sebagai kumpulan pembangkang setakat ini, jadi sepatutnya pembangkang mesti bergabung untuk menghadapi parti memerintah," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan terkini Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang membayangkan kemungkinan besar saingan tiga penjuru atau lebih di banyak kerusi DUN dan Parlimen pada PRU14 susulan penubuhan Pakatan Harapan (PH).

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak mungkin memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (Negara) untuk bertanding di kerusi-kerusi yang secara tradisi ditandingi parti itu.

"Apabila PAS bergabung dengan PKR sebahagian besar kerusi PAS diserahkan kepada PKR bersama jentera dan petugas parti. Kalau PAS bergabung pula dengan PH bermakna PAS akan sekali lagi menyerah kerusi kepada parti baru, dan ini tidak mungkin berlaku.

"Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada Parti Amanah," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di akaun Facebooknya semalam.

Dalam perkembangan sama, Phahrolrazi yang masih memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor atas tiket PAS pada PRU13 lalu bagaimanapun berkata, penentuan meletakkan calon adalah hak parti masing-masing.

Beliau bagaimanapun berkali-kali meminta PAS memikirkan kesannya jika parti itu terus berdegil mahu membawa haluan sendiri walaupun dalam soal kerusi.

"Dalam sistem demokrasi, ini hak masing-masing untuk meletakkan calon, bukan hak PAS, hak siapa-siapa pun, hak mana-mana parti

"Cuma sekarang ini ada pertimbangan politik, bertanding ini hak apa, untuk menang ke untuk semata-mata hendak bertanding, apa matlamat bertanding? Itu saja yang banyak diputuskan oleh parti politik," katanya.

"Parti politik ini bertanding untuk mencapai kemenangan begitu juga Umno, dia parti yang bertanding, dia tidak bertanding semua.

"Jadi kalau hendak bertanding semua kerusi, sebenarnya adakah PAS bercadang hendak menang semua kerusi yang ditandingi itu," katanya lagi.

Bahkan katanya, jika berlaku juga pertembungan tiga penjuru, semua pihak akan menanggung rugi.

"Kalau berlaku pertembungan belum tahulah siapa yang untung dalam keadaan politik sekarang, dalam keadaan politik sekarang ini BN yang untung ke, tiga penjuru sekarang ini semua sudah mempunyai peluang yang sama saja," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana