Padan Muka Akhir Tertangkap Jua....Tiga Anggota Polis Dituduh Terima RM12,000 Bagi Lepaskan Enam Warga China

SHAH ALAM: Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam berhubung kesalahan menerima suapan RM12,000 daripada kontraktor bergelar Datuk bagi melepaskan enam warga China dari tahanan polis pertengahan tahun ini.

Koperal Roslinda Hamid, 48, berhadapan dua pertuduhan, manakala Lans Koperal Detektif Deneshkumar Jeganathan, 27, dan Sarjan Mejar Detektif Wong Shim Kuang, 57, masing-masing satu pertuduhan.

Deneshkumar dan Shim Kuang menghadapi tuduhan pertuduhan bersama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, SPRM Selangor menjalankan siasatan sejak Jun susulan aduan mengenai ada pihak meminta rasuah bagi melepaskan enam warganegara China yang bekerja di kelab malam.

Mengikut pertuduhan pertama, Roslinda, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Klang Utara, didakwa memperoleh suapan berjumlah RM12,000 daripada Datuk Ng Tong Chun untuk dirinya melalui Deneshkumar dan Shim Kuang sebagai upah bagi melepaskan enam warga China dari tahanan polis untuk siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Roslinda didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 Jun 2015 lebih kurang pukul 2.10 petang di kawasan parkir Restoran Taman Rashna, dalam Daerah Klang.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama. Jika didapati bersalah, Roslinda boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan kedua, Roslinda, pada tarikh, masa dan tempat yang sama, dituduh memiliki satu cap berbunyi "DITERIMA; PEJABAT IMIGRESEN NEGERI SELANGOR; BAHAGIAN PENGUATKUASA" dan satu cap "Amirul Ariffin Lakimim, Pegawai Imigresen Tinggi KP22" bagi membuat suatu teraan, dengan niat supaya ia digunakan bagi melakukan pemalsuan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Roslinda boleh dihukum mengikut Seksyen 473 Kanun Keseksaan iaitu dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda jika didapati bersalah.

Dalam pada itu, bagi pertuduhan bersama, Deneshkumar dan Shim Juang yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas, Balai Polis Klang Selatan didakwa bersubahat dengan Roslinda iaitu menerima suapan sebanyak RM12,000 daripada Tong Chun untuk diberi kepada Roslinda sebagai upah bagi melepaskan enam warganegara China dari tahanan polis.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu pada 24 Jun 2015, jam lebih kurang pukul 2.10 petang di kawasan parkir Restoran Taman Rashna, Klang.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM 2009.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Shim KUang bagaimanapun tidak menghadiri mahkamah pada Khamis kerana faktor kesihatan.

Bagi pihak SPRM, kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mahamad Shukri Seman.

Roslinda diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork manakala Deneshkumar dan Shim Kuang diwakili peguam Chen Tek Lee.

Roslinda dibenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan Deneshkumar dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Sabariah Atan menetapkan 3 Disember 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana