MCA sentiasa bersama PM dan akan terus dedah taktik kotor pembangkang

MCA akan sentiasa meneruskan perjuangan dalam Barisan Nasional (BN) dan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian.
Pada masa sama MCA juga akan terus mendedahkan taktik politik kotor Pakatan Rakyat yang kinu ibarat satu kapal empat nakhoda.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu tidak akan sesekali mengikut rentak parti pembangkang, terutama DAP yang tidak henti-henti menyemai benih kebencian antara kaum.

"Walaupun Pakatan Rakyat telah dibubarkan dan tidak wujud lagi, namun begitu, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang masih lagi wujud. Janganlah terus menerus menipu rakyat lagi.

"Kegagalan Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan untuk berkompromi sesama mereka sendiri jelas membuktikan bahawa mereka tidak mampu untuk menangani perbezaan antara mereka apatah lagi impian untuk mentadbir Negara ini.

"Disebabkan pertelingkahan antara mereka yang tiada berkesudahan ini, akhirnya yang menjadi mangsa dan menerima padah akibat semua ini sudah semestinya rakyat jelata," kata Tiong Lai ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA ke-62 di Kuala Lumpur, Ahad.

Liow berkata, DAP telah lama menyemai benih kebencian antara kaum yang telah melahirkan sikap radikal dalam sebilangan rakyat.

Katanya, pendekatan konfrontasi yang dipraktikkan oleh mereka akan membawa kerugian semata-mata terutamanya kepada masyarakat Cina.

"Walaupun mereka sering melaungkan perjuangan yang meliputi semua kaum, namun begitu, DAP sebenarnya telah memperolok-olokkan dan membohongi rakyat dengan sering kali memainkan isu dan sentimen perkauman.

"DAP memanipulasi pendekatan politik mereka yang sebenarnya tidak lain tidak bukan tetapi hanya untuk kepentingan diri mereka sendiri.

"Oleh sebab itulah MCA berpegang teguh dengan prinsip kesederhanaan, keharmonian dan perpaduan dan kami tidak pernah sesekali memainkan isu perkauman dan tidak pun terlintas untuk melakukannya," katanya.

Sehubungan itu katanya, MCA telah merangka strategi-strategi penting sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Liow strategi jangka masa panjang itu merangkumi program-program untuk kawasan-kawasan pilihanraya dan juga kerjasama ekonomi merentasi sempadan.

Liow berkata, perbalahan remeh temeh di dalam BN akan menyebabkan sokongan rakyat terus terhakis. Katanya anasir-anasir jahat dalaman sebegitu yang memecahbelahkan parti perlulah dikekang.

"Janganlah kita menjadi enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Marilah kita bersama-sama berganding bahu bekerjasama dalam perjuangan mulia ini.

"Hanya dengan itu sahajalah kita akan dapat memastikan kejayaan pada PRU akan datang dan saya percaya kita pasti dapat menjadikan ia satu kenyataan dengan niat yang betul," katanya.

Liow berkata jurang pemikiran antara kaum, antara generasi, serta jurang pemikiran di antara masyarakat bandar dan luar Bandar perlu ditangani dengan segera.

Sehubungan itu MCA mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu Majlis Rekonsiliasi Nasional untuk tadbir urus politik, hal-ehwal agama dan perpaduan.

Liow membayangkan Majlis Rekonsiliasi ini akan memainkan peranan dalam menyelesaikan isu-isu ketegangan di antara kaum, perbezaan fahaman agama dan juga sosio ekonomi masyarakat.

Dalam hal pendidikan, Liow menegaskan perbahasan-perbahasan untuk menghapuskan sistem pendidikan pelbagai aliran adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan ia akan meruntuhkan asas sistem pendidikan negara.

"Kita telah banyak mencapai kemajuan dalam bidang pendidikan melalui sistem pelbagai aliran dan ini telah terbukti dengan banyak kejayaan yang telah dikecapi. Oleh yang demikian, jangan musnahkan legasi ini.

"MCA berpendirian tegas dan tidak akan akur kepada mana-mana pihak yang ingin menghapuskan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC)," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana