Jangan Jadi Hero Bertopengkan Lambang IS - Mufti Perak

KUALA LUMPUR 6 Okt - Rakyat negara ini diminta tidak menjadi agen promosi Kumpulan IS dengan memakai baju atau sebarang penerbitan yang dilarang Kerajaan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, individu berkenaan juga boleh dikira cuba menunjuk degil dan melanggar undang-undang.

"Jadi bila ada orang tunjuk pakaian atau apa sahaja yang berlambang IS, itu bermakna mereka menyokong, jadi kita kena tangkaplah.

"Bila sudah dilarang usahlah buat, kenapa hendak buat, kenapa hendak tunjuk degil? Hendak tunjuk hero? Jangan salah tafsir pula kata kerajaan zalim," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Harussani mengulas dakwaan ke atas seorang anggota komando, Muhammad Adibzakir Zahri, 28, dari Kem Rejimen 21 Komando, Sungai Udang di Mahkamah Majistret kerana memiliki item penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS, pada Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, seorang penganggur, Nazirul Abidin Thalha, 28, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi kerana memiliki 15  bahan penerbitan berkaitan dengan perbuatan pengganas.

Antara 15 bahan penerbitan itu adalah ‘The Islamic State’, ‘How To Survive In The West: A Mujahid Guide’ dan ‘Hijrah To The Islamic’

Nazirul menjadi individu pertama didakwa di bawah Seksyen 13JB(1)(a).

Sementara itu, ketika ditanya kesalahan lain yang berkaitan pemakaian dan melanggar ajaran Islam, ini kata Dr Harussani;

"Jika pakai baju berlambang syaitan pun salah, kalau baju itu menunjukkan gambar perempuan juga salah, ini yang selalu dipakai anak-anak muda hari ini terutamanya tanpa mengetahui ia sebenarnya salah."

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, seramai 92 suspek ditangkap bahagian counter terrorism Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2013 kerana disyaki merancang melakukan keganasan di ibu negara dan terbabit aktiviti militan di Syria.

Tegas Khalid, kesemua mereka ditangkap di bawah kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Sehingga kini dipercayai hampir 63 rakyat Malaysia berada di Syria bagi berjuang bersama kumpulan militan IS.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana