Dewan Ulamak beri amaran kepada Amanah

SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS hari ini memberi amaran kepada Parti Amanah Negara (Amanah) agar tidak melakukan sebarang provokasi atau fitnah terhadap PAS yang kononnya memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PAS tetap jelas dengan hala tuju dan pendirian parti yang kekal sebagai pembangkang namun bersedia memberikan pandangan kepada kerajaan sebagai proses semak dan imbang demi kepentingan rakyat.  

"Dia (Amanah) cuba memprovokasi sama seperti DAP. Tiada beza antara DAP dan Amanah ini.

"Kita pendirian kita jelas.. Kita boleh bekerjasama dengan semua pihak tentang semua permasalahan berkaitan Islam. Kita bersedia memberikan pandangan kita yang bernas dari pembangkang untuk kerajaan. Bukan bermaksud masuk dalam kerajaan," katanya kepada Antarapos.

Semalam, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kesediaan parti itu bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat, mengundang kritikan pemimpin Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata walaupun PAS berhak untuk memilih dengan siapa mereka mahu bekerjasama, parti itu harus menyatakan dengan jelas hala tuju politik mereka.

"Mereka perlu menyatakan hala tuju parti, sama ada mereka mahu perubahan dalam kerajaan atau kekal dalam pembangkang dan pada masa sama mempertahankan Barisan (Nasional)," petik kata Khalid dalam sidang medianya semalam.

Malah Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut menyindir, parti yang begitu bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan kerajaan adalah DAP.

Khairuddin merujuk kepada cubaan parti itu yang ingin menubuhkan gabungan 'Save Malaysia' tidak lama dulu, kononnya mahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang ekoran cadangan pelaksanaan hukum hudud oleh PAS.

"Apa sahaja isu melibatkan rakyat, kerana kerja pembangkang adalah memastikan rakyat mendapat hak mereka. Itu kerja kita," ujarnya.

Tambah beliau, PAS juga tetap berpendirian untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah yang disifatkan terlalu 'gopoh' mahu ke Putrajaya tanpa 'melalui jalan yang betul'.

Merujuk kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang cuba dibawa gabungan pembangkang berkenaan, kata Khairuddin, cara sedemikan hanya menguntungkan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Mesti tunggu pilihan raya (untuk tukar PM). Menjatuhkan Najib sekarang hanya menguntungkan Umno, tidak menguntungkan PAS.

"Bila jatuh Najib, akan naik orang sepertinya juga daripada Umno. Apa bezanya.. Kita bukan hanya menolak Najib, kita menolak sistem yang 'diimani' Najib.

Kita bukan menolak kepala gerabak, tetapi kita tolak gerabak dan rel sekali. Kita mahu gerabak baru, rel baru, dan kepala baru, ekor baru," katanya lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana