Strategi Bersih 4 makan diri

 Setiap percaturan politik memerlukan strategi yang pintar dan yang paling kritikal adalah pelaksanaannya mesti disempurnakan pada waktu yang bersesuaian kerana jika tersilap langkah strategi yang direncanakan itu bakal memakan diri sendiri.
Itulah nasib yang menimpa kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng apabila cuba mempamerkan pertembungan kuasa dengan Kerajaan Persekutuan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan menjadi taruhan.

Kesilapan Guan Eng adalah mempergunakan semangat patriotik rakyat Malaysia untuk meraih manfaat politik iaitu strategi yang betul tetapi tidak kena pada masanya. Sebab itu jugalah mungkin rakan beliau iaitu Menteri Besar Selangor dan Kelantan tidak turut serta dalam strategi Pulau Pinang.

Sebab itu agak menghairankan apabila penganjur perhimpunan Bersih 4 tetap berdegil meneruskan rancangan mereka untuk berhimpun di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dua hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan kerana pengajaran daripada episod Pulau Pinang jelas mempamerkan apa jua tindakan yang menjurus kepada percubaan sabotaj sambutan Hari Kebangsaan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.

Guan Eng akur bahawa penggunaan tema sambutan berbeza dengan tema rasmi walaupun dianggap perkara remeh tetapi telah wujud persepsi bahawa kerajaan Pulau Pinang seakan-akan tidak menghormati kedaulatan negara.

Sebab itu juga sebaik sahaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menarik diri daripada mengambil bahagian dalam upacara sambutan, Guan Eng dengan serta-merta membuat keputusan menerima pakai tema sambutan rasmi iaitu Sehati Sejiwa.

Keputusan yang dibuat oleh ATM bukan berasaskan percaturan politik kerajaan negeri dan Persekutuan tetapi lebih kepada mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabar.

Mengapa kontinjen ATM menerima tepukan paling gemuruh semasa perbarisan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lepas adalah kerana rakyat Malaysia merasai bahawa kedaulatan negara sedang dicabar dan perhimpunan Bersih 4 telah menguatkan lagi kegusaran rakyat. Hal ini kerana ATM sinonim dengan kekuatan benteng mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Tidak keterlaluan jika diandaikan apa jua matlamat penganjur Bersih 4 yang menganjurkan perhimpunan yang begitu dekat dengan sambutan Hari Kebangsaan telah memakan diri sendiri.

Begitu juga dengan mereka yang turut serta dalam perhimpunan tersebut dengan apa jua alasan, kesemuanya itu tidak tercapai malah masyarakat memandang serong disebabkan tingkah laku mereka.

Bukan sahaja kumpulan ini dianggap sebagai tidak menghormati tarikh keramat 31 Ogos, tetapi juga dilabel sebagai kurang ajar, biadab, jijik serta memualkan seolah-olah kumpulan masyarakat ini tidak mempunyai budi pekerti yang murni masyarakat timur.

Lebih dikesalkan lagi, apabila ada ibu bapa yang sanggup mempergunakan anak-anak mereka yang masih kecil berarak dengan poster tertera perkataan yang lucah demi mencapai objektif politik mereka. Ibu bapa ini juga sanggup bersama-sama dengan anak mereka bersekongkol mempromosikan aktiviti ala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Bertambah parah apabila sebahagian besar mereka yang turut serta dalam perhimpunan kali ini hanya terdiri daripada satu kaum sahaja iaitu masyarakat Cina sedangkan penganjur melabelkan Bersih 4 sebagai perhimpunan rakyat.

Berbeza sekali apabila buat pertama kali perhimpunan Bersih dianjurkan pada 2007 sebahagian besar kumpulan masyarakat yang terlibat adalah bangsa Melayu.

Ada pihak yang menolak andaian keputusan pilihan raya umum (PRU) 2013 sebagai peralihan citarasa pengundi Cina atau pun lebih dikenali sebagai ‘tsunami pengundi Cina’ kerana bagi kumpulan ini mereka lebih berpegang kepada ungkapan ‘tsunami pengundi bandar’.

Kumpulan ini lebih percaya kepada andaian perubahan citarasa pengundi adalah dipelopori oleh pengundi bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Tetapi jika diteliti komposisi peserta Bersih 4 sukar untuk menafikan sebahagian besar mereka tinggal di Lembah Klang. Jika dikaitkan dengan beberapa matlamat perhimpunan Bersih 4 seperti tuntutan pilihan raya yang adil dan telus, kerajaan yang lebih telus dan memperkukuhkan sistem demokrasi Malaysia kesemuanya itu adalah selari dengan tema kempen pembangkang ketika PRU 2013.

Beberapa andaian keputusan PRU 2013 terutama sekali berkaitan dengan citarasa pengundi Cina sebenarnya telah disahkan oleh Bersih 4.

Terdapat desas-desus bahawa perhimpunan Bersih 5 akan diadakan kerana apa yang pasti matlamat Bersih 4 tidak tercapai malah telah memberi persepsi buruk kepada mereka yang terlibat.

Tetapi penganjur utamanya Maria Chin tetap berdegil untuk meneruskan agenda perhimpunan haram selagi tidak tercapai matlamat utama mereka untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nampak gayanya Maria Chin masih tidak mahu menerima hakikat bahawa perhimpunan ala Bersih telah merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Apa yang penting bagi dia adalah matlamat politik sekutunya mesti dicapai walaupun secara tidak sah dan boleh memudaratkan negara.

Apa yang pasti juga adalah kesan terhadap beberapa pemimpin utama yang turut bersama memberi sokongan kepada Bersih 4 adalah begitu negatif sekali. Paling ketara kehadiran Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu telah memberi kesan tidak baik terhadap Parti Amanah Negara (PAN).

Bukan sahaja PAN diasaskan daripada Parti Pekerja yang lebih condong kepada fahaman sosialis dan kiri tetapi kini PAN dikaitkan pula dengan tingkah laku kurang ajar dan jijik peserta Bersih 4 sedangkan PAN seperti yang dicanang oleh Mohamad Sabu adalah parti politik wadah Islam.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana