Khairy Sahut Cabaran Masuk Ke Pedalaman Terpencil Di Sarawak

BELAGA: Kira-kira 150 pemimpin Pemuda Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara berkampung di rumah panjang Long Busang dalam daerah Belaga, Sarawak sempena Program Pemuda BN Untuk Masyarakat pada Jumaat.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan itu turut melibatkan sesi dialog bersama penduduk setempat dan perasmian majlis pecah tanah pembinaan gelanggang futsal di Long Busang.

Program berkenaan adalah anjuran bersama Pemuda BN Pusat dan Pemuda BN Sarawak dan dipengerusikan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang.

"Saya telah melontarkan cabaran kepada YB Khairy supaya masuk ke kawasan pedalaman Sarawak iaitu Long Busang untuk turun padang melihat sendiri keadaan penduduk setempat.

"Saya tidak begitu yakin beliau akan sampai ke sini tetapi beliau sahut juga cabaran saya apabila akhirnya sampai ke Long Busang." kata Liwan kepada pemberita ketika mengiringi Khairy bersama rombongan pemuda BN ke Long Busang, Belaga.

Rombongan ke Long Busang melibatkan perjalanan darat selama tiga jam dari bandar Bintulu ke Bakun, sebelum meneruskan perjalanan melalui bot selama sembilan jam ke rumah panjang Long Busang.

Ia juga merupakan kali pertama seorang menteri Persekutuan menjejak kaki ke Long Busang yang disifatkan sebagai kawasan paling terpencil Sarawak, menerusi jalan darat dan bot.

Bagi Khairy, pengalaman melawat perkampungan itu membuka matanya tentang keadaan sebenar kehidupan seharian yang terpaksa dilalui masyarakat Long Busang.

"Bagi saya ini adalah antara kawasan pedalaman paling terpencil menggunakan jalan darat dan bot. Selalunya wakil rakyat pakai helikopter untuk ke kawasan-kawasan seperti ini. Tetapi untuk pengalaman sebenar kita menggunakan pengangkutan darat dan bot.

"Saya juga ingin melihat sendiri keadaan di Long Busang dan bagaimana kami boleh membantu supaya lebih banyak perhatian dapat diberikan kepada kawasan pedalaman yang masih serba kekurangan tetapi penduduknya menyokong BN selama ini."kata Khairy selepas melancarkan Program Pemuda BN Untuk Masyarakat di Long Busang.

Program berkenaan turut melibatkan penyempurnaan sebuah klinik kesihatan yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk setempat.

Dalam pada itu, Khairy turut tertarik dengan keharmonian agama yang diamalkan penduduk di Long Busang yang beragama Kristian dan Islam tetapi hidup dalam keadaan aman, damai serta saling membantu antara satu sama lain.

"Walaupun terdapat kepelbagaian agama tetapi mereka hidup sangat harmoni. Dalam satu rumah panjang ada satu pintu didiami keluarga beragama Islam dan sebelahnya pula keluarga beragama Kristian.

"Pada Hari Natal mereka yang beragama Islam akan tolong untuk bergotong-royong bersama, dan mereka beragama Kristian pula akan membantu persiapan untuk Hari Raya. Inilah pengalaman yang boleh kita contohi seluruh negara daripada perkampungan terpencil tetapi hidup penuh harmoni ini." katanya.

Penduduk perkampungan Long Busang terdiri daripada 1,400 orang dengan majoritinya etnik Kenyah, 265 daripadanya beragama Islam.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana