Jaga-jaga... UMNO lebih mudah berpecah dari dalam

Ahli-ahli UMNO diperingatkan bahawa perpecahan di dalam parti itu lebih mudah dilakukan dari dalam berbanding dari luar.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha memecahbelahkan parti itu seolah-olah sedang berlaku ketika ini.

“Permasalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sukar dipecahkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam.

“Apa yang berlaku dalam kalangan kita (ketika ini) adalah usaha untuk memecahbelahkan (parti) dari dalam,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahlinya, namun perlu ditangani mengikut ilmu tasawuf Islam.

Katanya, pendekatan itu bermaksud perbezaan pendapat tersebut perlu disertakan dengan ketertiban, usaha menjaga aib pihak yang lain serta mempunyai tatasusila tersendiri.

“Malah, dalam Islam sekali pun perbezaan pendapat ini dibenarkan dan ada akhlaknya dalam Islam untuk menangani perbezaan pendapat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli-ahli UMNO melakukan perubahan supaya selari dengan kehendak khalayak hari ini yang disifatkan lebih sofistikated.

Antara yang ditekan beliau adalah keperluan untuk ahli-ahli UMNO menguasai media sosial supaya tidak terus menjadi mangsa fitnah atau mempercayai fitnah yang disebarkan menerusi medium tersebut.

“Ketika ini adalah zaman di mana maklumat dan fitnah berada hanya di hujung jari. Maka untuk UMNO kekal relevan dan berdepan generasi Y, kita perlu berubah ke arah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata ahli UMNO perlu bersatu-padu untuk terus menjaga kedudukan orang Melayu dan agama Islam di samping meneruskan kesinambungan parti pada masa depan.

Menurutnya setiap anggota tidak boleh sewenang-wenangnya mendengar khabar angin yang boleh memecahbelahkan UMNO.

"Jangan ada orang UMNO yang cuba mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan kita kerana apa yang kita buat ini adalah untuk kukuhkan kerajaan dan parti.

"Bila UMNO pecah, Melayu menjadi lemah kerana UMNO ditubuhkan disebabkan oleh orang-orang Melayu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Larut 2015 Ahad.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merangkap Anggota Parlimen Larut Datuk Hamzah Zainudin.

Razali turut mengulas rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas, yang mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat mahupun anggota parti.

"Hakikatnya bohong orang yang tiada perasaan sahaja yang tidak marah. Orang yang mahu tengok UMNO terus bercakaran sahaja tidak marah, tidak sedih, namun keputusan yang dibuat adalah kuasa perdana menteri, tidak ada masalah bagi saya.

"Kita harus bijak mengawal emosi kita mengenai isu tersebut kerana ini bukanlah perkara yang dapat kita bawa ke hadapan. Jangan kita marah sampai kita bakar segalanya," jelas beliau.

Razali, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata jangan wujud prasangka buruk dengan keputusan perdana menteri, dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan mendatangkan hasil pada masa akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana