Boleh tegur, tapi ada cara...- PM

Perdana Menteri yang juga presiden UMNO,  Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata dia boleh menerima teguran dari ahli-ahli, tetapi ia mestilah ada cara dan tempatnya.

"Saya dah kata saya boleh ditegur. Tapi ada caranya, ada tempatnya. Kalau kita di luar kita lempar macam-macam,  rosak parti kita. Kalau kita duduk semeja bincang. Kalau tak cukup maklumat, kita cari.

"Kalau kita ada bercanggah pendapat atau bertengkar pun tak apa. Jangan sampai kita baling kerusi saja. Setakat tumbuk meja pun tak apa. Sesama kita dalam bilik. Tetapi bila kita di luar kita orang parti kena setia pada parti," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Seremban, di Paroi pada Sabtu.

Najib seterusnya mengingatkan bahawa kesetiaan adalah elemen penting kepada kekuatan sesebuah parti.

"Pembangkang pun macam-macam pemimpin dia. Dah keluar video pun pertahankan. Dalam mahkamah pun pertahankan. Sebab mereka tahu kalau semua penyokong setia parti kuat.

"Kita pun kena setia pada parti. Tetapi bukan setia membuta tuli. Tengok Datuk Mohamad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan) - dia kalau tak setuju dia kata tak setuju. Saya terima. Tapi bila di luar kita serius," katanya.

Najib berkata sebagai presiden parti, dia ingin melihat UMNO terus berkuasa dan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihanraya akan datang.

Menyentuh isu 1MDB, Perdana Menteri berkata ia tidaklah seburuk yang dibayangkan oleh sesetengah pihak seolah-olah yang lain tak penting.

"RM40 billion tak hilang. Mustahil hilang. Itu aset yang sudahpun diaudit oleh auditor. Saya dah sebut beberapa kali. Tunggu dulu. Dah keluar interim report.

"Tak lama lagi final report. Kalau ada apa-apa kesalahan, masa itulah tindakan kita ambil. Kita tidak akan melindungi sesiapa.

"Tapi sabar dulu. Biar kita buat siasatan, bentang dalam PAC, baru kita ambil tindakan. Janganlah kita gusar sangat sampai benda yang patutnya baik jadi tak baik," tambahnya.

Najib menjelaskan, kerajaan nemang mempunyai program untuk mengurangkan hutang 1MDB. Beliau memerlukan masa lebih kurang enam bulan untuk melaksanakannya.

"Saya tak kata tak ada masalah. Mungkin ada kelemahan. Berikan saya peluang pulihkan 1MDB."

Najib berkata semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun, negara juga dilanda pelbagai masalah tetapi ahli-ahli parti tidak menghentamnya.

"Kini segala-galanya meletop. Selepas itu keluar dalam Sarawak Report. Seolah-olah orang asing nak tentukan siapa yang patut  memimpin negara kita.

"Saya pantang. Saya tak boleh terima orang luar tentukan kepimpinan kita. Kalau saya tak betul biar ahli parti kata saya tak betul.

"Ahli parti tegur saya boleh terima. Tapi kalau orang luar, orang putih luar, orang asing luar, nak tentukan siapa pemimpin negara, saya tidak akan terima dan ahli parti pun tak akan terima. Apa hak dia? Kita mesti bersama dalam hal ini.

"Kalau nak tegur saya, tegurlah. Saya terima anytime. Beri pandangan, cari penyelesaian. Saya dah lama. Tuan-tuan bukan tak kenal saya. Dalam sibuk-sibuk walau tak ada appointment pun saya jumpa dan tolong.

"Tiga puluh lapan tahun saya dalam politik apa karenah orang UMNO yang saya tak tahu dan tak pernah bantu? Sebagai presiden parti, zaman saya paling banyak bantuan diberikan kepada bahagian.
"Percayalah apa yang telah saya lakukan adalah untuk kepentingan parti dan bukan untuk kepentingan peribadi."

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hassan Malek yang turut hadir pada majlis berkenaan kerana tetap setia kepada parti.

"Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir terutama Hassan Malek walaupun dia dah tak ada jawatan.

"Saya pun terima Tan Sri Muhyiddin kata bahawa dia nak jadi ahli parti yang setia. Saya terima. Sebab kita mesti bersama-sama supaya parti UMNO kuat. Supaya kita menang besar. Kita akan jadi parti yang terus memerintah. Insyallah.

"Kita tak akan tersungkur di medan perjuangan selagi ahli UMNO bersatu, komited dan jujur dalam perjuangan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana