Wajarlah PAS jatuhkan talak ke atas DAP

Pada 24 Ramadan 1436, Majlis Syura Ulama PAS mengemukakan dua alasan yang amat munasabah dan wajar mengapa ia menjatuhkan talak ke atas DAP dan sekaligus melupuskan tahaluf siasi dengan parti dominan Cina itu.

Pertama, Majlis berkenaan kecewa dengan sikap DAP yang tidak henti-henti menyerang PAS hingga ke peringkat terlalu kasar dan berbaur sikap menghina berbanding dengan serangannya terhadap musuh-musuh politik lainnya seperti MCA dan MIC.

Kedua, dan yang lebih serius ialah, Majlis Syura berkenaan menilai ada beberapa gelagat politik DAP dilihat jelas cuba “mempertikaikan” pegangan agama atau akidah perjuangan PAS.

“Majlis Syura Ulamak kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat,” kata Majlis Syura berkenaan dalam satu kenyataan.

Kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Majlis itu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata, yang lebih mendesak keputusan itu didorong oleh  “campur tangan DAP dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS”.

Memang umum tahu bahawa mutakhir ini pemimpin-pemimpin DAP tidak putus-putus menyerang PAS dengan menggunakan alasan moral seperti PAS kononnya melanggar rangka persefahaman bersama Pakatan Rakyat.

Namun paling  ketara ialah kecaman dan sindiran itu ditujukan terus kepada peribadi presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang dirumuskan DAP sebagai ‘tidak layak memimpin sebuah pergerakan Islam’.

Hadi sering dituduh membelakangi rangka persefahaman bersama yang menjadi rukun Pakatan Rakyat kerana kerap menggunakan kuasa veto untuk menolak keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat meskipun beliau tidak hadir mesyuarat.

Malah DAP cuba mengukuhkan hujahnya dengan mengatakan Hadi juga beberapa melanggar adab pimpinan PAS sendiri dengan mengabaikan keputusan bersama wakil-wakil PAS dalam mesyuarat tertinggi dengan wakil komponen lain Pakatan Rakyat.

Itu pandangan DAP. Bagaimanapun yang perlu diingat ialah inti adab Pakatan Rakyat ialah, setiap keputusan berhubung halatuju dan perjuangannya mestilah mendapat persetujuan bersama atau consensus sebelum ia boleh dilaksanakan.

Lantas bagaimana pula PAS, khususnya Hadi, perlu dan mahu menyokong keputusan-keputusan yang dibuat secara bersendirian oleh parti-parti komponen pakatan itu?

Beliau cuba menerangkan bahawa tindakan DAP membentang dan meluluskan usul mengadakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan tidak mendapat sokongan PAS sejak mula lagi.

Bagaimanapun DAP yang menguasai Pulau Pinang tanpa berunding dengan PKR dan PAS bertindak sendirian membentang dan meluluskan usul berkenaan di Dewan Undangan Negeri.

Begitu juga dengan tindakan unilateral PKR. Pakar strateginya, Rafizi Ramli dengan bangga mendabik dada beliau telah mencernakan strategi ampuh yang diberi nama ‘Langkah Kajang’ untuk melonjakkan peluang Pakatan itu menawan Putrajaya.

Namun PAS mempunyai pandangan berbeza. Yang diyakininya ialah langkah itu adalah untuk memaksa Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan dan digantikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk  Seri Anwar Ibrahim.

Di segi moral dan teknikalnya PAS percaya pendekatan sengaja mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan memaksa menteri besar yang berprestasi tinggi meletak jawatan bukan adab yang baik.

Namun walapun protes PAS akan jelas dan munasabah, PKR terus juga melaksanakan Langkah Kajang tanpa sedikitpun mengambil sentimen PAS berhubung isu itu.

PAS menganggap baik Pulau Pinang mahupun Selangor, adalah dua negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. PAS juga istiqamah berpegang pada konsep konsensus atau persetujuan bersama. Malangnya, DAP dan PKR tidak ambil peduli pandangan PAS.

Sebaliknya, usaha PAS mahu meminda Enakmen syariah Kelantan bagi memberi ruang luas sedikit pada pengurusan dan pelaksanaan undang-undang Islam ditohmah oleh DAP sebagai melanggar konsep konsensus Pakatan Rakyat!

Walhal baik DAP mahupun PKR maklum PAS tidak pernah bersetuju menggugurkan matlamat perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Islam baik sebelum mahupun sesudah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat pada 2008.

Apa yang mahu dilakukan PAS ialah melanjutkan usaha yang sudah dimulakan sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu. Malah DAP sendiri sudah memperakui hak PAS itu dalam perjanjian yang ditangani pemimpin kedua-dua parti sebelum Pilihanraya Umum 2013.

Bagaimanapun seolah-olah mahu mencari sebab memperlekeh PAS, soal tidak ikut konsensus Pakatan itu semuanya dipalitkan kepada PAS, khususnya presidennya, Haji Abdul Hadi.

Apabila menghidu ada semacam keretakan dalam pimpinan PAS yang menyaksikan persaingan ulama-profesional merebut dalam parti itu, DAP cuba campurtangan dan berkempen untuk puak profesional PAS seraya meremehkan wibawa ulama PAS pula.

Akidah perjuangan PAS ialah Islam. Lantas pelaksanaan dan tanggungjawab mempertahankan kewibawaan hukum Islam adalah terletak di bahu PAS. Malangnya, DAP bersikap tidak sensitif dalam soal ini.

Pemimpin-pemimpin DAP secara sedar dan dengan penuh nafsu mempertikaikan hukum Islam seperti hudud, aurat dan kegiatan lagha seperti konsert hiburan liar dan secara langsung melanggar hak perjuangan PAS.

Tanpa berselindung DAP memutuskan hubungan politik dengan presiden PAS, Haji Hadi. Dan, ketika persiapan sibuk dibuat menghadapi pilihanraya negeri Sarawak, DAP dengan sewenang-wenangnya memutuskan pula hubungan dengan PAS Sarawak.

Maka memang wajarlah bagi Majlis Syura Ulama PAS memutuskan tahaluf siasi dengan DAP yang memulakan sengketa dan rasa menyemai curiga umum terhadap keikhlasan PAS.

Belum PAS sempat memutuskan usul Dewan Ulamanya supaya dibatalkan tahaluf siasi dengan DAP, parti dominasi Cina sudah memecat wakil-wakil PAS dalam kerajaan Pulau Pinang yang dikuasainya.

Tahaluf atau kerjasama PAS dengan DAP sudah terbatal. Semoga tidak ada pihak dalam PAS yang masih terus meratapi talak yang dijatuhkan oleh Majlis Syura Ulama PAS demi memelihara maruah perjuangan PAS itu.

Kini terserah pada PKR, terutama menteri besar Selangor, Azmin Ali mahu menghormati tahaluf siasi yang masih mahu dijalin PAS dengan parti itu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana