Tiada muka baru dalam parti GHB... - PAS Terengganu

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyifatkan bekas pemimpin kanan parti yang terlibat dengan penubuhan Parti Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai orang yang kecewa dan tidak berjiwa besar kerana tidak dipilih dalam Muktamar PAS Jun lalu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata berdasarkan pemerhatiannya tiada muka baharu dalam barisan pimpinan GHB cuma terdiri daripada bekas pemimpin PAS dan muka-muka lama sahaja.

"Alasan yang diberikan untuk penubuhan parti itu tiada hujah yang konkrit melainkan sekadar hanya ingin menjadi pemimpin, jika mahu tumbangkan Barisan Nasional (BN), lebih baik mereka menyertai DAP atau PKR sahaja.

"Kewujudan mereka itu nanti hanya akan menyebabkan pertembungan tiga penjuru iaitu antara PAS, BN dan parti baharu itu bahkan mereka akan menjadi penyebab kepada kemenangan BN dan mengecewakan hasrat (PAS) untuk melihat BN tewas pada pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat beberapa pemimpin PAS yang mahu menubuhkan parti baharu itu yang dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

Satiful Bahri menyifatkan tindakan untuk menubuhkan parti baharu dan berusaha menarik keluar anggota PAS, memfitnah dan memberi pelbagai alasan, hanya menzahirkan tindakan khianat kepada PAS.

"Semasa menjadi calon mereka ini telah melafazkan sumpah baiah dan sepanjang sejarah PAS, mereka yang khianat tidak akan ke mana-mana dalam hidup mereka.

"PAS tidak akan berundur. Kita akan tetap bertanding tanpa mempedulikan parti baharu itu bahkan di kerusi dimenangi DAP sebelum ini kerana tahaluf siyasi (kerjasama politik) antara PAS dan DAP sendiri sudah terbatal," katanya.

Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selaku pengerusi jawatankuasa penaja parti baharu itu mengumumkan pelancaran parti baharu itu pada Isnin lepas.

Antara anggota jawatankuasa interim parti itu ialah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana