"Saya akan cari jalan tegakkan kebenaran..." Ikrar PM

Di depan hampir 20,000 penduduk sekitar Besut Terengganu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar beliau akan berusaha menegakkan kebenaran yang bakal dibuktikan kelak ketika serangan terhadap kepemimpinannya yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus memuncak dari dalam dan luar negara.
Najib meminta rakyat supaya tidak bimbang dengan pelbagai dakwaan tidak berasas yang dilemparkan itu dan mengulangi pendiriannya tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,“ katanya.

Beliau turut menyatakan rasa terharu dan berterima kasih dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din.

Haron menyatakan adalah tidak masuk akal Perdana Menteri akan menyalahgunakan wang rakyat ratusan juta ringgit dengan memasukkan dalam akaun peribadinya sebagaimana yang didakwa Wall Street Journal (WSJ).

Utusan melaporkan Najib berkata, sememangnya tidak masuk akal beliau tergamak berbuat demikian sehingga sanggup mengkhianati rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada sokongan banyak pihak dalam kalangan pemimpin UMNO dan saya juga ucap terima kasih kepada seorang pemimpin PAS yang membuat kenyataan baik terhadap saya.

“Datuk Haron Din kata adalah tak masuk akal PM (Perdana Menteri) ‘songlap’ duit. Memang tak masuk akal dan sebagai seorang PM, saya takkan khianati rakyat dari dulu sampai sekarang,“ katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Besut petang Isnin.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh serta isteri, Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria dan Ketua UMNO bahagian Besut, Nawi Mohamad.

Dianggarkan hampir 20,000 orang dari segenap lapisan masya­rakat menghadiri majlis berkenaan.

Perdana Menteri seterusnya menyeru semua pihak supaya jangan mencantas sesama sendiri kerana gejala itu akhirnya akan membawa perpecahan dalam masyarakat.

Menurutnya, kerjasama dengan bersatu padu akan menghasilkan kejayaan meskipun berbeza fahaman politik.

“Kalau nak berjaya, kita mesti bersama walaupun berbeza politik, jangan sampai kita berpatah arang,“ jelas Perdana Menteri.

Dalam ucapannya, beliau turut mengagumi kejayaan dan pencapaian sekolah Imtiaz khususnya di Besut sehingga bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah seluruh rakyat Malaysia.

Justeru itu, Najib yakin prestij sekolah Imtiaz yang penubuhannya menekankan konsep Ulul Albab hasil cetusan idea Menteri Pendidikan II mampu mengangkat ketamadunan Islam, sekali gus mengelak umat Islam berpecah belah.

Dalam majlis itu juga Perdana Menteri turut memenuhi permohonan Ahmad Razif dengan meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi membina sebuah dewan serba lengkap bagi kegunaan Sekolah Menengah Imtiaz YT Besut.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana