Renung2kan...apa kata ustaz!

Rasis, Low Yat & Laitalul Qadar

1) Berlaku satu peristiwa di zaman Nabi sallallahu alaihi wassallam di mana kaum Muhajirin dan kaum Ansar hampir bergaduh disebabkan pergaduhan kecil yg bermula di antara dua lelaki; seorang dari Ansar dan seorang lagi dari Muhajirin.

Jabir bin Abdillah yang meriwayatkan kisah ini berkata: "Suatu ketika kami berada di dalam peperangan Bani Mustoliq, seorang lelaki dari kalangan Muhajirin memukul belakang lelaki dari kalangan ansar. Lelaki ansar menjerit: "wahai kaum Ansar-tolong aku-,", lelaki dari Muhajirin juga turut menjerit: "wahai kaum Muhajirin-tolong aku-". Berita ini disampaikan kepada Nabi sallallahu alaihi wassallam, lalu Baginda bersabda: "adakah kalian masih menyeru dengan seruan Jahiliyyah-seruan berbau perkauman-,sedang Aku masih di sisi kalian?". Nabi sallallahu alaihi wassallam seterusnya bersabda: "Tinggalkan sikap seperti itu kerana baunya busuk!" (riwayat Al-Tirmidzi,no:3315)

Mesej yang cukup jelas diberikan oleh Nabi sallallahu alaihi wassallam:

a) Celaan terhadap "sikap jahiliyyah" di atas merujuk kepada sifat rasis yang melanggar hak-hak kemanusian. Kerana apabila diseru kaum masing-masing, yang akan berlaku adalah setiap kaum akan mempertahankan kaum masing-masing tanpa menilai secara rasional yang mana benar atau yang mana salah.

b) Jika mempertahankan hak, itu bukan rasis. Cuma, perlu dibezakan antara perjuangan mempertahankan hak dengan perjuangan mempertahankan bangsa semata-mata sehingga mengabaikan hak bangsa lain.

2) Sensitivi perkauman mula dimainkan apabila berlaku pergaduhan antara pengguna Melayu dengan peniaga Cina di Low Yat. Secara prinsipnya, saya sokong pertahankan hak pengguna muda Melayu dan juga hak peniaga Cina tersebut sehingga siasatan pihak berkuasa selesai. Jika telah terbukti ada kesalahan berlaku, maka pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan tegas dan segera ke atas pesalah samada ke atas pengguna ataupun peniaga. Jangan asyik menunggu & menerima ribuan laporan tetapi tiada tindakan.

3) Rusuhan dan memukul orang yg tidak bersalah merupakan sikap yang dibenci di dalam Islam walaupun mereka kafir. Bahkan Nabi sallallahu alaihi wassallam akan membela hak mereka di akhirat kelak. Sabda Nabi sallallahu alaihi wassallam: "Barangsiapa yang melakukan kezaliman terhadap orang kafir yang ada perjanjian dengan pemerintah islam, atau membatalkan haknya, memberatkannya lebih dari kadar kemampuannya, mengambil sesuatu daripadanya dengan cara yang tidak baik, maka aku akan mempertahankannya di hari kiamat kelak." (riwayat Abu Daud,no:3052)

4) Semua pihak penguatkuasa perlu memainkan peranan dalam kes di Low Yat. Bukan kes pergaduhan sahaja, bahkan isu barangan tiruan juga merupakan perkara serius yang perlu diberikan perhatian.

5) Isu Low Yat bukan soal siapa hero atau siapa kuat atau siapa menang. Sebaliknya isu Low Yat adalah soal keselamatan negara, perkauman, ekonomi, perlancongan dan lain-lain. Jadi, penyelesaian isu Low Yat perlu mengambil kira semua perkara di atas.

6) Nasihat saya utk pengamal media sosial; sila SEMAK & pastikan KESAHIHAN setiap maklumat,gambar atau video yang disebarkan terlebih dahulu sebelum mempercayainya dan menyebarkannya. Moga kita tidak tergolong dari kalangan 4 kelompok yg dimurkai Allah;

- pendusta kerana menyebarkan berita palsu
- pengumpat kerana sebarkan keaiban pihak lain
- pengadu domba kerana menyebarkan perkara yang mencetuskan pergaduhan sesama manusia.
- pemfitnah kerana menyebarkan tuduhan palsu ke atas orang lain.

7) Sebaliknya dalam situasi sekarang, berbaliklah kita kepada penyelesaian agama. Sabda Nabi sallallahu alaihi wassallam: "Sesiapa yg beriman kepada Allah dan Rasul,maka hendaklah dia bercakap hal yg baik ataupun berdiam diri." (riwayat al-Bukhari,no:5672)

8) Kepada ahli politik, jangan politikkan isu Low Yat. Keamanan dan keselamatan negara perlu diutamakan melebihi kepentingan politik masing-masing. Tugas ahli politik adalah mendamaikan bukan menghuru harakan keadaan. ‪#‎islahpolitik‬

9) Kepada bangsaku: Teruskan perjuangan mempertahankan Hak, cuma jangan abaikan hak manusia lain.

Allah Maha Adil, penilaian di akhirat kelak bergantung kepada kebenaran, bukan atas nama bangsa atau kaum tertentu. Jika Nabi sallallahu alaihi wassallam sendiri tidak mampu memberikan jaminan syurga untuk ahli keluarga Baginda, inikan pula kita.

10) Ramadhan yang sewajarnya kita lalui dengan tenang dan aman kini digantikan dengan fitnah dan pergaduhan. Hayatilah Sabda Nabi sallallahu alaihi wassallam: "Maka apabila pada hari kamu berpuasa maka janganlah bercakap kotor dan meraung marah. Maka apabila seseorang mencelanya atau memeranginya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, Sesungguhnya aku berpuasa." (riwayat al-Bukhari,no:1904)

11) Kepada umat Islam, malam ini adalah malam ke-27 ramadhan. Malam yg pernah berlakunya Lailatul Qadar di zaman Nabi sallallahu alaihi wassallam. Oleh itu, janganlah kita lepaskan peluang memperkasakan ibadah dan mengejar ganjaran seribu bulan beramal. Tinggalkan Low Yat kepada pihak berkuasa. kita penuhi masjid dan surau dengan munajat. Pertolongan Allah pastikan datang insyaAllah.

Wallaahua'lam.
Dr Fathul Bari (DFB)

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana