Pergantungan Permit The Edge Wajar - Ismail Sabri

BERA 25 Julai - Tindakan menggantung permit penerbitan akhbar The Edge dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan berkuatkuasa Isnin ini disifatkan sebagai satu tindakan wajar dan perlu dikenakan terhadap media sosial lain yang menyiar laporan menjejaskan keamanan dan perpaduan negara.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan keras perlu dikenakan untuk dijadikan sebagai peringatan supaya tidak ada pihak yang menyalahgunakan hak kebebasan suara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun dalam perlembagaan rakyat ada hak bersuara, tetapi mereka masih lagi tertakluk kepada undang-undang dan kebebasan itu tidak boleh dijadikan lesen untuk menyebarkan fitnah, menghasut, sabotaj ekonomi negara dan bertindak sebagai pengkhianat.

"Jangan disebabkan ada kebebasan semua anggap kebebasan itu tiada hadnya, kalau semua beranggapan demikian, ia bukan sahaja akan merosakkan negara dari segi ekonomi, tetapi rusuhan kaum juga boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di sini, Sabtu yang dihadiri kira-kira 10,000 masyarakat setempat terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan berkuatkuasa Isnin ini.

Tindakan itu diambil berikutan dua laporan yang dikeluarkan oleh akhbar berkenaan tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Katanya tindakan yang lebih tegas wajar diambil seperti membatalkan permit  dua akhbar berkenaan serta mana-mana media yang yang berterusan menyiarkan laporan menjejaskan ekonomi dan perpaduan negara.

Hishammuddin ketika diminta mengulas perkara yang sama pula berkata, tindakan keras itu perlu diambil untuk menjaga keselamatan dan keharmonian negara.

"Media ada tanggungjawab. Jika ada yang dilaporkan menjejaskan keselamatan dan keharmonian serta tidak benar, kerajaan kena buat pendirian," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana