PAS dakwa Guan Eng pilih untuk bermusuh

PAS Pulau Pinang mendakwa ketua menteri negeri itu Lim Guan Eng sengaja menyerang PAS apabila menggelar PAS sebagai musuh, semata-mata kerana PAS Pulau Pinang membawa kes pemecatan terhadap wakil PAS di dalam agensi kerajaan negeri ke mahkamah.
Ketua Penerangannya Mohd Yusni Mat Piah berkata tuduhan Guan Eng terhadap parti itu amat tidak matang, prejudis, lagi provokatif dan tidak profesional.

"Apakah alasan wajar Guan Eng untuk melabelkan PAS adalah musuh kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang?" soal beliau dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurut Yusni, amat malang sekali andai Guan Eng memilih untuk bermusuhan, sedangkan umum mengetahui bahawa pemecatan yang dibuat itu adalah suatu perkara keterlaluan.

"Bermakna, jika mengemukakan peradilan di mahkamah diertikan sebagai permusuhan, maka dengan sendirinya Guan Eng telah menjustifikasikan tindakan pemecatannya itu sebagai satu kezaliman," katanya.

Mengulas lanjut, Yusni berkata pemecatan yang dibuat terhadap pemimpin dan ahli PAS di Pulau Pinang  kerana kegopohan Guan Eng dalam menafsirkan usul yang berlegar sewaktu Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke 61 baru-baru ini.

"Sekiranya diamati usul dibuat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat itu, seharusnya LGE tidak perlu melatah dan tergopoh gapah mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan PAS yang masih bekerja di dalam pentadbiran negeri.

"Apatah lagi Majlis Syura Ulamak PAS sebagai eksekutif tertinggi parti tidak memuktamadkan sebarang pendirian berhubung usul yang dibentangkan itu.

"Maka adalah tidak adil Guan Eng bertindak terburu-buru memecat mereka yang terbabit dan menuduh PAS sebagai musuh hanya kerana PAS tampil ke mahkamah menuntut keadilan yang sewajarnya," ujarnya.

Jelasnya lagi, Guan Eng dibayangi ketakutan hinggakan sanggup menggelarkan PAS yang masih berada dalam Pakatan Rakyat sebagai musuh.

"Perlu diingat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak akan tertegak jika sekiranya DAP tidak membentuk kerjasama dengan PAS dan PKR."

"Usah bongkak dan sombong dengan kemenangan dilakar, sedang kemenangan itu diraih hasil titik peluh para petugas khususnya ahli-ahli PAS yang bertungkus lumus bekerja menentang UMNO-BN," katanya.

5 Julai lalu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof dalam kenyataannya berkata PAS akan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung isu pemecatan wakil parti itu dalam pentadbiran negeri.

Bulan lepas, kerajaan negeri memecat Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang Mohd Fadzil Kemi daripada jawatan Pegawai Penerangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Pejabat Ketua Menteri serta wakil-wakil PAS dalam dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Pemecatan itu berikutan keputusan Muktamar PAS baru-baru ini meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP yang sebelum itu telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ketegasannya mahukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud di Kelantan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana