Pakatan Baharu Ditubuhkan Selepas Aidilfitri - Mat Sabu

KUALA LUMPUR 4 Jun - Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan penubuhan Pakatan Pembangkang baharu yang bakal diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

Beliau berkata, pakatan baharu itu nanti akan menjadi lebih hebat daripada Pakatan Rakyat yang diumumkan tidak lagi wujud baru-baru ini.

"Pakatan baharu itu perlu menjadi gabungan yang menjunjung integriti sebagai nilai penting.

"Tugas kita bukan hanya menggantikan UMNO dan Barisan Nasional. Kita perlu bentangkan satu formula baru.

"Saya sokong kuat kerajaan Pulau Pinang kerana ia mempunyai integriti dan mengamalkan budaya dan nilai yang serupa dengan ajaran Islam.

"Ia bukan tentang semangat Melayu tetapi semangat harmoni. Tiada ubat lain selain daripada mengubah kerajaan," Mohamad dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian di majlis berbuka puasa anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di The Light Hotel di Seberang Jaya malam tadi.

Katanya, Islam agama yang menganjurkan keamanan dan Al-Quran juga mengajar umatnya bercakap dengan santun dan menggunakan perkataan yang baik apabila berbicara atau berhujah, baik dengan orang Islam mahupun dengan bukan Islam.

"Ia tidak mengajar kita menggunakan perkataan seperti serigala, anjing atau jebon.

"Tak kena tu," katanya lagi.

Kenyataan Mohamad itu dipercayai merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan serigala dan anjing boleh terus menyalak, tetapi PAS tidak akan berganjak daripada agenda hududnya.

Selain Mat Sabu, turut hadir ialah presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi, bekas pemimpin PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas strategis PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Sementara itu, Mujahid berkata, tidak perlu sedih dengan terkuburnya Pakatan Rakyat kerana satu kuasa baharu akan muncul.

Beliau berkata gabungan yang lebih kuat akan terus berusaha untuk rakyat.

"Kita tidak pernah lihat sebelum ini, yang kalah disanjungi. Saya bercakap ini, tentang parti saya (PAS).

"Kita akan lihat satu gelombang baharu. Harap-harap dengan ketibaan Syawal, kita akan lihat munculnya gelombang baharu," katanya di majlis tersebut.

Manakala Phahrolrazi pula menegaskan mengatakan wujud keperluan segera untuk menubuhkan satu gabungan baharu dalam kalangan parti pembangkang.

"Kita mesti ada gabungan baharu. Saya sudah katakan, kalau G18 tak buat, PasMa akan buat," katanya.

DAP dan PAS berbalah sejak parti Islam tersebut membentangkan dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac.

Awal bulan lepas di muktamar tahunan PAS, parti itu menerima tanpa bahas usul daripada Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana