Najib Serah RM25 Juta Bantu 553 Sekolah Agama Rakyat

PUTRAJAYA -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan sumbangan kewangan bernilai RM25 juta kepada 553 Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negara.

Antara lain, peruntukan itu bertujuan membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan tadbir urus sekolah berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada lebih 90,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di sekolah berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan pada majlis berbuka puasa warga pendidik bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam di Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Hadir sama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan serta isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Najib dalam ucapannya memuji Muhyiddin yang meneruskan beberapa inisiatif yang pernah diperkenalkannya semasa menjadi menteri pendidikan, antaranya menjaga kebajikan para guru.

"Apa yang saya rasa bangga ialah terdapat kesinambungan perjuangan dalam usaha memajukan bidang pendidikan negara antara saya dan Tan Sri Muhyiddin.

"Sebahagian inisiatif yang saya mulakan telah disambung oleh Tan Sri Muhyiddin malah berjaya mengangkat bidang ini ke tahap lebih tinggi lagi membanggakan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kebajikan guru adalah perkara yang amat diberi perhatian oleh beliau dan ia telah ditambah baik oleh Muhyiddin dengan menaikkan gred permulaan guru lulusan maktab perguruan daripada 32 kepada 41 bagi lepasan institut perguruan.

Najib berkata penambahbaikan dari segi syarat kemasukan, kenaikan pangkat dan kenaikan berasaskan tempoh perkhidmatan telah menyebabkan Kementerian Pendidikan menerima sehingga 60,000 permohonan untuk menjadi guru setiap tahun.

Beliau berkata untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti mereka yang berhasrat menjadi seorang guru perlulah memiliki keghairahan atau keinginan yang tinggi di dalam diri selain dibantu kurikulum dan latihan yang sempurna.

Perdana Menteri berkata semangat itu akan memastikan setiap guru bersedia untuk mencurahkan khidmat walau di mana mereka ditempatkan termasuk di kawasan pedalaman.

"Tanggungjawab sebagai guru adalah amat berat kerana anda merupakan pemangkin kepada kemajuan negara tercinta pada masa depan," katanya.

Najib turut menarik perhatian bahawa Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi tetapi ia harus dilihat dari aspek lebih luas iaitu dana tersebut merupakan pelaburan dalam melahirkan insan berkualiti pada masa depan.

Sementara itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan raya daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada 80 murid daripada tujuh buah sekolah rendah.

Najib dan Muhyiddin serta para jemputan kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

-Bernama

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana