Muhyiddin kembali bersuara mengenai 1MDB…bukan menentang PM

Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih sejam sewaktu menutup mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur Ahad malam mencuri perhatian bila beliau secara terbuka dan berterus terang menyentuh isu 1MDB dalam beberapa kontek termasuk akui kesan negatifnya pada UMNO.

Namun Timbalan Perdana Menteri turut menjelaskan apa yang disuarakannya tidak langsung bermaksud beliau menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau mempunyai niat lain yang terselindung.

Malah beliau meminta kalangan wartawan yang membuat liputan tidak putar kata-katanya.

Beliau antara lain menyuarakan pendapat perlunya Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mempelopori usaha menjelaskan mengenai isu 1MDB.

Muhyiddin akui BN boleh kalah jika pilihanraya umum diadakan sekarang gara-gara isu ini.

Katanya apa yang disuarakannya mengenai 1MDB semasa pertemuan tertutup dengan ahli UMNO ( yang bocor kepada umum baru-baru ini) adalah pandangan sama yang disampaikan secara langsung kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu beliau juga ada menyampakan beberapa pandangan termasuk meminta Perdana Menteri letak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk elak beliau dilihat terlibat secara langsung.

Katanya Perdana Menteri menolaknya.

“Saya cuma ingin membantu,bukan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.(Menolak) itu adalah haknya,”ujarnya.

Muhyiddin juga akui beliau ada berhubung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kebelakangan ini tetapi sentiasa beritahu kabinet mengenai perkembangannya.

Menurutnya bekas Perdana Menteri itu harus dianggap sebagai seorang bapa dan tidak harus ‘diserang’.
Beliau menolak anggapan ia pertemuan sulit antara mereka.

"Tiada yang sulit...saya berkomunikasi dengan Tun, (kemudian) saya jelaskan kepada Kabinet kerana tak mahu ada salah faham.

"Dia (Dr Mahathir) bimbang dengan kedudukan Najib sebab dia sayang Najib...pasal mengenang sejarah Tun (Abdul) Razak (Hussein).

"Jadi nak sokong Najib bila timbul isu berkaitan dengan Najib.

"Dia hanya beri pandangan dan saya tak fikir ia melampau," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga akui memang agak lantang bersuara mengenai 1MDB dalam mesyuarat kabinet atas hasrat untuk beri pandangan membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya berkata ini bukan untuk menyalahkan sesiapa kerana saya juga sebahagian dari sistem dan antara orang yang bertanggongjawab untuk membantu Perdana Menteri.Tetapi saya rasa bimbang sekiranya kita gagal menangani sesetengah isu penting dengan baik,”katanya.

Juga agak menarik beliau pertama kali akui secara terbuka telah mempelopori usaha meminta Tun Abdullah Badawi letak jawatan selepas pilihanraya umum 2008 dulu.

Bagaimanapun katanya UMNO kini tidak berada dalam kedudukan yang kuat dan tidak boleh berdepan dengan pergelutan kepimpinan.

Timbalan Perdana Menteri berpendapat kerajaan tidak harus pandang ringan sentimen negatif orangramai terhadap isu 1MDB.

Katanya beberapa penjelasan oleh menteri mengenainya kebelakangan ini tetap dipertikaikan oleh pengkritik.

"Mesti ada penyelesaian muktamad...kalau tak selesai jadi beban...nak selesai pun jadi beban kerana dengan keadaan ringgit kita sekarang sudah jadi berapa bilion? Kita bercakap tentang kes ribuan juta amaun," katanya.

Muhyiddin menegaskan penjelasan jitu perlu diberikan bagi mengelakkan rakyat dari terus tertanya-tanya.

Katanya isu 1MDB juga memberikan persepsi negatif kepada pelabur luar yang seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negara.

Muhyiddin menjelaskan kebimbangan beliau jika sesuatu tidak dibuat sekarang untuk tangani isu ini,BN boleh kalah pilihanraya adalah berdasarkan maklum balas yang diterimanya.

Katanya beliau mendapat maklum balas yang negatif dan tidak menentu bila bertanya soal harapan BN untuk menang pilihanraya umum akan datang sewaktu beberapa pertemuan dan perhimpunan kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau cuma menyampaikan maklum balas yang diperolehinya dibawah.

Katanya nasib baik ada masa lagi sebelum pilihanraya umum akan datang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pasukan petugas khas yang ditubuh untuk menyiasat kes 1MDB tidak perlu diganggu supaya proses penyiasatan boleh dipercepatkan.

"Sekarang pun dah ada reman, ada tindakan...saya harap diteruskan kerana lebih cepat lebih baik untuk parti dan kerajaan," katanya.

Muhyiddin juga mencadangkan agar laporan interim 1MDB dijadikan dokumen awam agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam kes berkenaan.

"Kalau nak jadikan 'public document' pun tiada halangan.

"Elok juga rakyat tau apa kedudukan sebenar. Kita tak mau ia diputar belit.

"Sebagai pemimpin kita mesti memikul amanah. Kita diamanah urus negara dan tadbir segala harta kekayaan, rakyat mahu tahu bagaimana harta kita (tadbir) untuk mereka," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan telah tiba masanya kerajaan dan parti menguruskan isu persepsi yang cukup menebal di kalangan rakyat.

Katanya, pelbagai sentimen rakyat Malaysia terutama yang diluah di media sosial perlu diteliti kerana ia telah menjadi sentimen yang nyata.

"Dalam media sosial rakyat mengeluh soal GST, soal kerajaan katanya rasuah.

"Ia mungkin benar, maka perlu diteliti mengapa jadi begitu.

"Kita tidak mahu ada sindrom bisu, sindrom penafian...kita tolak semua, kita rasa semua tak betul kerana kita telah terlalu lama berkuasa," katanya.

Justeru, katanya kerajaan dan parti perlu kembali ke pangkal jalan, turun padang mencari masalah dan penyelesaian terhadap isu dan masalah rakyat.

Ini, katanya, bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dapat dikembalikan dan mereka merasa hanya BN parti harapan negara.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana