KPN Tegaskan Malaysia Telah Buat Permintaan Bertemu Justo

GOMBAK: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan media yang memetik polis Thailand sebagai berkata bahawa Malaysia masih belum membuat permintaan untuk bertemu bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo.

Khalid berkata pihak media tidak mengambil bahagian dalam perbincangan di antara pihak polis dan rakan kerjasama mereka dari Thailand sambil menegaskan bahawa permintaan telah dibuat untuk bertemu Justo.

"Siapa yang mereka tanya? Polis Thai? Mungkin mereka bertanya dengan media Thai dan mereka pasti tidak akan tahu.

"Perkara ini adalah antara PDRM dan Polis Diraja Thailand. Ya, sudah tentu kita telah meminta untuk bertemu Justo," katanya kepada pemberita.

Laporan Bernama pada 9 Julai memetik jurucakap Polis Diraja Thailand Pol LFT Gen Prawuth Thavornsiri sebagai berkata bahawa beliau tidak mengetahui tentang sebarang permintaan rasmi dari Malaysia untuk menemubual bekas eksekutif yang sedang disiasat kerana peras ugut.

Prawuth juga dipetik sebagai berkata bahawa mungkin terdapat percubaan untuk "memujuk" Justo untuk mengunci mulutnya dan polis telah meletakkan anggotanya bersama warga Switzerland itu apabila dia bertemu pelawat.

Hanya orang-orang tertentu sahaja dibenarkan melawatnya, katanya.

Bulan lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Justo telah menyampaikan maklumat salah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diambilnya dari PetroSaudi, kepada laman web berita Sarawak Report.

Justo telah menafikan dakwaan itu, media Thailand melaporkan.

Lelaki berusia 49 tahun itu telah dibayar bersamaan 140 juta baht (RM15.51 juta) untuk meninggalkan syarikat itu selepas dia didapati telah "bertindak bertentangan dengan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan syarikat."

Khalid berkata permintaan telah dikemukakan pada bulan Jun kepada polis Thailand untuk menyoal siasat Justo.

Polis akan merekodkan kenyataan Justo sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya, katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana