Konspirasi guling PM: Orang dalam sangat tidak bertanggungjawab...

Seandainya benar ada pertemuan ahli politik pembangkang dengan warga Switzerland, Xavier Andre Justo, maka penganalisis politik menyifatkan ia sebagai petanda wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Prof Datuk Dr Zainal Kling berpendapat pertemuan sulit antara beberapa individu dari Malaysia dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) itu dilihat sebagai satu konspirasi politik untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Laporan media sebelum ini menyebut pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat sulit daripadanya untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia berkaitan dengan projek usahasama PetroSaudi dengan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Justo, 49, ditahan oleh polis Thailand di pulau peranginan Koh Samui, pada 22 Jun lepas selepas PetroSaudi membuat laporan terhadapnya atas dakwaan memeras ugut bekas majikannya itu.

“Perkara ini dicetuskan berikutan ada kompromi orang dalaman dengan orang luar…namun peranan orang dalaman inilah yang sangat tidak bertanggungjawab, menjadi pencetus untuk menjatuhkan imej negara dengan pelbagai laporan skandal mengenai 1MDB,” kata Zainal.

Menurutnya pihak luar dilihat mahu memburukkan imej kerajaan Malaysia di mata dunia kerana cemburu dengan kejayaan negara dalam pelbagai bidang.

“Mereka tidak tahan dengan pelbagai pujian mengenai kejayaan Malaysia dan kali ini mahu pula mendedahkan kepada masyarakat umum betapa teruknya kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Zaid Ahmad pula berpendapat selagi tiada bukti dan petunjuk yang jelas, senario itu boleh diandaikan sebagai perang saraf antara parti politik.

“Namun jika benar ada konspirasi, ia mesti disusuli dengan tindakan mendakwa mereka ini atas cubaan menjatuhkan kerajaan yang sah tanpa melalui cara demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada pihak luar kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju negara ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan Bukit Aman menubuhkan pasukan penyiasat untuk dihantar ke Bangkok bagi menyoal siasat bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, berhubung dakwaan lelaki itu mengenai pertemuannya dengan ahli-ahli politik pembangkang dari Malaysia bagi menjual maklumat sulit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bagaimanapun, polis Malaysia masih menunggu panduan daripada Polis Thailand untuk ke negara itu dan menjalankan siasatan ke atas Justo.

“Pasukan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk ke Thailand telah kita tubuhkan dan mereka telah bersiap sedia untuk ke sana (tetapi) sehingga hari ini kami belum dapat kebenaran dari sana ... jadi, saya tunggu mereka di sana selesaikan bahagian mereka terlebih dahulu sebelum pasukan kita ke sana untuk rekodkan keterangan dan jalankan siasatan.

“Kalau boleh, memang kita hendak ke sana secepat mungkin tetapi kita kena faham, menjalankan siasatan membabitkan kes besar seperti ini perlu dilakukan lebih teliti,” katanya.

Pada Khamis lepas, Polis Thailand mendedahkan bahawa ada pemimpin pembangkang bertemu dengan Justo di Singapura untuk membeli maklumat sulit.

Justo, 49, ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) Polis Thailand di Koh Samui pada 22 Jun lepas setelah PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.

Khalid berkata, kes itu mungkin mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan banyak pihak.

Ditanya mengenai pasukan itu, Khalid enggan mendedahkan bilangan pegawai yang terlibat dan siapa yang mengetuainya.

“Berapa ramai dan diketuai oleh siapa, akan saya umumkan kemudian... biarlah dulu,” katanya.

Ditanya sama ada Justo akan diekstradisi ke negara ini, Khalid berkata, setakat ini, pihaknya belum membuat keputusan ke arah itu dan tindakan untuk ekstradisi bergantung kepada laporan siasatan pasukan PDRM itu.

“Biar pasukan kita jalankan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan sama ada nak ekstradisi atau sebaliknya,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana