Dr Yusuf Qardawi perlu nasihati GHB elak perpecahan....Kuasa Punca Pasal Sanggup Lakukan Apa Saja

Isu beberapa pemimpin PAS yang ditewaskan dalam pemilihan parti itu bulan lalu dan kini giat berusaha menubuhkan sebuah parti Islam baru mungkin sudah menjadi perhatian dunia.

Setidak-tidaknya ia tentu sudah sampai ke pengetahuan ulama tersohor,  Dr Yusuf al Qaradawi yang memang sentiasa peka akan perkembangan gerakan Islam seluruh dunia.

Sempena aidil fitri minggu lalu, beliau mengutus salam Syawal 1436 kepada presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seraya meletakkan harapan tinggi kepada kepemimpinan beliau menerajui perjuangan Islam di Malaysia.

Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu percaya Presiden PAS itu akan berhasil “mengemudi bahtera perubahan umat Islam dan rakyat Malaysia secara khususnya.”

“Kita merafakkan doa kepada Allah agar menjadikan hari raya ini membawa berita gembira yang baik serta dilimpahi keberkatan dan dipermudahkan segala urusan dan diberikan kemenangan kepada pihak tuan dan seluruh umat Islam," kata Dr Yusuf dalam ucapan Hari Raya beliau.

Perihal ulama besar itu bertukar salam dan ucapan dengan Haji Hadi itu mungkin didorong oleh hakikat bahawa Hadi adalah naib presiden Kesatuan Ulama Sedunia yang dipimpinnya.

Mungkin Dr Yusuf peka kemelut yang Hadi depani kini 

Mungkin juga perutusan itu adalah isyarat bahawa beliau maklum mehnah atau ujian getir yang sedang dihadapi oleh Haji Hadi yang digerakkan oleh pasukan yang ‘merajuk dan kecewa’ kerana tidak dipilih dalam muktamar lalu.


Apapun Dr Yusuf memang mempunyai jaringan sumber maklumat untuk memahami selok belok dan sifir politik yang melanda gerakan seluruh dunia.

Beliau kini termasuk dalam senarai ulama dunia yang paling dikehendaki oleh beberapa kerajaan kuasa besar dan juga kerajaan Mesir kerana dituduh mencampuri dan menghasut menjatuhkan regim zalim di negara itu.

Kali terakhir Dr Yusuf dikatakan mengambil berat perihal perkembangan politik di Malaysia ialah sebelum pilihan raya umum lalu apabila beliau dilaporkan menulis surat terbuka kepada pemimpin PAS dan DAP.

Kandungan surat berkenaan dikatakan menghuraikan hujah mengapa pada pengamatannya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diangkat menjadi perdana menteri jika Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum itu.

Hubungan Dr Yusuf dan Haji Hadi tetap utuh

Bagaimanapun pengedaran surat berkenaan tidak mengubah pendirian Pakatan Rakyat, khususnya PAS, yang lebih cenderung menunggu hingga PRU berkenaan selesai dan kemenangan benar-benar sudah dicapai.

Pendirian PAS itu menyebabkan modal untuk mengisytiharkan kabinet bayangan Pakatan itu tidak dapat digunakan. Ini mengurangkan keyakinan rakyat terhadap tahap keseriusan pakatan itu mahu menjadi pengganti Umno-Barisan Nasional.

Sebenarnya, pendirian PAS itu tidak sedikitpun menggugah jalinan perhubungan Dr Yusuf dengan Haji Hadi seperti yang cuba digambarkan oleh beberapa pihak tertentu kerana Hadi dikatakan sudah “menyanggah” pendirian Dr Yusuf itu.

Ini menguatkan andaian beberapa pihak bahawa Dr Yusuf sebenarnya tidak pernah menulis surat sedemikian.

Pihak berkenaan menganggap ia dilakar untuk memenuhi strategi PRU 13 demi menonjolkan Anwar calon perdana menteri yang kononnya mendapat restu Dr Yusuf al Qaradawi dan dunia Islam.

Sebaliknya, dalam persidangan Kesatuan Ulama Sedunia yang berlangsung selepas PRU 13, presiden PAS itu pula dilantik untuk menjadi Naib Presiden kepada Dr Yusuf dalam kesatuan sedunia itu.

Rasanya memang wajar Dr Yusuf memberi pandangan dan merangsang kata-kata perjuangan kepada Hadi dalam situasi politik Malaysia hari ini kerana apa yang dihadapi Hadi kini ialah cabaran dari dalam jemaah.

Jangan berimankan orang kafir, pesan Dr Yusuf

Yang nyata Dr Yusuf perlu mengingatkan semua pihak yang mahu melakar sejarah menubuhkan sebuah parti Islam baru dalam konteks politik Malaysia hari ini sebenarnya agak bersilang dengan perintah Allah s.w.t.

“Janganlah orang-orang yang beriman menjadikan orang kafir sebagai pemimpin (auliyah atau wali), melainkan orang-orang beriman.

“Barangsiapa berbuat demikian, nescaya dia tidak akan memperoleh apa-apapun daripada Allah, kecuali kerana (siasah) menjaga diri daripada sesuatu yang kamu takutkan daripada mereka.

“Dan Allah mengingatkan kamu akan diri (seksa)Nya, dan hanya kepada Allah tempat kembali.” (Surah Al Imran ayat 28).

Sebelum nasi menjadi bubur, nasihat Dr Yusuf juga amat diperlukan untuk menghuraikan maksud ayat berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman (setiamu); mereka satu sama lain saling melindungi.

“Barangsiapa di antara kamu menjadikan mereka teman setia, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al Maidah ayat 51).

Simpulan konspirasi musuh Islam mungkin lebih mudah difahami jika dihuraikan oleh Dr Yusuf; lebih-lebih lagi jika diambilkira bahawa golongan yang mahu mengorak langkah yang pasti melemahkan kesatuan dan perpaduan ummah bukanlah muka baru dalam bidang dakwah.

Mungkin juga huraian beliau berhubung mesej Allah dalam mengatur strategi asas pergerakan Islam seperti dalam surah Al Saff akan membangkitkan kesedaran di kalangan golongan ini betapa tindakan mereka boleh merobek perpaduan umat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukan!

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Al-Saff ayat 2-4).

Sudah tentu Dr Yusuf lebih mampu menafsirkan mesej ini dengan lebih bening dan bernas.

Semoga ini akan menyedarkan G-18 betapa mereka kini sedang menyanggah perintah Allah supaya berperang di jalanNya bak bangunan tersusun rapi…

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana