Azmin enggan tunduk kehendak DAP singkirkan PAS di Selangor

Keengganan Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan mengenakan syarat ke atas PAS jika ingin terus berada dalam kerajaan Selangor merupakan sebab mesyuarat PKR-DAP gagal baru-baru ini.
Difahamkan, DAP Selangor dikatakan mendesak menteri besar itu supaya bersetuju dengan perisytiharan mereka bahawa PR sudah tidak lagi wujud dan memaksa kepimpinan PAS Pusat supaya menandatangani persetujuan rasmi mengarahkan PAS Selangor menyokong kerajaan negeri sekali gus mengiktiraf kerangka dasar bersama PR, lapor Malay Mail Online.

Sumber memberitahu, Azmin menolak tuntutan itu kerana beliau enggan menjejaskan perhubungan kerjanya dengan parti Islam berkenaan kerana menteri besar penggal pertama itu masih memerlukan sokongan PAS bagi terus mentadbir kerajaan negeri.

“DAP mahu Azmin menerima secara rasmi PR sudah berkubur dan meletakkan syarat ke atas mana-mana parti berminat menjadi ahli perikatan baru pembangkang itu,” kata sumber.

Seorang pemimpin PKR yang hadir di mesyuarat berkenaan mengesahkan ini dengan berkata, tuntutan DAP menyukarkan kedudukan Azmin dan kerajaan Selangor.

Beliau juga mempersoalkan keperluan DAP menuntut PAS supaya menyatakan secara rasmi ia menyokong kerangka dasar bersama PR yang dikatakan dilanggar oleh parti Islam berkenaan apabila ia memperjuangkan hudud di Kelantan.

“Mengapa mereka beriya-iya dengan syarat itu. Tidak bolehkah mereka teruskan bekerja dengan PAS Selangor seperti sebelum ini sehingga pilihan raya umum akan datang dan biarkan pengundi menentukan siapa mentadbir Selangor,” kata tokoh PKR yang enggan namanya disiarkan.

Seorang lagi pemimpin PKR yang hadir di mesyuarat berkenaan berkata, isu kesetiaan PAS juga tidak wajar berbangkit kerana PAS Selangor baru-baru ini mengesahkan sokongan mereka terhadap pentadbiran Azmin walaupun PR sudah tidak wujud.

“Walaupun apapun berlaku di peringkat nasional, di tahap negeri semuanya berjalan seperti biasa,” tambah beliau.

Selasa lalu, Azmin berkata tidak wujud krisis di Selangor dan mesyuarat di antara PKR-DAP hanya pertemuan biasa bagi membincang beberapa isu yang beliau enggan jelaskan.

Bagaimanapun, ketua DAP Selangor Tony Pua berkata, DAP dan PKR belum lagi mencapai kata sepakat mengenai masa depan kerajaan Selangor dan akan bertemu semula selepas Raya.

Pakatan Rakyat memiliki majoriti di Selangor dengan 43 kerusi, iaitu DAP dan PAS masing-masing dengan 15 manakala PKR 13.

Barisan Nasional, pembangkang di Selangor, mempunyai 12 kerusi dengan bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ahmad yang dipecat oleh PKR adalah satu-satunya wakil Bebas di Selangor.

Bagaimanapun, majoriti PR kini menjadi persoalan apabila PAS meluluskan usul memutuskan perhubungan dengan DAP ketika muktamarnya pada 6 Jun lalu.

Tanpa PAS, PKR dan DAP mempunyai 28 kerusi, iaitu separuh daripada 56 kerusi DUN dan kurang satu kerusi untuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, PAS tetap berpendirian bahawa Pakatan Rakyat masih wujud.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana