Apa cerita sidang akhbar Muhyiddin ?

Banyak spekulasi dan khabar angin yang tersebar sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang akhbar pertama selepas digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri di rumahnya di Damansara Rabu.

Ada yang bawa mulut konon kemungkinan beliau akan buat sesuatu pendedahan ‘meletop’,palu gendang perang dan segala macam lagi.

Kalau nak kira jumlah wartawan dan jurugambar yang hadir untuk dengar apa ceritanya memang cukup ramai hingga Muhyiddin berjenaka kata ini pertama kali beliau dengan orang media sebanyak ini.

Kepanasan isu pengugurannya menang terasa.Kalangan wartawan yang ‘berkampong’ depan rumahnya sejak petang Selasa berebut-rebut ajukan soalan kepadanya dalam sidang akhbar kira-kira 30 minit itu.

Hadir sama di sidang akhbar itu ialah isterinya, Puan Sri Noraini Abdul Rahman.

Apa yang nyata sidang akhbar itu jauh berbeza dengan cakap-cakap yang berlegar mengenai kemungkinan ia bakal memanaskan lagi keadaan.Intipati dari sidang akhbar berkenaan ialah bagi Muhyiddin selepas ini ianya ‘business as usual’ dengan perananya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Pengerusi BN - yakni jawatan yang masih disandangnya.

"Sebagai Timbalan Presiden masalah yang penting bukan saya, masalah yang penting ialah berkaitan masa depan parti dan rakyat," katanya.

"Memang selama ini pun sewaktu menjadi timbalan perdana menteri dan saya adalah juga timbalan presiden parti, saya telah melaksanakan apa yang saya fikir terbaik untuk parti baik dari segi nak mengukuhkan perpaduan dalam parti, perpaduan orang Melayu dan rakyat Malaysia...melaksanakan segala dasar yang patut dilaksanakan parti dan kerajaan supaya rakyat akan terus menyokong kita," katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau memerlukan sedikit masa dalam merancang agenda yang perlu dilaksanakan."Perkara ini (digugurkan daripada kabinet) baru dihadapi, bagilah saya sedikit masa dan ruang untuk saya 'compose' balik kedudukan saya supaya saya bersikap rasional dan bertanggungjawab. Ini penting supaya apa yang akan saya lakukan pada masa akan datang ialah berdasarkan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan setakat ini Timbalan Pengerusi BN," katanya.


Katanya beliau akan terus berfungsi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO,menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO serta mesyuarat-mesyuarat lain.

Beliau memberi jaminan isu yang melanda dirinya tidak akan mempengaruhi peranannya untuk terus berkhidmat untuk parti dan orang Melayu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga berulang kali menegaskan pentingnya perpaduan dalam UMNO dan tidak sekali-kali akan berbuat sesuatu untuk merosakan parti.

Jawapannya yang bersahaja begitu membuatkan ada wartawan cuba jolok soalan provokasi termasuk apakah kemungkinan berdepan hukuman penjara kerana ‘ lawan kerajaan’.

Jarang sekali berlaku begini.Ia telah membuatkan kalangan wartawan lain ‘boo’ terhadap wartawan yang mengemukakan soalan berkenaan hingga keadaan riuh rendah seketika.

Muhyiddin kata beliau akur dengan pengguguran dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.“Tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden adalah untuk membantu Presiden dan ahli-ahli lain. Tanggungjawab saya untuk uruskan parti dan memastikan perjalanan parti lancar.“Saya tidak harus memikirkan apa yang berlaku pada diri saya sebab itu akan ganggu tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden. Masalah yang penting bukan saya, tapi parti. Bagi saya yang penting adalah parti dan masa depan negara,” katanya.

Menurut Muhyiddin lagi beliau akan terus bekerja buat UMNO seiring dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi memastikan parti orang Melayu itu terus kukuh buat negara.

Malah jelasnya, pihak beliau akan kekal berdiri dan mengelakkan dari terlibat dengan sebarang pertentangan pendapat sebagai usaha memelihara UMNO.

“Saya tidak sepatutnya terlibat dengan benda yang ada perbalahan sehingga menimbulkan krisis. Sebab saya tahu, kalau bergaduh kita akan kalah. Oleh sebab itu, kita akan kerja sebaik mungkin dengan semua pihak.“Sebagai Timbalan Presiden parti, saya ada amanah dan tanggungjawab yang harus saya pikul dengan sebaik-baiknya, jika saya gagal laksanakan tugas itu bermakna saya pecah amanah yang diberikan.

Walaupun digugurkan dalam barisan Kabinet, sebagai seorang Islam saya terima dan tidak boleh menolak. Saya terima dengan hati terbuka dan tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku terhadap saya,” tambahnya.

Mengenai isu 1MDB,Muhyiddin kata beliau yakin isu ini dapat diselesaikan.”Banyak perkara besar di Malaysia ini dapat diselesaikan,”katanya.

Cuma beliau berharap pihak bertanggoingjawab dapat selesaikan perkara itu seberapa segera yang boleh.”Kalau ia mengambil masa terlalu lama nanti rakyat akan persoalkan kewibawaan pihak-pihak yang bertanggongjawab,”katanya.

Ditanya mengapa masih kata tidak faham isu 1MDB sedangkan fact sheet mengenainya sudah diberikan kepada semua angota kabinet,Muhyiddin kata fact sheet itu agak ringkas dan tidak komprehensif untuk perhatian 5 ke 10 minit sahaja.

”Itu tidak memadai dengan isu sebesar itu,”katanya.

Mengenai kemungkinan beliau tidak akan dijemput merasmikan mesyuarat bahagian UMNO di seluruh negara, Muhyiddin berkata ia merupakan hak bahagian tersebut."

Saya sedar mungkin di peringkat awal, banyak orang masih terkejut, saya fikir bila keadaan sudah semakin stabil, mereka akan melihat sama ada saya perlu jalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dengan berkesan," katanya.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu bahagian UMNO yang memerlukan pertolongannya khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana UMNO Johor telah menyatakan tidak akan menyekatnya menjalankan tugas parti di negeri itu.

Muhyiddin juga berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO seperti biasa serta tidak merasa bimbang dan terhalang."Ahli MT sudah berpengalaman dan tahu tanggungjawab, mereka bersikap adil dan terbuka dan memberikan ruang pendapat. Saya tidak fikir perkara luar biasa akan berlaku kerana mesyuarat MT biasa saya hadiri," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana