Amaran Dr Harun Din.....PAS mahu putus hubungan jika PKR sertai GHB

SHAH ALAM: PAS bersedia meninggalkan PKR dan mengikut haluan sendiri sekiranya parti berkenaan berhasrat menyertai DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) bagi membentuk gabungan pembangkang baharu, demikian tegas Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Menurut ulamak berkenaan, PAS tidak akan membantah hasrat PKR apatah lagi setelah melihat kepada pendirian yang disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah menyokong GHB dan ingin memutuskan hubungan dengan parti Islam itu.

"Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya pakatan pembangkang.

"Kalau mereka hendak menubuhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya dipetik sebuah akhbar hari ini.

Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini mengiktiraf penubuhan GHB ke arah pembentukan pakatan pembangkang baharu, yang akan memainkan peranan selari dengan NGO pro-pembangkang yang lain.

"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti Bersih, Abim, Ikram dan GHB yang baharu sahaja diwujudkan.

"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada rakyat," petik kata Anwar dalam kenyataannya, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Haron berkata beliau yakin PAS akan tetap berdiri teguh di atas landasan perjuangan menegakkan Islam walaupun kumpulan serpihannya akan menubuhkan parti baharu melalui wadah GHB.

"Allah memberi perbandingan untuk mengetahui siapa yang hak dan siapa yang batil, ada pun buih akan pergi tanpa kekuatan dan hilang tersisih daripada wujud dan apa yang bermanfaat kepada manusia, maka akan kekal teguh sepanjang zaman," ujarnya sambil menambah keyakinan itu bersandarkan kepada firman Allah SWT seperti yang terkandung dalam surah Al-Ra’d.

Tambahnya, PAS pernah menghadapi situasi serupa sebelum ini apabila kumpulan serpihan bertindak meningglkan parti Islam itu untuk menubuhkan wadah lain, merujuk kepada penubuhan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

"Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya," ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana