Wakil PaSma....."Ini Bukan Kali Pertama Presiden PAS Dicabar," - Ahmad Awang

PETALING JAYA: Bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang mengesahkan pencalonannya untuk menentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu Jun ini.

Pemimpin berusia 79 tahun itu telah secara rasminya mengemukakan kertas pencalonannya di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pagi Khamis.

Ahmad Awang berkata yang PAS memerlukan perubahan kepimpinan selepas ia dipimpin oleh Hadi selama lebih satu dekad.

Katanya lagi, PAS adalah sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi dan kesediaannya untuk bertanding jawatan presiden adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan parti itu.

Menurutnya, mencabar jawatan presiden bukanlah sebenarnya satu isu yang besar kerana sebelum ini pun penyandang jawatan presiden, Dr Burhanuddin Al Helmy dicabar oleh Prof Zulkifli Muhammad pada Muktamar Agung PAS yang kelima pada tahun 1960-an.

Beliau juga pernah menyandang jawatan naib presiden PAS dan anggota Majlis Syura PAS.

Selain beliau turut menerima pencalonan untuk kerusi presiden ialah Datuk Husam Musa. Bagaimanapun pemimpin dari Kelantan itu masih belum membuat keputusan sama ada untuk menerima pencalonan itu.

Jika Ahmad Awang tidak menarik ini, bermakna inilah juga buat pertama kalinya Hadi akan ditentang sepanjang 13 tahun beliau memimpin parti itu.

PROFIL AHMAD AWANG:

Dilahirkan pada tahun 1936, sebagai anak jati Semanggol, Perak, Ahmad Awang mendapat pendidikan awal selama empat tahun di sekolah melayu sebelum memulakan pengajian agama di Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff, Gunung Semanggol bermula dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat menengah atas (Thanawi Rabi’).

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Malaya sehingga tamat sebelum menyambung pelajaran dalam bidang perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana di samping Diploma Pendidikan dari universiti berkenaan.

Selepas tamat belajar beliau memulakan perkhidmatan dalam bidang pendidikan sebagai guru agama di Sekolah Menengah St David High School, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1963 dengan Biasiswa Kementerian Pelajaran.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, beliau kembali bertugas menjadi guru semula di Sekolah Aminuddin Baki, Kg Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebagai pegawai perancang agama dewasa. Kemudian bertugas sebagai pensyarah pendidikan Islam di Universti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Apabila ditubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1974, Ahmad Awang dilantik sebagai pengarah dakwah dan latihan, selepas itu ditukarkan ke Kementerian Pelajaran pada 1980 dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM, yang kemudiannya dikenali sebagai JAKIM, sebagai pengarah dakwah dan latihan dan akhir sekali sebagai pengarah Pusat Penyelidikan Islam sehingga bersara pada 1991.

Penglibatannya dalam bidang politik bermula pada tahun 1984 apabila menyertai PAS tetapi hanya bergerak aktif setelah menjadi ahli jawatankuasa PAS pusat dan menyandang jawatan timbalan pesuruhjaya PAS Perak pada tahun 1999.

Beliau kemudian bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum ke-10 dan kemudian sekali lagi dalam PRU ke-11.

Ahmad Awang kemudian memenangi kerusi naib presiden dan dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perak. Beliau menyandang jawatan itu selama empat penggal.

Beliau juga pernah menerajui pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Lain-lain pertubuhan yang pernah dipimpinnya adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Ahmad Awang turut pernah menjadi pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, timbalan pengerusi Panel Syariah Bank RHB dan anggota panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana