TIGA KERETA POLIS DIROSAKKAN PENYOKONG POLITIK

Permatang Pauh, 7 Mei - Tiga buah kereta polis dirosakkan dalam kejadian provokasi dipercayai oleh penyokong sebuah parti politik, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indera Muda di sini malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Dato’ Abdul Rahim Hanafi berkata kejadian itu berlaku ketika Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sepasukan polis sedang menjalankan pemeriksaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini pada pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, hari ini.

"Tindakan provokasi itu sepatutnya tidak berlaku kerana semua pihak sudah maklum dengan SOP (prosedur operasi standard) pihak polis yang memang menjalankan pemeriksaan di setiap pusat mengundi sebelum hari pengundian.

"Semasa kejadian itu, kumpulan Unit Pemusnah Bom PDRM sedang menjalankan tugas 'flushing' dan memeriksa serta memastikan pusat mengundi berkenaan selamat digunakan.

"Mereka (penyokong parti itu) bertindak mengepung kawasan berkenaan dan menutup pagar sekolah serta merosakkan kereta polis sehingga cermin pecah dan kenderaan kemek," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata ketika kejadian, tiada sesiapa mengalami kecederaan kerana polis dapat mengawal keadaan dengan berbincang bersama beberapa pemimpin parti politik berkenaan, yang berada di lokasi kejadian.

Katanya polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Kanun Keseksaan kerana pertama menghalang tugas penjawat awam, merusuh dan kerana melakukan khianat.

"Selain SK Bukit Indera Muda, dua lagi pusat mengundi turut diganggu kumpulan itu dalam kejadian semalam namun polis berjaya mengawal keadaan," katanya.

Beliau meminta para penyokong parti tidak menimbulkan sebarang provokasi kepada polis kerana pihaknya menjalankan tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam di kawasan tempat mengundi.

"Penyokong parti berkenaan menimbulkan provokasi supaya pihak polis bertindak ke atas mereka bagi membolehkan keadaan menjadi huru hara. Bagaimanapun, kami mengambil pendekatan berbincang dalam usaha meredakan keadaan," katanya.

Dalam kejadian malam tadi, sekumpulan anggota Unit Pemusnah Bom PDRM dikepung sekurang-kurangnya 300 penyokong sebuah parti politik di hadapan pagar sekolah berkenaan.

Difahamkan, para penyokong berkenaan bertindak menghalang laluan keluar sekolah itu dengan meletakkan kereta mereka di hadapan pagar menyebabkan kesemua anggota PDRM terperangkap di dalam sekolah.

Kejadian dipercayai berpunca apabila sekumpulan penyokong itu bertindak mengganggu tugas PDRM di situ dengan mendakwa sedang menghantar kertas undi tipu sehingga berlaku salah faham dan kekasaran, namun ia dapat dikawal polis beberapa jam kemudian.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata sebanyak 112 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya diterima sejak hari penamaan calon pada 25 April lepas hingga awal hari ini dan polis membuka 12 kertas siasatan.

"Sehingga pukul 10.30 pagi, proses pengundian berjalan lancar dan saya juga telah mengarahkan anggota bertugas untuk menjarakkan kedudukan penyokong parti (yang bertanding) di kawasan pusat mengundi bagi mengelak berlaku provokasi antara mereka," katanya.

- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana