Pesanan Kepada Tabung Haji, Pertahankan Tanah Dengan Apa Cara Sekalipun

Aduhai….banyaknya masa mereka ini untuk menganjurkan perhimpunan ini. Apa faedah yang akan diperolehi, tidakkah ia hanya membuang masa?

Penulis tidak tahu bagaimana sambutan himpunan ini esok tetapi di kalangan mereka itu, cuba congak kembali, berapa ramai yang sudah mendapat manfaat daripada subsidi yang diberikan Tabung Haji untuk mereka ke tanah suci.

Mampukah mereka mengeluarkan sendiri wang jika tidak disubsidi sebanyak RM7,000 oleh Tabung Haji? Mampukah mereka merasa untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, jangan lupa bahawa ramai lagi yang menunggu peluang seperti itu, yang mungkin entah bila dapat merasainya.

Lebih menyedihkan ada pula yang mahu mengeluarkan simpanan dalam Tabung Haji. Tetapi dalam hal ini, penulis mengalu-alukan kerana jika diikutkan giliran penulis ke Mekah adalah pada 2035, justeru kalau ramai yang keluarkan simpanan mereka, moga-moga cepat sikit penulis ke tanah suci nanti.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa penyimpan atau pencarum Tabung Haji sebenarnya hanya pelanggan sahaja dan mereka bukan pemilik agensi kerajaan itu.

Sebagai penyimpan, cukup sekadar jaminan bahawa wang anda selamat dan terjamin. Tetapi nampaknya jaminan itu belum cukup untuk memberikan keyakinan kepada pencarum ini.

Jika anak syarikat Tabung Haji membeli tanah yang heboh diperkatakan iaitu TRX, tidak sepatutnya mereka melatah. Kerana hasil keuntungan dari pembelian itulah yang akan menanggung subsidi mereka ke tanah suci.

Mungkin kerana mengetahui tanah itu dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan tiba-tiba ramai yang melatah, mengamuk tak tentu arah hingga mengugut mahu mengeluarkan wang dari Tabung Haji.

Tetapi sebenarnya sehingga kini difahamkan tiada pencarum pun yang mengeluarkan terus wang mereka dari Tabung Haji hanya disebabkan oleh 1MDB.

Jika ada pun hanyalah penyimpan yang menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menggandakan wang mereka, bukan sebagai simpanan ke tanah suci.

Tetapi isu pembelian tanah TRX itu berlaku akibat ketidakfahaman mengenai perkara sebenar. Tanah itu amat menguntungkan, terletak di tengah ibu kota dan jika ia dibeli oleh sebuah syarikat yang dimiliki umat Islam, ia merupakan sesuatu yang membanggakan.

Namun disebabkan oleh kekecohan ramai ini, maka Tabung Haji terpaksa membuat keputusan untuk menjual semula tanah itu.

Kepada Tabung Haji, penulis merayu janganlah dijual dulu tanah itu, biarkan dulu selama beberapa tahun. Bukan mudah untuk mendapatkannya.

Bersabarlah dengan cemuhan itu kerana suatu masa nanti mereka akan faham. Ketika hati sedang panas, penerangan panjang lebar sekali pun tidak mampu menyejukkannya. Tunggulah dulu dan dengan apa cara sekali pun, kekalkan tanah berkenaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana