Perpisahan akan bawa "rahmat" tersendiri jika Pakatan terpaksa berpecah, kata Haron Din

ANGI:  Mursyidul Am PAS Datuk Harun Din akur Pakatan Rakyat mungkin terpaksa berpecah sekiranya perbalahan parti itu dengan PKR dan DAP tidak dapat diselesaikan, namun yakin "Allah akan membantu" tiga parti itu  "memulakan kehidupan baru," jika berlaku keadaan sedemikian.

Beliau mengibaratkan tiga parti komponen Pakatan Rakyat itu sebagai berkongsi matlamat politik yang sama namun berlainan pendekatan dalam menguruskan kerjasama di antara mereka.

"Sama juga dengan cerita lain sebagai contoh orang berkahwin memanglah tujuannya sama-sama mencari kebahagian, kongsi hidup, tolong-menolong untuk capai matlamat.

"Tapi rupanya tidk sama haluan yang mereka tuju, suami ke kiri dan isteri ke kanan, seorang kata ya dan seorang kata tidak, seorang kata putih seorang kata kelabu.

"Tak pernah yang sama dan sebagainya akhirnya menimbulkan masalah kemudian melahirkan kekecewaan, rasa tidak puashati, tidak seronok dan tidak bahagia," katanya.

Tambahnya, dalam mana-mana kerjasama sekiranya konflik yang berlaku tidak boleh diselesaikan dengan baik maka jalan keluar adalah memutuskan hubungan berkenaan.

"Maka apa jalan keluar? Jalan keluar sama ada mereka boleh damai, lupakan krisis, mula hidup baru dan capai matlamat.

"Kalau tak boleh juga dan sebagainya maka al-Quran telah menyebutkan bahawa suami isteri yang tak boleh baik, tak bercakap, tak makan sama, tidur sama, menanggung seksa yang macam-macam kalau tak boleh baiki dah Allah kata mereka berpisahlah dengan baik.

"Allah akan tolongkan mereka itu memulakan hidup baru pula yang boleh mencari kebahagian," katanya.

Haron berkata demikian ketika PAS di lihat semakin dipinggirkan oleh DAP dand PKR yang membantah tindakan kerajaan negeri Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

Pimpinan DAP dan PKR membidas presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka, menuduh beliau mungkir janji dan berniat untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno.

DAP sudah pun membekukan segala bentuk kerjasama dengan Hadi, sekali gus membayangkan parti itu tidak menolak kepimpinan ulama di dalam PAS.

Hadi menafikan segala tuduhan itu dan menegaskan dua parti berkenaan tidak menghargai kerjasama PAS mengikut konsep tahaluf siyasi.

Haron menegaskan PKR dan DAP harus ikhlas dalam menyelesaikan perbalahannya dengan PAS demi menjamin hasrat Pakatan Rakyat menawan Putrajaya tidak tersasar.

Beliau akur gandingan tiga parti itu di bawah payung Pakatan Rakyat banyak membawa keuntungan politik kepada tiga parti berkenaan, justeru keperluan untuk menyelesaikan pertikaian sesama mereka.

"Yang nyata bila kita mengadakan pakatan yang kita panggil sebagai Pakatan Rakyat kita dapati hasil daripada pakatan itu ada lonjakan dalam hasil pilihan raya.

Justeru pengamal perubatan Islam menyifatkan sebarang konflik yang berlaku dalam kerjasama itu perlu diselesaikan serta ditangani dengan bijak.

Namun Haron menegaskan kadang-kadang 'perpisahan' merupakan rahmat untuk meneruskan usaha mencapai matlamat.

"Jadi perpisahan itu kadang-kadang merupakan rahmat, tak berpisah menanggung seksa tak capai matlamat...berpisah boleh (kita) bina hidup baru.

"Kita ambil contoh dalam pergaulan pula, berkongsi dengan kawan dalam sebuah syarikat kemudian Rakan kongsi  tak sesuai... main kayu tiga, tidak ikhlas dan sebagainya.

"Akhirnya kena pecah "partnership", sama dalam politik," katanya.

Namun katanya, PAS sentiasa berusaha untuk memastikan konflik yang berlaku ditangani dan diselesaikan dengan baik tanpa perlu kepada perpecahan Pakatan.

"Selagi boleh kita betulkan kita betulkan, tak boleh juga memang realiti kena terima ikutlah jalan masing-masing.

"Tapi tak guna bergaduh, kita berjumpa dengan elok dan berakhir dengan elok, insya-Allah," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana