Penyebar berita palsu hubungan Najib-Muhyiddin retak tentu kecewa....

Jumlah wartawan dan jurugambar yang hadir untuk membuat liputan sidang akhbar Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang Isnin memang ramai.Jumlahnya jauh melebihi dari kebiasaan.

Bilik sidang akhbar di lobi Menara Dato Onn,Pusat Dagangan Dunia Putra penuh sesak.

Minat pihak media pada sidang akhbar kali ini memang lain macam.Ini kerana berbagai cerita dan khabar angin yang berlegar sehari dua ini.

Ada yang bawa mulut kononnya kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO akan berperang sakan dalam mesyuarat itu.

Lebih hangat konon ada antara mereka yang akan desak Najib berundur secara baik-baik dari jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri kerana sudah tidak tahan dengan kontroversi 1MDB dan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang mendebarkan itu berlangsung dari jam 3.30 petang hingga hampir jam 7 petang.

Kesuntukan masa menjelang waktu Maghrib ini membuatkan Najib tidak dapat adakan sidang akhbar panjang seperti selalu.Ia berlangsung sekitar 6 minit sahaja.

Beliau dengan pimpinan UMNO perlu menghadiri majlis ulangtahun ke 69 UMNO di Dewan Merdeka PWTC selepas solat,bacaan Yasin,tahlil dan doa kesyukuran.

Semua wartawan dan jurugambar memerhati ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin melangkah masuk ke dalam bilik sidang media.Beliau kelihatan relaks dan tersenyum pada gelagat wartawan dan jurugambar.

Kemudian Najib yang lambat sikit kerana membereskan beberapa urusan masuk ke situ.

Apapun mereka yang mengharapkan berita panas ' tongkang' UMNO pecah nak karam segala macam pasti kecewa mendengar kata-kata Perdana Menteri sepanjang sidang akhbar itu.
"Kalau ada berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini...kecewalah mereka sebarkan berita-berita palsu itu," itu antara kata-kata Presiden UMNO pada sidang akhbar yang ditunggu-tunggu itu.

Najib menyatakan demikian ketika merujuk kepada hal berkaitan Muhyiddin yang disebar kononnya sudah berlaga angin dengan beliau dalam isu 1MDB.

Beliau menolak anggapan kononnya mereka bertelingkah.

Menurut Najib beliau sudah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Muhyiddin bagi mempastikan tiada pihak cuba untuk pecah belah pimpinan UMNO serta mereka berdua.

"Saya amat menghargai sumbangan idea yang bernas yang diberikan oleh Timbalan Presiden dalam mesyuarat (Majlis Tertinggi ) tadi.

"Saya telah berjumpa dari hati ke hati dengan beliau pada pagi tadi dan saya juga beri pengakuan bahawa kita akan selalu bincang dari hati ke hati untuk pastikan bahawa kepimpinan UMNO dari peringkat pucuk pimpinan berada dalam keadaan yang selesa dan kukuh supaya tiada pihak yang cuba memecahbelahkan kita terutama sekali saya dengan Timbalan Presiden.

"Jadi kalau ada apa-apa berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini, maka kecewalah mereka yang menyebar berita-berita palsu tersebut,"katanya.

Sebelum menyatakan demikian Najib memberitahu semua ahli Majlis Tertinggi UMNO melahirkan sokongan padu kepada beliau selaku Presiden dan Muhyiddin selaku Timbalan.

Kata Najib,"Majlis Tertinggi mahu semua pemimpin tertinggi UMNO bersatu sebagai satu pasukan dalam menangani segala cabaran dan mengambil langkah-langkah yang positif untuk mengukuhkan lagi kedudukan UMNO dan Barisan Nasional di sisi rakyat.

"Majlis Tertinggi juga mahu kalau ada isu-isu yang berbangkit mereka diberi peluang dan ruang untuk menyumbang idea yang bernas dan rancangan yang positif supaya isu yang berbangkit boleh ditangani dan dicari penyelesaian sebaik-baiknya.

Perdana Menteri berkata mereka turut berbincang tentang isu Tabung Haji.

"Bagi pihak kerajaan, kami berpendapat rakyat tak perlu bimbang kerana semua deposit dalam Tabung Haji digerenti oleh kerajaan.

"Jadi tak berbangkit kalau ada mana-mana pihak menghasut untuk mereka untuk mengeluarkan deposit mereka di Tabung Haji. MT telah beri pandangan pada keputusan-keputusan yang telah diambil.

Mengenai 1MDB, katanya Majlis Tertinggi mahu siasatan oleh Ketua Audit Negara perlulah dipercepatkan supaya rakyat tahu akan hasil siasatan yang telah dibuat.Ia kemudian akan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Majlis Tertinggi juga memberi sokongan kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah 1MDB.

Menurut Najib beberapa ahli Majlis Tertinggi telah menawarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membantu menyelesaikan masalah 1MDB.

Sementara itu ketika berucap pada majlis ulangtahun UMNO ke 69 Najib menyifatkan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung petang tadi sebagai yang terbaik pernah diadakan.

Katanya, walaupun pelbagai khabar angin dan adu domba mengenai hubungan dan perpaduan antara pimpinan parti itu, namun Ahli Majlis Tertinggi telah mempamerkan kematangan dengan memberi sokongan terhadap Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

"Ini juga harapan saya, semoga kalau kita mempunyai barisan pemimpin yang serasi, percaya antara satu sama lain, ini akan menjadi isyarat jelas bahawa kalau di atas kukuh, di bawah pun akan padu dalam ikatan sempurna," katanya.

Najib berkata sokongan kuat anggota parti kepada pemimpin masih relevan pada hari ini ketika parti berdepan persekitaran lebih mencabar dan menguji perjuangan parti.

"Umpamanya, penyebaran maklumat termasuk fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan online memperlihatkan persekitaran baharu, persepsi yang lebih daripada realiti," katanya.

Menurutnya, berdasarkan situasi itu UMNO perlu menyesuaikan diri untuk survival masa kini dan akan datang.

Perdana Menteri melaungkan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat yang menjadi dorongan kepadanya selama 40 tahun mengabdikan diri dalam politik.

Katanya beliau akan meneruskan semua dasar yang dilaksana bagi membantu rakyat walaupun ada antaranya disifatkan tidak popular.

Namun beliau yakin ia akan memberi kesan positif kepada rakyat dan negara pada jangka panjang.

"Bila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah memilih slogan '1Malaysia - Rakyat Didahulukan (Pencapaian Diutamakan) dan saya mesti mengingatkan diri saya bahawa rakyat mesti didahulukan.

"Apabila rakyat senang dengan parti kita dan kerajaan, apabila program kita sampai kepada rakyat ... dalam apa jua keadaan, perjuangan saya adalah untuk mereka yang mahukan Malaysia maju dan adil," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana