Mengintai sebab Pandikar Amin kecewa...

Cerita Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ‘merajuk’ dan mahu meletak jawatan mula berlegar beberapa hari selepas mesyuarat pertama penggal ke tiga Parlimen ke 13, bermula 9 Mac lalu.
Kisah itu bukan rahsia lagi kepada pegawai dan kakitangan parlimen, ahli-ahli parlimen dan petugas media yang membuat liputan sidang Dewan Rakyat.

Cerita itu semakin heboh apabila Pandikar Amin menghilangkan diri dua hari selepas majlis perasmian sidang Dewan oleh Yang di Pertuan Agong.

Namun, ketiadaan beliau, persidangan berjalan lancar dengan timbalannya Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Ismail Mohamad Said mengendalikannya termasuk ketika persidangan berlarutan hingga awal pagi.

Ada macam-macam cerita kenapa Pandikar Amin mahu meletak jawatan sebaik sahaja pejabat Speaker berpindah ke pejabat baru di bangunan sementara Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pelbagai spekulasi timbul, bagaimanapun, ia lebih kepada cerita kononnya beliau ‘merajuk’ hingga mahu melepaskan jawatan yang disandang sejak 2008 menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Bagaimanapun, kemunculan beliau mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat selepas hampir tiga minggu ‘menghilangkan’ diri menarik perhatian ahli-ahli parlimen dan petugas di Parlimen termasuk media pada hari terakhir persidangan, 9 April lalu.

Pandikar Amin dalam penjelasannya berkata, beliau tidak pergi ke mana-mana dan menasihatkan jangan dengar spekulasi berhubung dirinya.

“Saya menyamar dan berjalan-jalan di Chow Kit, ke Masjid India ketika kamu (ahli-ahli parlimen) berbahas. Saya tanya keadaan di luar,” katanya disambut ketawa ahli-ahli parlimen.

Beliau seperti biasa menasihatkan ahli-ahli parlimen berbahas dengan baik dan menghormati peraturan mesyuarat.

“Saya akan duduk dan perhatian Yang Berhormat berbahas,” kata Pandikar Amin yang terkenal dengan ketegasannya mengendalikan sidang Dewan Rakyat.

Kemunculan itu melenyapkan cakap-cakap beliau mahu melepaskan jawatan sehinggalah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan perkara itu dalam majlisnya di Ipoh, pada Sabtu.

Sebelum ini, ada juga media pro pembangkang membangkitkan soalan sama kepada Pandikar Amin ketika Persidangan Speaker-speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri minggu lalu.

Pandikar Amin yang diketahui amat tegas, namun kerap juga berseloroh dikatakan menjawab soalan tersebut dengan memberitahu, “beliau hendak buat kerja apa, jika letak jawatan speaker.”

Apapun, beliau sudah menafikan dakwaan Mahathir malah menegaskan akan bertugas seperti biasa pada mesyuarat kedua, penggal ke tiga yang bermula Isnin (18 Mei).

Beliau akan mempengerusikan sidang Dewan untuk majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Rompin Datuk Hasan Ariffin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismai.

Dalam kenyataannya, Pandikar Amin berkata, beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Rancangan Malaysia ke 11 pada Khamis ini.

Paling menarik, Pandikar Amin mengakui bertemu Dr Mahathir berbincang isu-isu politik semasa sebelum ini.

Malah, beliau mengakui kecewa dengan Parlimen sekarang apabila bersidang dengan banyak perkara remeh dibangkitkan.

“Saya ada kekecewaan. Itu yang saya cetuskan kepada Tun (Dr. Mahathir). Tetapi semalam saya sudah buat kenyataan media, saya tak akan letak jawatan,” katanya di Kota Belud, Sabah, Ahad.

Bagi sesiapa yang sering berada di Parlimen ketika Dewan bersidang, kenyataan Pandikar Amin amat benar sekali.

Kerap kali ahli-ahli parlimen terutama pembangkang membawa isu atau usul yang sama.

Selain itu, cara perbahasan yang tidak mengikut peraturan mesyuarat juga amat mengecewakan Pandikar Amin dan dua timbalannya.

Walaupun kerap kali ditegur dan diingatkan, perkara sama berulang dan berulang.

Pernah beliau bertegas mengatakan, darahnya ‘akan naik’ dengan sikap dan gelagat ahli-ahli parlimen ini tetapi teguran dan peringatannya tidak berkesan.

Sebab itu, tidak mustahil Pandikar Amin boleh merajuk dan kecewa dengan sikap ahli-ahli parlimen yang tidak menghormati peraturan Dewan.

Malah, ada masa Dewan Rakyat jadi macam sarkas atau pasar borong dengan ahli-ahli parlimen bertikam lidah dan melakukan perbuatan tidak senonoh seperti bermain roket kertas dan membawa poster bantah GST.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana