Mengapa Mat Sabu sempitkan takrif ulama?

Berapa ramai pemimpin PAS yang mempunyai ilmu, akhlak dan amalan seperti Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Almarhum Ustaz Fahdil Nor sebelum boleh diiktiraf sebagai ulama?

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberitahu sebuah portal berita bahawa seseorang ulama itu haruslah dihormati di atas akhlak dan perangainya bukan latar belakang pengajian mereka.

“Kenapa Tok Guru Nik Aziz dihormati? Kerana akhlaknya. Di antaranya bila dia mendapat kuasa dia hidup begitu sederhana. Bahkan dia boleh menolak hak-hak yang diberi kepadanya.

“Elaun keraian, duduk rumah menteri besar, hidup sederhana dan ertinya dibuat apa yang dia cakap,” kata pemimpin PAS yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Presidennya dalam muktamar Jun depan.

Dalam bahasa ringkas, apa yang dimaksudkan oleh Mat Sabu ialah, prasyarat diiktiraf sebagai ulama dalam PAS ialah seseorang itu harus zuhud – sederhana dalam segala aspek kehidupannya.

Mat Sabu memberi definisi demikian mungkin untuk mencerahkan lagi takrif ulama atau di segi lazim politiknya kini digelar “geng ustaz” agar mudah ahli-ahli PAS membuat pemilihan dalam muktamar kira-kira dua minggu lagi.

Usaha pencerahan ini dikira perlu kerana mungkin Mat Sabu tidak mahu para pemilih dalam muktamar kelak terkesima dengan perkumpulan atau komplot mereka yang cuba berpaut pada imej ulama sahaja.

“Inilah yang kita minta siapa yang hendak jadi ulama mesti berakhlak seperti itu (Nik Aziz) bukan berdasarkan kelulusan.

“Kamu balik dari pengajian agama maka hendak diiktiraf  sebagai ulama.  Tak kena. Sebab ulama itu datang dari ilmu dia, daripada amal dia dan akhlak dia. Ini yang perlu ditonjolkan bukan soal latar belakang pengajian,” tegas beliau.

Rasional takrif ini ditegaskan oleh Mat Sabu memang mudah difahami kerana dalam pemilihan saf pimpinan baru dalam Muktamar PAS itu kelak beliau dan kumpulan pemimpin bukan ulama akan berhadapan tantangan “geng ustaz”.

Yang agak mendebarkan ialah, jumlah pencalonan yang diperolehi oleh kumpulan yang dikaitkan dengan ulama ini jauh lebih tinggi daripada yang diperolehi pemimpin-pemimpin bukan ulama seperti Mat Sabu.

Misalnya, calon bukan ulama seperti Datuk Husam Musa mendapat sejumlah 8 pencalonan sahaja berbanding Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang menerima sokongan 99 PAS kawasan untuk mengekalkan jawatan presiden.

Malah bekas Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang yang dikaitkan dengan kumpulan bukan ulama hanya menerima lima pencalonan.

Sudah pasti keadaan ini menggelisahkan Mat Sabu yang akan mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden dengan memungut 12 pencalonan berbanding pencabar dari Geng Ustaz, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperolehi 94 pencalonan!

Perangkaan pencalonan ini adalah berdasarkan keputusan yang dibuat oleh 134 daripada 191 kawasan PAS yang selesai mesyuarat agung mereka.

Hakikatnya ialah, majoriti ahli dan penyokong-penyokong PAS adalah pencinta agama, ilmu dan ulama. Jika perwakilan kagum dengan kumpulan ulama, maka peluang golongan profesional terpilih menjadi pemimpin tentulah tipis.

Namun yang menjadi persoalan ialah apakah pada realitinya hari ini mereka yang berkelulusan pengajian agama tidak ramai yang berakhlak, beramal dan  zuhud seperti Almarhum Nik Aziz dan Almarhum Fadhil Nor?

Bukankah ketokohan Haji Hadi, Datuk Haron Din, Ustaz Nasrudin Hasan, Nik Abduh Nik Aziz dan ramai baik di segi ilmu dan amalan hidup mereka memang sesuai dikalungkan gelaran ulama?

Justeru perlukah Mat Sabu menggariskan apakah ciri-ciri dan takrif ulama dalam keadaan menghadapi muktamar di mana ulama dan profesional dikatakan sedang bersaing sengit untuk menjadi pemimpin?

Mengapa Mat Sabu lebih cenderung melakarkan sempadan dan mengenakan prasyarat menjadi ulama tetapi tidak melebarkan definisi ulama itu meliputi pakar ilmu bukan agama?

Apakah tiada atau terlalu kurang pakar ilmu dalam bidang bukan agama yang baik budi pekerti, zuhud dan baik amalan agamanya yang juga patut disanjung sebagai ulama?

Seharusnya mereka yang diasuh dengan disiplin ilmu selain pengajian agama tetapi baik akhlak dan kuat amalan agamanya juga patut dikira ulama.

Jika Mat sabu mengambil pendekatan ini sudah tentu beliau dilihat lebih adil kepada semua pemimpin dan bakal pemimpin PAS supaya pemilihan tahun ini dan tahun-tahun akan datang lebih adil dan isu “ulama dan bukan ulama” ini boleh dipadamkan.

Jika demikian tentulah khalayak umum tidak memandang serong usaha Mat Sabu hendak mengikat takrif ulama sahaja. Adakah Mat Sabu melihat persaingan kali ini agak kurang adil kepada bukan calon-calon bukan ulama?

Atau Mat Sabu seolah-olah bimbang jika calon-calon yang bersaing kali ini tidak termasuk kategori ulama, maka mereka tiada harapan menjadi pemimpin PAS?

PAS kini dilanda krisis mahu terus tekal dengan perjuangan Islam seperti hudud dan boleh terus bertahaluf siyasi dengan parti yang menentang pelaksanaan hukum Islam seperti PKR dan DAP.

Apakah Mat Sabu menjangka mereka yang tidak termasuk dalam kumpulan ustaz akan dihukum oleh para perwakilan sebagai luntur dan tidak kuat azam memperjuangkan politik Islam?

Atau, adakah beliau meletakkan kayu ukur pada pengertian ulama itu terlalu tinggi dan menyaingi aura almarhum Nik Aziz dan almarhum Fadhil Nor supaya ia akan mengurangkan sedikit penghormatan pada ulama sedia ada?

Usahlah risau pengikut dan penyokong Mat Sabu. Bukankah teras perjuangan PAS ialah mendaulatkan kepimpinan ulama?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana