Mak Oiiii....Kuliah Lim Kit Siang mengenai Hudud di Kota Bharu

Selalunya kita dengar PAS memanggil tokoh-tokoh agama untuk memberi kuliah di Kelantan. Cuma pada Ahad malam, yang dijemput untuk beri 'kuliah' adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengambil peluang sepenuhnya di pentas yang disediakan oleh PAS Kota Bharu di Padang Perdana di sini untuk 'mengajar' pemimpin serta kira-kira 1,000 penyokong setia sekutu mereka, PAS tentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Biarpun hudud menjadi dasar perjuangan PAS sejak sekian lama, Kit Siang tanpa rasa kekok 'menyangah' pelaksanaan undang-undang Islam di negeri ini walaupun Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu turut berada di atas pentas bersamanya.

Menurut Kit Siang, pelaksanaan hukum tersebut perlu difikir dengan lebih mendalam kerana negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk selain tidak bersesuaian dengan Perlembagaan Malaysia.

“Baru-baru ini, saya dengan empat Ahli Parlimen DAP telah pergi ke Jordan dan Mesir untuk berjumpa dan bertukar fikiran dengan pelajar-pelajar kita di sana. Lebih kurang 2,000 orang pelajar kita di Jordan dan di Mesir lebih kurang 10,000 orang.

“Dalam bertukar (fikiran) kita sama ada di Jordan atau Kaherah (Mesir), masalah-masalah yang timbul ialah mengenai hudud. Saya bukan orang Islam tapi dalam Jordan dan Mesir mempunyai 92 peratus serta 95 peratus penduduk Islam (tetapi) tidak ada hudud.

“Ada pandangan, pert­ikaian, debate (debat) sama ada patutkah untuk uta­makan hudud atau tidak. Apabila saya pergi Jordan dan melawat Amman, Mafraq, Karak serta Irbid dan baca (mengenai hukum hudud) bahawa sarjana, ustaz dan ulamak-ula­mak Islam ada berpendapat bahawa hudud sebahagian kecil daripada Undang-undang Syariah dan ada syarat-syarat sebelum dilaksanakan,” katanya.

Selain Kit Siang dan Mohamad, turut memberikan ceramah ialah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Sebelum ini, PAS tetap bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana itu merupakan perjuangan parti berkenaan sejak dahulu serta hasrat rakyat negeri ini yang memberikan kemenangan kepada parti Islam itu sejak tahun 1990.

Bagaimanapun, hasrat tersebut ditentang oleh DAP sehingga membuat keputusan pelik dengan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi tidak dengan parti itu.

Kit Siang turut memetik pendapat Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, jika semua Undang-undang Syariah tidak boleh dijalankan maka belum sampai waktunya untuk hudud dilaksanakan.

“Adakah masalah di Jordan dan Mesir masalah anti Islam? Bukan. Tetapi mengenai sama ada sesuai tak sesuai, khasnya dalam Malaysia, satu masyarakat majmuk... dan saya rasa mustahak, khasnya dalam Malaysia, perkara ini tak dilihat sebagai anti Islam atau bukan anti Islam. Saya rasa mengikut Perlembagaan tak sesuai ada pelaksanaan hudud,” ujar Kit Siang.

Katanya, tempoh sebulan ini sangat kritikal dan peluang yang baik bagi pakatan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan UMNO serta Barisan nasional (BN) yang sedang menghadapi pelbagai masalah.

Beliau yang seolah-olah menyindir PAS berkata, pakatan pembangkang boleh menumbangkan BN sekiranya ketiga-tiga parti yang bergabung jujur dan ikhlas dalam mengotakan janji yang dibuat pada tahun 2008.

“Itu masalah. Oleh kerana kalau ketiga-tiga parti dalam Pakatan, kita tak boleh pegang kepada apa yang kita sudah janji bagaimana kita boleh dapat sokongan dan harapan keyakinan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, perkara lebih mustahak pada masa sekarang menumpukan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana mengikut Perlembagaan hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana