Debaran di Rompin...Siapa akan menerajuinya?

Sehingga saat kempen pilihanraya kecil kawasan Parlimen Rompin selama 13 hari berakhir tengah malam Isnin tiada ramalan kedengaran BN akan berdepan masalah mempertahanan kerusi yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Apa yang menjadi debaran lebih berkisar kepada soal samaada BN mampu atau tidak mengekalkan majoriti besar 15,114 yang dicatat pada pilihanraya umum ke 13.

Jumlah undi yang diperolehi Allahyarham Jamaluddin sebanyak 30,040 memang jauh sekali meninggalkan calon PAS Nuridah Mohd Salleh 14,926 pada pilihanraya itu.

Juga rekod majoriti beliau konsisten sepanjang lima penggal bertanding dengan PAS di kawasan itu.

Kini calon BN Datuk Hasan Arifin perlu mengalas harapan besar BN dalam menghadapi tentangan calon PAS Nazri Ahmad.

Faktor besar kecil majoriti tentu sekali bergantung seramai mana dari 52,744 pengundi layak di kawasan itu keluar mengundi pada hari ini.

Pada pilihanraya umum ke 13 sebanyak 85.89 peratus yang keluar mengundi.Kalau mengikut trend dalam mana-mana pilihanraya kecil peratusa keluar mengundi memang lebih rendah dari pilihanraya kecil.

Atas sebab itu salah satu strategi utama BN ialah memastikan seramai mungkin pengundi keluar mengundi.
Penyelaras BN bagi pilihan raya kecil itu , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN menjelang hari pengundian.

Apapun Menteri Pertahanan itu mahu gerak kerja BN diteruskan pada hari pengundian khususnya dari segi pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat mengundi.

Jabatan Kaji Cuaca meramalkan cuaca sebelah pagi di Rompin baik manakala sebelah petang kemungkinan ribut petir.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Pilihanraya BN Pusat ketika menutup kempennya petang Isnin meminta pengundi di kawasan Rompin tidak melupakan jasa kerajaan dalam membangunkan negara ini walaupun kini tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk GST.

"Saya harap mereka tidak marahkan kerajaan sebegitu rupa sehingga mereka lupa tentang usaha kita lakukan selama ini untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Dewan Semai Bakti di FELDA Keratong 4.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata segala isu berbangkit ketika kempen pilihanraya kecil itu telah diperjelaskan dengan terperinci.

"Sehingga kini kita tidak ada masalah besar, kita dah kenal pasti isu dan sebahagiannya kita telah jelaskan, seperti isu FELDA," katanya.

Justeru beliau yakin rakyat di kawasan parlimen itu akan memberi sokongan yang besar kepada kerajaan.

Beliau turut mengingatkan pengundi yang menyokong BN supaya tidak begitu selesa sehingga tidak keluar mengundi esok, manakala yang berada di luar kawasan pula tidak pulang untuk mengundi sehingga menyebabkan jumlah majoriti berkurangan.

Ditanya jika BN menang di Rompin, sama ada kemenangan itu memberi kesan pada pilihanraya keicl Permatang Pauh, Muhyiddin berkata menjadi harapan BN untuk membawa limpahan kejayaan itu ke sana.

Namun, katanya, situasi, latar belakang dan isu berbangkit di kawasan Parlimen Permatang Pauh jauh berbeza dengan Parlimen Rompin.

Timbalan Perdana Menteri turut berkata adalah tidak munasabah untuk menjadikan GST sebagai kayu pengukur dalam menentukan penerimaaan dan penolakan rakyat dalam kedua-dua PRK itu.

Hasan selaku calon berharap pengundi membuat pilihan tepat demi masa depan kawasan itu.

Beliau berkata Rompin masih memerlukan pembangunan, dan masalah penduduk termasuk soal pemilikan tanah dan ekonomi yang masih perlu terus diberi perhatian oleh BN yang mewakili kawasan Parlimen itu selama ini.

Hasan yakin dengan pengalaman luasnya sebagai bekas timbalan menteri besar Pahang dari 1995 hingga 1999 dan pernah menjadi ADUN Tioman dan Bukit Ibam dari 1986 hingga 2004, kedua-dua kawasan itu di dalam Parlimen Rompin, dapat membantu menyelesaikan masalah yang dibangkit oleh penduduk.

Sementara itu PAS sepanjang kempennya banyak menumpukan usaha mendapat sokongan menerusi isu GST dan Felda.

Pada fasa terakhir kempen, PAS juga cuba mengalihkan fokus kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Mengulas mengenai keseluruhan kempen, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jentera PAS telah dimanfaatkan semaksimum mungkin sepanjang tempoh berkempen dengan mengadakan ziarah ke semua kawasan di Parlimen Rompin.

"Secara keseluruhan kempen kami berjalan lancar cuma ada satu atau dua rumah sahaja yang tidak membenarkan kami menziarahi mereka di rumah namun tiada sebarang masalah timbul sepanjang tempoh berkempen ini," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana