Cubaan Penunjuk Perasaan Bakar Suar Untuk Masuk Dataran Merdeka Gagal

KUALA LUMPUR: Cubaan peserta perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk memasuki Dataran Merdeka gagal apabila kawasan tersebut dikawal ketat pihak berkuasa.

Berikutan itu, sekumpulan kecil daripada kira-kira 10,000 peserta bertindak membaling suar ke arah anggota polis dengan tujuan menimbulkan provokasi.

Bagaimanapun selepas gagal dengan tindakan tersebut, kumpulan berkenaan kemudian menukar haluan  ke KLCC.

Perhimpunan sekretariat ‘Kita Lawan’ tersebut terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan mahasiswa sebagai tanda protes terhadap pelaksanaan GST itu bermula pada kira-kita pukul 2 petang Jumaat.

Peserta berkumpul di beberapa lokasi telah berarak secara serentak menuju ke KLCC menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama di ibu negara.

Antara pemimpin politik yang dilihat berada di KLCC melaungkan slogan bantah GST ialah Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain seperti Mohd Hatta Ramli dan Mohamed Hanipa Maidin.

Mohamad Sabu dalam ucapan kepada peserta berkata, perhimpunan tersebut menggambarkan suara rakyat untuk menentang pelaksanaan GST yang mana ia belum sampai masanya untuk dilaksanakan di negara ini.

"Perhimpunan ini untuk kita bersatu menentang GST. Kita mewakili setiap golongan umur, bangsa dan kerjaya tidak mahu sistem itu dilaksanakan sekarang hingga mengakibatkan rakyat belum bersedia menjadi mangsa," ujarnya.

Sementara itu, kesesakan akibat perhimpunan itu turut mengganggu ketenteraman orang awam dan pelancong asing yang ingin membeli- belah bersama keluarga sempena cuti umum Hari Pekerja.

Rata-rata orang awam terpaksa mengubah haluan untuk membeli- belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke lokasi lain akibat kesesakan lalu lintas.

Selain itu, perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh kanak-kanak yang merupakan satu kesalahan mengikut  Akta Perhimpunan Aman 2012.

Salah seorang peserta Mohamad Lazim Amin berkata, dia membawa lima anak kerana kesemua mereka cuti sekolah.

"Saya datang dari Sungai Petani, Kedah bersama isteri dan anak-anak. Pada awalnya saya ingin datang bersama isteri sahaja, namun anak-anak kami tiada siapa jaga.

"Mereka sedang cuti sekolah jadi terpaksa juga bawa mereka sertai perhimpunan ini," ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana